mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kelangsungan kebahagiaan

MANUSIA Muslim yang normal memang mengimpikan anak soleh. Ia menjadi nikmat warisan yang bakal memanjangkan umur seseorang walaupun setelah lama meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya. (Sahih Muslim)

Begitu pun, sesetengah ibu bapa terlupa bahawa mereka juga perlu menjadi soleh kerana mereka pernah menjadi anak kepada ibu bapa mereka dahulu. Malang lah ibu bapa kita jika anak-anaknya tidak cukup soleh untuk memanjangkan usia mereka.

Pokok yang rosak akarnya, mustahil hasilkan buah yang baik




Selain itu, anak soleh juga lahir hasil daripada didikan ibu bapa yang soleh. Bagaimana mungkin pokok yang akarnya rosak menghasilkan buah yang baik dan bermutu? Islam menegaskan ibu bapa perlu terlebih dahulu menjadi soleh sebelum mengimpikan anak yang soleh. Kesolehan seluruh keluarga bakal membuahkan bahagia bersama di dunia dan di akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya. (al-Tur: 21)

Kesolehan ibu bapa

Al-Quran juga membuktikan kesolehan ibu bapa boleh memberikan manfaat kepada anak-anak mereka. Lihatlah bagaimana Allah menyelamatkan harta anak yatim yang tertanam di bawah rumah yang hampir runtuh dalam kisah pengembaraan Musa a.s dan Khidir ini:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun dinding itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada harta terpendam kepunyaan mereka dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat daripada Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al-Kahfi: 82)

Ibu bapa dan anak soleh adalah aset di dunia dan di akhirat. Ia bukan warisan namun boleh diwariskan kepada generasi seterusnya dengan pendidikan yang betul. Didik lah diri dan anak anda dengan betul semoga ia menjadi kunci bahagia di dunia, di alam barzakh dan di alam akhirat.

Tags: kebahagiaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments