mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kedudukan zakat

DI Malaysia, umumnya umat Islam meletakkan zakat sebagai rukun Islam yang keempat. Namun, saya pernah terdengar ada pihak yang menyatakan, kedudukan zakat itu adalah sebagai Rukun Islam yang ketiga. Bolehkah diperjelaskan kedudukan zakat yang sebenar di sisi rukun Islam?

Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan persoalan ini, sesungguhnya amat benar bahawa begitulah pandangan umat Islam terhadap susunan Rukun Islam. Andai ditanya, maka mereka akan meletakkan susunannya bermula dengan; (1) Mengucapkan dua kalimah syahadah, (2) Mendirikan solat fardu lima waktu, (3) Berpuasa di bulan Ramadan, (4) Menunaikan zakat dan (5) Mengerjakan haji di Baitullah.

Andai ditanya kepada mereka, dari manakah mereka memperoleh susunan seperti ini, maka jawapannya adalah didikan daripada para ustaz dan ustazah di madrasah atau sekolah. Maka, hal ini terus berlanjutan sehingga kini dan ia menjadi kefahaman umum bahawa zakat memang berada di anak tangga keempat dalam susunan Rukun Islam.

Saya ingin mengajak kita melihat, bahawa kedudukan zakat sebenarnya bukan berada di anak tangga keempat, tetapi di kedudukan ketiga dalam Rukun Islam. Adakah kedudukan di anak tangga ketiga dan keempat ini penting?


Sebenarnya adalah rukun Islam ketiga












NABI meletakkan zakat di tangga ketiga selepas solat sekali gus mencerminkan ketinggiannya dalam Islam. – Gambar hiasan

Bagi saya, ia penting kerana setiap susunan yang diberikan Allah SWT, pastilah ada natijah dan hikmahnya. Misalnya dalam susunan asnaf zakat yang lapan, fuqaha telah pun membahaskan kedudukan empat asnaf yang pertama perlulah diutamakan (disebut asnaf muqaddam) berbanding kelompok empat asnaf yang kedua (yang disebut asnaf muakkhar).

Hal ini mungkin kurang difahami oleh orang awam, namun seandainya berlaku kekurangan pada harta zakat, maka ketika itu pemerintah Islam hendaklah memberikan keutamaan kepada asnaf yang muqaddam, demi mengurangkan risiko lain yang akan berlanjutan daripada gejala kefakiran dan kemiskinan, juga membendung gejala keruntuhan iman.

Berbalik kepada susunan zakat di dalam Rukun Islam, maka andai kita meneliti ayat-ayat al-Quran, maka kita akan mendapati betapa banyak ayat yang menggandingkan suruhan solat dan zakat yang dirangkaikan di dalam satu ayat. Terdapat 26 ayat yang menggunakan terminologi solat dan zakat secara tepat dan ada enam ayat pula yang menggabungkan kalimah solat dan sedekah atau infak, yang membawa maksud zakat. Ertinya, ada 32 ayat yang menggabungkan perintah dan solat secara beriringan.

Hal ini sudah menjelaskan perihal kedudukan solat dan zakat sebenarnya sangat rapat dan saling beriringan. Di samping itu, andai kita melihat di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW pula, maka kita akan mendapati begitu banyak dalil yang meletakkan zakat adalah selepas solat.

Misalnya, hadis yang paling masyhur, iaitu hadis Jibril. Hadis ini diriwayatkan oleh Umar al-Khattab r.a, mengisahkan bagaimana Jibril a.s datang bertemu baginda SAW dan meminta diajarkan tiga perkara, iaitu tentang iman, Islam dan ihsan. Setelah nabi mengkhabarkan kesemuanya, maka Jibril mengiyakan.

Sebab itu ia disebut hadis Jibril, kerana Jibril datang menyamar sebagai manusia untuk mengajar para sahabat mengenai tiga perkara paling asas dalam Islam, lalu bertanya sesuatu yang dia sendiri telah maklumi.

Daripada Umar al-Khattab r.a, bahawa: “Aku mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda, terbinanya Islam atas lima (rukun): (1) Syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, dan (4) mengerjakan haji di Baitullah, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sementara itu, Ibnu Abbas r.a di kesempatan yang lain menyatakan, ketika Nabi Muhammad SAW mengutuskan Muadz bin Jabal r.a ke Yaman sebagai wakil baginda, maka nabi telah memberikan pesanan berupa metodologi dakwah kepada Muadz, iaitu: “Serulah mereka untuk menyaksikan bahawa 
tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah, sekiranya mereka 
mentaati perkara itu, ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu siang dan malam, sekiranya mereka mentaati perkara itu, ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka.” (riwayat Bukhari).

Sebenarnya, dua hadis di atas sudah memadai untuk kita memahami letak duduk zakat di dalam rukun Islam. Jelas, nabi meletakkannya di anak tangga ketiga selepas solat, sekali gus mencerminkan ketinggian ibadah zakat dalam Islam.

Tags: zakat
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments