mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tujuh resolusi K-Akidah dirumus

Tujuan memantapkan akidah umat Islam



MOHAMAD HASAN melihat kitab sambil diperhatikan oleh Mohd. Yusof Ahmad (dua dari kiri) dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin (kiri) pada majlis penutup Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014 di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. –Utusan/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 4 Dis. - k onvensyen Akidah Antarabangsa 2014 (K-Akidah) yang berakhir hari ini merumuskan tujuh resolusi bagi tujuan memantapkan akidah umat Islam keseluruhannya.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad semasa membacakan resolusi berkenaan menegaskan, perkara yang dicapai itu adalah pertama, akidah umat Islam di negara ini adalah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan manhaj (prinsip) Asha'irah Maturidiyyah.

Dalam fikahnya pula, kata beliau, ia berpegang kepada mazhab Syafie melainkan dalam masalah ifta' serta tasawuf mengikut jalan Syeikh Junaid al-Baghdadi yang muktabar termasuk dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Keduanya adalah manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah difahami secara sahih mengikut kefahaman yang telah disepakati oleh ijma’ ulama keseluruhannya (majoriti ulama salaf dan khalaf),” katanya pada hari terakhir K-Akidah 2014 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan negeri, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menutup konvensyen berkenaan yang turut dihadiri Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Mohd. Shukor Sabudin; Pengerusi Jawatankuasa Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin dan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin.

Mohd. Yusof berkata, perkara ketiga dalam resolusi itu adalah amalan wasatiyyah adalah ciri istimewa manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan layak untuk menjadi pegangan umat Islam kerana menjamin keselamatan serta kestabilan negara.

“Adapun sikap ekstrem dalam perkataan seperti hukum mengkafirkan orang dan perbuatan melampau seperti keganasan agama adalah perbuatan yang membawa kepada perpecahan dan berbahaya kepada kestabilan negara,” katanya.

Tambahnya, perkara keempat adalah pembahagian tauhid kepada uluhiyah, rububiyyah dan asma wa al sifat adalah terkeluar prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah dan pegangan konsep sifat 20 yang merangkumi perkara kenabian dan perkara ghaib adalah tauhid yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkara kelima pula adalah berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat merupakan sesuatu yang telah disepakati oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Resolusi keenam pula adalah fahaman wahabi, syiah imamiah, liberalisme dan pluralisme adalah fahaman yang ekstrem dan menyeleweng daripada prinsip Ahli Sunah Wal Jamaah yang maklum menjadikan wasatiyyah manhajnya,” katanya.

Mohd. Yusof menjelaskan perkara ketujuh dalam resolusi berkenaan adalah tidak boleh mengingkari perkara `khilafiah' melainkan perkara yang telah `diijmakkan' seperti tidak boleh menghukum kafir, bidaah, syirik dan sebagainya.

Semua resolusi itu disertakan dengan pelan tindakan yang boleh diambil pentadbir agama untuk dijadikan panduan pelaksanaan.

Resolusi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Mohamad yang juga Pengerusi MAINS untuk dibincangkan serta diberi sokongan untuk tujuan dasar dan pelaksanaan bagi mengharmonikan umat Islam kelak.

K-Akidah yang berakhir hari ini telah dihadiri penjawat awam dari agensi agama negeri dan Persekutuan, ahli akademik dan penuntut institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain menyaksikan sebanyak tujuh kertas kerja dan beberapa diskusi kitab diadakan melibatkan ulama dari dalam dan luar negara.

Tags: akidah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments