mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat 5 Disember 2014 ~ Zakat Diperkasa, Ummah Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat 5 Disember 2014M / 12 Safar 1436H (JAWI)
Zakat Di Perkasa, Ummah Sejahtera

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam setelah cukup syarat-syaratnya. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan daripada Abdullah bin „Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:


Mafhumnya: “Islam dibina di atas lima perkara: (Iaitu) bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan utusanNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.”


Seorang Muslim yang telah sempurna segala syarat wajib zakat tetapi masih enggan dan gagal menunaikan ibadat zakat, dia hakikatnya masih belum menyempurnakan Islam dalam dirinya sendiri.


Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Zakat pada hari ini dilihat sangat sinonim dengan bulan Ramadan dan Syawal, kerana bulan-bulan tersebut berkait rapat dengan pembayaran zakat fitrah. Sedangkan dalam Islam, zakat itu bukan hanya sekadar zakat fitrah, malah lebih dari itu.


Zakat fitrah merupakan “zakat diri”, sedangkan banyak lagi zakat lain
yang wajib dibayar di bawah kategori “zakat harta” yang boleh dipecahkan sebagaimana berikut:

Pertama: Zakat emas dan perak, termasuk mata wang;
Kedua: Zakat hasil tanaman dan pertanian;
Ketiga: Zakat hasil galian dan harta karun;
Keempat: Zakat hasil ternakan; dan
Kelima: Zakat perdagangan dan perniagaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 pula telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.


Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Allah SWT telah memerintahkan kepada golongan Ulil-Amri (pihak pemerintah) untuk mengutip zakat daripada orang-orang Islam yang telah cukup syarat-syarat untuk menunaikan zakat sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 103 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi :

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Di Malaysia, urusan zakat diuruskan oleh pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam di setiap negeri, di mana terdapat sebanyak 14 buah Majlis Agama Islam Negeri seluruh negara.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Secara umumnya, terdapat dua objektif utama disyariatkan ibadah zakat:


Pertama: Untuk menyuburkan harta dan menyucikan jiwa orang Islam daripada unsur-unsur negatif seperti pencerobohan, sifat kedekut, boros, iri hati dan sebagainya; dan


Kedua: Untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan terutamanya golongan fakir miskin dalam rangka memperkukuhkan jaminan sosial masyarakat Islam secara keseluruhannya.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,


Mengakhiri khutbah, bersempena dengan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2014 yang diadakan sepanjang bulan Disember 2014, anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita melipatgandakan daya usaha bekerja. Semoga dengannya kita meraih pendapatan yang halal lagi “barakah” demi memperkasa pembangunan sosioekonomi diri, keluarga dan umat Islam di negara kita menerusi langkah-langkah berikut:


Pertama: Bekerjalah dengan seikhlas hati kerana Allah SWT, bukan kerana inginkan kemewahan dunia, pangkat atau nama yang kelak akan merosakkan keberkatan harta yang kita peroleh;

Kedua: Carilah rezeki melalui jalan yang halal bagi menampung keperluan diri, keluarga dan kaum kerabat demi mencapai keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat; dan


Ketiga: tunaikanlah hak-hak orang lain melalui zakat apabila sampai tuntutannya, sebagaimana perintah Allah SWT.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 46:

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”


Wasalam.
Tags: khutbah, zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments