mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bantulah mereka

Jiwa Muslim Umar wajar diteladani



KISAH santunan Umar seharusnya menginsafkan setiap daripada kita. - Gambar hiasan

SUATU malam, Khalifah Umar bin al-Khattab berjalan-jalan bersama hambanya bernama Aslam. Memang telah menjadi kebiasaan Umar untuk menjaga dan memerhatikan hal ehwal rakyatnya.

Ketika berjalan, tiba-tiba Umar melihat cahaya api di kejauhan. Beliau berkata: “Wahai Aslam, api ini mestilah milik musafir yang tengah berehat di tengah malam. Mungkin mereka memerlukan bantuan. Mari kita hampiri mereka.”

Apabila tiba di asal cahaya tersebut, mereka melihat seorang wanita sedang memasak. Di sekelilingnya beberapa anak kecil yang tengah menangis.

Umar mengucapkan salam: “Assalamualaikum, wahai pemilik api.”

“Walaikumsalam.”

“Bolehkah aku mendekat?”

“Terpulang kepadamu.”

“Apa yang berlaku pada kalian?”

“Kami tidak dapat tidur kerana kesejukan.”

“Mengapa anak-anakmu menangis?”

“Kerana lapar.”

Umar melihat sebuah periuk di atas api. Beliau tertarik untuk mengajukan soalan lagi. Beliau berkata: “Apa yang tengah engkau masak?”

Wanita ini menjawab: “Sebenarnya aku tidak memasak apa-apa. Periuk ini berisi air sahaja. Aku berpura-pura memasak supaya anak-anak menunggu hingga keletihan dan tertidur.”

Sungguh menghibakan kejadian ini. Seorang ibu tunggal yang bergelut dengan kemiskinan. Anak-anaknya kelaparan tanpa sesiapa yang tahu pada tengah malam itu.

Umar menangis melihat semua ini. Beliau segera berlari ke gudang penyimpanan makanan. Lantas mengambil sekarung gandum dan sekarung samin. Beliau lalu berkata: “Wahai Aslam, pikulkan kedua-dua karung ini di bahuku.”

Aslam berkata: “Biarkanlah aku memikulnya.”

Umar menolak dan berkata: “Mampukah engkau memikul dosa-dosaku pada hari kiamat nanti?!”

Umar memikul sendiri dua karung makanan tersebut dan kembali ke tempat perempuan itu tadi. Umar lalu memasak sendiri makanan untuk mereka. Sesekali beliau meniup api sehingga asap memenuhi janggutnya.

Apabila makanan telah siap, Umar meminta diambilkan pinggan. Beliau lalu menuangkan makanan itu ke dalam pinggan dan menghidangkan sendiri kepada setiap anak perempuan tersebut. Mereka menyantap makanan tersebut hingga kenyang.

Sepanjang perbuatannya ini, wanita tadi tidak henti-henti berterima kasih. Beliau turut mendoakan lelaki dermawan yang telah membantunya itu.

Wanita miskin ini tidak mengetahui bahawa itu ialah Umar bin al-Khattab, khalifah yang berkuasa dan sahabat Nabi SAW yang mulia.

Umar terus duduk bersama keluarga miskin ini hingga anak-anak itu tertidur. Beliau lalu meninggalkan mereka selepas menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal itu.

Umar lalu berkata kepada Aslam: “Wahai Aslam, lapar telah menghalang mereka daripada tidur dan membuatkan mereka menangis.” (al-Bidayahwa al-Nihayah)

jiwa muslim

Sungguh terpuji belas ihsan Umar bin al-Khattab. Beliau membantu bukan kerana dipuji. Beliau membantu kerana jiwa Muslim yang selalu tergerak apabila melihat orang memerlukan bantuan.

Perbuatan baik yang kita lakukan akan terus kekal. Kalaupun tiada siapa yang mengenali kita, Allah mengenal kita. Allah tidak pernah tersalah memberi ganjaran. Pahala kita tidak akan berpindah kepada orang lain.

Sangat ramai orang yang memerlukan bantuan seperti wanita dalam kisah ini. Sama ada ibu tunggal yang menyara ramai anak yang masih kecil, seorang anak yang mesti menjaga ayahnya yang sakit kronik, seorang ayah yang sedih kerana tidak memiliki wang membeli susu anaknya dan sebagainya.

Seorang mukmin dituntut memiliki perasaan yang halus. Hatinya mudah tersentuh sehingga mudah menghulurkan bantuan.

Dia tidak rela hidup dalam kenikmatan selagi mana jiran ataupun kenalannya hidup merana dalam kesusahan.

Rasulullah bersabda: “Bukanlah mukmin seseorang yang boleh tidur dengan kenyang sementara jirannya tengah kelaparan.” (al-Hakim)

Justeru, sesekali berjalanlah keluar rumah dan perhatikan orang di sekitar kita. Jika ada yang memerlukan bantuan, bantulah mereka. Mari teladani sifat Umar bin al-Khattab. Wallahua’lam.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments