mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Suami berkira

ROSNAH termenung panjang memikirkan apa yang diperkatakan oleh ustazah tadi. Ceramah ringkas yang disampaikan itu benar-benar terkena batang hidungnya. “Macam tahu je ustazah ni,” bisik hati kecil Rosnah.


SUAMI adalah tunggak dalam sesebuah rumah tangga. – Gambar hiasan

Namun, isi ceramah ustazah tersebut cukup membuatkannya tertarik untuk duduk sehingga selesai majlis. Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh ustazah tersebut. Selama ini dia hanya diam membisu. Tidak berani hendak meminta itu dan ini.

Kata-kata suaminya masih terngiang-ngiang di telinganya. “Kau dah cukup baik. Dalam rumah ini segala keperluan makan dan minum sudah aku sediakan. Tak perlu lagi duit belanja,” begitu tegas suara si suami.

Lama sudah Rosnah memikirkan hal ini. Benarkah begitu? Dan hari ini dia temui jawapannya. Memang benar, sekalipun suami telah menyediakan keperluan makan dan minum yang dikatakan sebagai nafkah, namun suami perlu ada sikap ihsan kepada isteri dengan membekalkan sedikit wang untuk isteri berbelanja.

Kata ustazah itu lagi, selama ini tugas isteri sebagai suri rumah tidak pernah dibayar. Isteri akan melakukannya dengan sukarela dan lebih penting daripada itu, untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Bukan itu sahaja, si suami harus bersyukur kerana tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan oleh suami telah diambil alih oleh isteri. Daripada memasak, mengemas, menjahit, menjaga anak, membasuh sehingga menggosok baju, semuanya dipikul oleh insan yang bergelar isteri dan ibu.

Justeru, menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah dalam bentuk wang ringgit, sekalipun si suami telah menyediakan keperluan makan dan minum di rumah. Hatta, sekiranya isteri juga bekerja, duit belanja perlu diberikan sebagai salah satu tanggungjawab memberi nafkah. Sedikit atau banyak, kata ustazah, terpulang kepada kemampuan suami tetapi biarlah ia bersesuaian.

Fikiran Rosnah terus melayang. Selama ini sejak 20 tahun mendirikan rumah tangga, tidak ada satu sen pun yang diterima daripada suami. Rosnah masih ingat, hanya sekali dia pernah merasa pemberian daripada suami, iaitu tatkala menerima wang mas kahwin. Itulah yang pertama dan mungkin juga yang terakhir. Itu pun bukannya nafkah tapi mas kahwin.

Pernah juga Rosnah terfikir untuk membeli barangan keperluan diri. Namun apakan daya, duit tiada di tangannya. Minta pada suami? Dalam setahun adalah hanya dua pasang baju yang diterima. Bukan Rosnah tidak bersyukur. Tapi dalam keadaan tertentu, apabila duit tiada di tangan, banyak perkara akan menjadi buntu.

Pernah suatu ketika, anaknya demam panas. Risau dengan keadaan tersebut, Rosnah membawa anaknya ke klinik sementara menunggu suami pulang. Dengan tebal muka, Rosnah meminta kepada doktor yang merawat anaknya untuk dia ‘berhutang’ dahulu.

Janji Rosnah, apabila suaminya pulang, suaminya akan membayarnya. Mujur doktor memahami. Begitu juga keperluan dapur yang lain. Ada kalanya Rosnah perlu berhutang dan kemudiannya dibayar oleh suaminya.

Hal-hal sebegini sebenarnya merumitkan Rosnah, bahkan menimbulkan rasa malu pada dirinya. Itu belum lagi kalau keluarga Rosnah datang menjenguk. Teringin juga menghulurkan duit kepada kedua ibu bapa yang mahu pulang semula ke kampung. Namun, apa yang harus diberikan? Duit bukan di tangannya.

Pernah Rosnah menyuarakan hal tersebut kepada suami. Namun, suaminya tidak mengambil kisah pun. Dia kata, dia sudah jalankan tanggungjawab sebagai suami termasuklah memberi nafkah kepada isteri dan keluarganya. Apa lagi yang mahu Rosnah katakan.

BERKAHWIN bunyinya seronok tapi hakikat sebenar hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya sahaja. Benarlah kata orang tua, berat mana memandang berat lagi bahu yang memikul. Bahkan, kehidupan berumah tangga diumpamakan bahtera yang belayar di tengah lautan. Jika cekap nakhodanya, selamatlah pelayaran tersebut sekalipun berhadapan ombak yang bergelora. Demikianlah juga situasinya dalam berumah tangga. Suami ibarat nakhoda yang bertanggungjawab memastikan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi berada dalam keadaan selamat dan tidak memberi kesan yang buruk kepada penumpangnya.

Inilah perumpamaan sebuah rumah tangga walaupun ia hanya sebuah bangunan yang terdiri daripada atap, lantai, dinding dan struktur yang dibangunkan. Namun jika asas tapaknya tidak kukuh pasti akan mendatangkan musibah yang merosakkan. Bahkan, mengakibatkan penghuninya sentiasa dalam ketakutan dan dilanda kebimbangan.

Sebagai ketua dalam rumah tangga, suami bertindak sebagai pembuat keputusan keluarga. Namun, bukan semua keputusan itu dibuat dengan kuasa yang ada. Suami perlulah mempunyai kebijaksanaan untuk membuat pertimbangan dalam semua aspek keperluan keluarga. Sebagai contoh tentang penyediaan nafkah keluarga. Suami bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas untuk keluarga. Bahkan ada ketikanya bukan hanya melibatkan isteri dan anak-anak sebaliknya keluarga kepada isteri yang dikahwini, khususnya ibu dan bapa mentuanya.

Itu belum lagi melibatkan ahli keluarga yang lain seperti adik-beradik, ipar-duai dan juga saudara jauh dan dekat. Walaupun kedengaran berat apa yang perlu dipikul oleh seorang suami namun jika betul pengurusannya ia akan mendatangkan kebahagiaan kepada semua.

Realiti di alam rumah tangga, suami mahu atau tidak, perlu melakukan sesuatu perkara dengan pertimbangan yang wajar. Ia merangkumi pergaulan dengan isteri dan ahli keluarga dengan cara yang terbaik. Sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: Gaulilah isterimu dengan cara yang baik, kemudian jika tidak menyukai mereka (isteri) maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, pada hal Allah menjadikan padanya kebaikan yang sangat banyak. (an-Nisa’: 19)

Sementara hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan: Sesempurna iman seseorang mukmin ialah apabila ia paling baik akhlaknya dan lemah lembut kepada isterinya.” Kedua- dua sumber ini menyebut, melakukan kebaikan kepada isteri itu menjadi pengukur tahap keimanan dan ketakwaan seseorang di sisi Allah SWT.

Bukan itu sahaja, suami diperintahkan oleh Allah agar berlaku adil terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan hak isteri dan keluarga seperti mana dalam kisah di atas. Walaupun isteri bekerja dan mempunyai hartanya sendiri, suami tidak boleh mengabaikan pemberian nafkah tersebut kerana isteri mempunyai hak terhadapnya disebabkan ketaatannya kepada suami.

Ketaatan isteri pula bukanlah semata-mata mengikut apa sahaja yang diperintahkan oleh suaminya walaupun suruhan itu bertentangan dengan kehendak Allah dan agama. Jika suami menyuruh isteri melakukan perkara yang dilarang dan berbentuk maksiat, isteri ada hak untuk menolaknya dengan hikmah. Apatah lagi dalam soal akidah.

Namun ramai suami hari ini mengambil jalan mudah dengan beranggapan apabila isteri bekerja dan mempunyai wang sendiri, suami tidak perlu memberinya. Sementelah isu isteri tidak meminta atau mengharapkan pemberian suami merupakan satu lagi fenomena yang berlaku kerana berkemungkinan isteri sudah letih atau bosan dengan sikap suami yang tidak mengendahkan keperluan mereka.

Bagi isteri jika suami faham dan tahu tanggungjawabnya, isteri tidak perlu meminta-minta kerana isteri juga belajar untuk tahu kemampuan suaminya. Jika suami boleh berbelanja untuk keperluan peribadinya seperti memenuhi hobinya sudah pasti isteri merasakan suami tidak berlaku adil terhadap hak dirinya.

Justeru, suami yang beriman dan sedar akan sentiasa bersikap sederhana terhadap keluarga. Jika terlalu melayani kehendak isteri dan anak-anak sehingga timbul masalah perbelanjaan atau pembaziran, suami dianggap tidak bijak mengurus dengan berhemah.

Sebaliknya jika suami terlalu berkira dengan setiap sen yang dibelanjakan, isteri dan anak-anak akan merasa tekanan kerana suami tidak ikhlas menjalankan tanggungjawabnya kepada keluarga.

Justeru, jadilah suami dan bapa yang penyayang dan bukan hanya tahu menggunakan kuasa mutlak seorang suami sehingga ada hati yang dilukai.

Tip kaunselor

KEBAHAGIAAN perkahwinan dan alam rumah tangga menjadi dambaan dan idaman setiap pasangan. Tip kaunselor kali ini diharap dapat membimbing para suami menjalankan tanggungjawab kepada keluarga dengan sempurna.

1Suami adalah tunggak keluarga. Pepatah Cina menyebut busuknya seekor ikan bukan daripada ekornya tapi daripada kepalanya. Kata-kata ini menggambarkan kebaikan atau keburukan sebuah keluarga bermula daripada kepimpinan seorang suami yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan keluarga dengan sebaiknya agar semua ahli menikmati kebaikan hasil kebijaksanaannya.

2Sebagai ketua keluarga suami bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, sebaliknya perlu menyediakan segala keperluan zahir dan batin. Keperluan zahir seperti makan minum, pakaian, kemudahan pengangkutan keluarga dan juga persekitaran yang selamat. Manakala keperluan batin merangkumi kasih sayang, perhatian, bimbingan dan kefahaman untuk dihargai.

3 Suami dan bapa yang bertanggungjawab sama sekali tidak akan membiarkan keluarga dalam keadaan kesukaran. Walaupun terpaksa melalui cabaran dan dugaan, suami perlu berusaha segigih mungkin untuk memenuhi segala hak dan tuntutan keluarga dengan sebaiknya.

4 Apabila suami dilihat bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk menjalankan tanggungjawabnya pasti isteri dan anak-anak akan memahami apa yang dilakukan. Bahkan, isteri dan anak-anak akan turut membantu mencari jalan agar setiap masalah dalam keluarga dapat diselesaikan bersama-sama.

5 Suami perlulah ikhlas dan tulus dalam tindakan dan perkataan. Anggaplah apa yang dibelanjakan untuk keluarga sebagai sedekah di jalan Allah. Pasti amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran daripada Allah sebaiknya. Suami yang terlalu berkira, tidak mendatangkan keuntungan kepada keluarga.

6 Suami yang bertanggungjawab sentiasa menilai prestasi dirinya sama ada telah melakukan sesuatu yang terbaik mengikut apa yang diperintahkan agama atau sekadar menjalankan tugas. Penilaian pasangan dan keluarga akan membantu mengesan prestasi diri sama ada baik ataupun sebaliknya.

Tags: isteri, keluarga, suami
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments