mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nikmatnya jiwa bertauhid

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW adalah perkara penting dalam sorotan sirah Baginda SAW. Kepentingan peristiwa hijrah yang harus diingati ini antara faktor yang membuatkan Saidina Umar Al-Khattab berijtihad untuk menjadikan permulaan kalender hijriyah yakni bulan Muharam bersempena dengan tahun berlakunya peristiwa hijrah.




Menurut Al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Al-Rahiq Al-Makhtum menyatakan, hijrah Rasulullah SAW sebenarnya berlaku pada bulan Safar.

1. Perihal muhajirin meninggalkan Makkah demi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan pengabdian kepada ALLAH SWT. Golongan sahabat semasa di Makkah dididik Rasulullah SAW dengan ketauhidan dan mereka berasa kelazatan jiwa bertauhid melalui amalan zikir.

Inilah yang menjadi rahsia kecekalan sahabat dalam menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang berada di Makkah. Bekalan utama mereka dalam mengecapi jiwa bertauhid adalah kerana kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda SAW.

Antara kisah yang paling tersohor dalam memaparkan kecekalan sahabat ialah kisah Bilal Bin Rabah yang diseksa dengan batu besar di dadanya di tengah padang pasir yang panas membahang.

Secara zahirnya kelihatan beliau terseksa, namun sebenarnya sedang menikmati jiwa bertauhid. Lidahnya langsung tidak lekang daripada berzikrullah sehinggalah beliau ditebus oleh Saidina Abu Bakar.

Setelah selesai pendidikan tauhid dengan berbekalkan kasih sayang maka turunlah perintah berhijrah. Di ambang hijrah, Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai kepentingan niat.

Daripada Umar Al-Khattab RA katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya.

Sesiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada ALLAH dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang berhijrah bagi mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini adalah pemutus antara ikhlas dan sebaliknya, dan hanya amalan yang ikhlas sahaja diterima ALLAH. Inti pati ikhlas itu pula adalah dengan tidak memisahkan ALLAH dan Rasulullah SAW sebagai tujuan terunggul tanpa sebarang campur aduk selain daripada ALLAH dan Rasulullah SAW.

Lantaran itu, sahabat membuktikan kenikmatan memiliki jiwa bertauhid kepada ALLAH dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW dengan patuh tanpa banyak bicara.

Mereka meninggalkan seluruh harta benda malah kampung halaman demi mengekalkan momentum kelazatan tauhid dan kasih sayang yang mereka kecapi daripada bimbingan Baginda SAW.

2. Perihal golongan Ansar dalam menerima rombongan Muhajirin bersama Rasulullah SAW. Sengketa antara kaum Aus dan Khazraj berlarutan sejak sekian lama. Persengketaan yang diwarisi zaman berzaman ini dapat dihapuskan dengan cahaya cinta dan kasih sayang yang disampaikan Rasulullah SAW pada setiap kali musim haji yang pada ketika itu masih lagi dengan cara Jahiliah.

Tidak cukup dengan kedatangan mereka ke Makkah pada musim haji, Rasulullah SAW juga mengutus Mus’ab Bin Umair ke Madinah sebagai utusan Baginda SAW untuk mengajarkan kepada mereka inti pati tauhid.

Adapun cinta dan kasih sayang kepada Baginda SAW menjadi pintunya yakni pintu keimanan dan ketauhidan. Hasilnya, leburlah segala persengketaan antara Aus dan Khazraj lantaran kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW.

Pastinya keindahan jiwa bertauhid atas kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW adalah tidak ternilai berbanding dengan permusuhan yang diwarisi itu, maka mereka bergabung menjadi kaum Ansar.

Kecintaan Ansar dan kerinduan mereka terhadap Rasulullah SAW semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi tatkala menanti rombongan Muhajirin bersama Rasulullah SAW. Kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW membuatkan mereka turut mencintai semua yang bersama dengan Baginda SAW dalam kalangan Muhajirin.

Ini dibuktikan dengan sambutan kaum Ansar terhadap Muhajirin yang menyediakan segala kelengkapan kehidupan mereka di Madinah. Bagi lebih mencerakinkan hubungan atas tauhid dan kasih sayang ini, Rasulullah SAW mempersaudarakan Muhajirin dengan Ansar; contohnya Abdul Rahman Bin Auf disaudarakan dengan Sa’ad Bin Rabi’.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ketelusan cinta dan kasih sayang Sa’ad Bin Rabi’ terhadap Abdul Rahman Bin Auf membuatkan beliau menawarkan isterinya kepada saudaranya itu, namun Saidina Abdul Rahman Bin Auf menolak dengan baik seraya mendoakan beliau.

Beginilah antara plot kisah yang berlaku dalam peristiwa hijrah. Ia penuh dengan tema ketauhidan dan kasih sayang. Inilah hakikat kegembiraan yang sebenar, yang sering diabaikan oleh umat Islam kini.

Dalam peristiwa hijrah, bermula daripada siri penyeksaan yang berlaku terhadap kaum Muslimin di Makkah, sehinggalah perjalanan sejauh kurang lebih 500 km untuk tiba di Madinah, secara zahirnya kelihatan penuh dengan keperitan fizikal; namun siapa tahu spiritual mereka begitu kuat dengan sekeping jiwa bertauhid kepada ALLAH atas landasan kecintaan dan kasih sayang mereka semua kepada utusan ALLAH ini.

Inilah kekuatan spritual yang menjadi inti pati kekuatan dan rahsia kejayaan dalam sejarah awal umat Islam. Sememangnya, peristiwa hijrah Rasul SAW adalah pengorbanan pada zahir fizikal, namun ia juga adalah permulaan kemenangan.

Bermula dengan kemenangan spiritual pada jiwa sahabat disusuli siri kemenangan yang berturut-turut bermula dengan kemenangan dalam Perang Badar termasuklah peristiwa pembukaan Kota Makkah. Semuanya adalah dengan bekalan spiritual iaitu jiwa bertauhid yang diperoleh dengan jalan cinta dan kasih sayang yang pastinya berakhir dengan sebuah hakikat kegembiraan di dunia dan akhirat.

Justeru, bersesuaian dengan keberadaan kita yang masih di ambang tahun baru hijrah 1436 ini, persoalan dan inti pati tauhid dan kasih sayang cuba dirungkai dalam setiap dimensi kehidupan kita melalui Seminar Tauhid & Kasih Sayang 2014 yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini.

Perancangan awalnya, lokasi seminar ini adalah di Dewan Sarjana, Uniten. Namun, atas penyertaan yang menggalakkan dan demi keselesaan semua peserta, pihak Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta bekerjasama dengan penganjur untuk menggunakan Dewan Serba guna Masjid.

Dianjurkan Sekretariat Majlis Tauhid & Kasih Sayang (MTKS) yang bernaung di bawah Pertubuhan Damai & Cinta Insani (Pendamai) ini dimeriahkan lagi dengan Malam Cinta Rasul – Dikir Tauhid & Kasih Sayang pada sebelah malamnya.
Tags: tauhid
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments