mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sampaikan ilmu, jangan bertengkar


BERBEZA pendapat sepatutnya tidak mendorong seseorang untuk memisahkan diri daripada jemaah, apatah lagi menciptakan jemaahnya sendiri. - Gambar hiasan

APABILA Khalifah Usman bin Affan memimpin jemaah haji dari Madinah, beliau melaksanakan solat Zuhur empat rakaat sewaktu mabit (berhenti sejenak atau bermalam) di Mina.

Apabila berita ini didengar oleh Abdullah bin Mas’ud, beliau tidak menyetujui tindakan ini. Ibnu Mas’ud berkata: “Aku solat bersama Nabi SAW di Mina dua rakaat (qasar), aku solat bersama Abu Bakar dua rakaat, dan aku solat bersama Umar dua rakaat.”

Usman di mata Ibnu Mas’ud telah menyalahi sunnah.

Namun, apabila waktu solat tiba, Ibnu Mas’ud melakukan solat Zuhur empat rakaat seperti yang dilakukan Khalifah Usman. Seseorang segera berkata kepadanya: “Engkau mencela Usman kerana solat empat rakaat, tapi kenapa engkau melakukannya juga?”

Ibnu Mas’ud menjawab: “Perpecahan sangat buruk.” (Abu Dawud)

Seperti Ibnu Mas’ud, begitu juga sikap Ibnu Umar.

Tidak melabel

Demikian sikap para sahabat Nabi SAW. Walaupun berbeza pandangan, namun mereka tidak menyukai perpecahan.

Ibnu Mas’ud tidak sependapat dengan Usman bin Affan. Namun perbezaan pendapat ini tidak mendorong dirinya untuk memisahkan diri daripada jemaah, apatah lagi menciptakan jemaah sendiri. Ibnu Mas’ud juga tidak melabel Usman dengan pelbagai gelaran buruk seperti “meninggalkan sunnah”, “ahli bidaah” atau lainnya.

Beliau hanya menyampaikan ilmu yang beliau tahu. Dan apabila tiba waktu solat, beliau tetap bersama barisan umat Islam.

Perbezaan pendapat tidak menyebabkan keretakan barisan.

Sikap ulama

Sikap ini sungguh berbeza dengan sikap kita pada masa ini. Setiap kali melihat pendapat yang berlainan, hati kita terlalu sempit untuk menerima perbezaan. Lidah kita lalu menjadi sangat ringan melahirkan tuduhan.

Hati kita terus gatal untuk menunjukkan keunggulan pendapat kita dan memperlihat kelemahan pendapat mereka. Apabila itu kita lakukan, tiba-tiba permusuhan yang kita dapatkan.

Memang begitulah sejatinya buah pertengkaran. Hati manusia tidak suka dipersalahkan dan pertengkaran tidak membuahkan apa-apa selain perlawanan.

Justeru, para ulama terdahulu tidak menyukai perbalahan dalam agama. Mereka menyuruh untuk menyampaikan ilmu dan menghindari perbalahan.

Berkata Haitham bin Jamil: Aku berkata kepada Imam Malik: Wahai Abu Abdillah, bolehkah kita berdebat untuk menegakkan sunnah? Beliau menjawab: “Tidak. Akan tetapi, beritahukan lah sunnah itu. Jika tidak diterima, maka diamlah.”

Al-Abbas bin Ghalib Al-Warraq berkata Imam Ahmad bin Hanbal: “Jika aku berada dalam suatu majlis dan tidak ada yang mengetahui sunnah di dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”

Imam Ahmad berkata: “Beritahukan lah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”

Marilah kita teladani sikap para sahabat Nabi SAW dan para ulama. Wallahu a’lam.

Tags: pendapat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments