mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahaman liberalisme perlu dipantau

Isu ajaran sesat bukanlah satu perkara yang asing dalam kamus kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring dengan kehidupan manusia. Namun, masih terdapat ramai kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat tersebut. Meninjau realiti umat Islam akhir-akhir ini, ramai orang bercakap mengenai fahaman liberal. Ada yang memahami liberalisme itu sebagai satu bentuk falsafah.

Tidak kurang pula yang menganggap falsafah liberalisme itulah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia dan masyarakat. Falsafah liberal itu pada hakikatnya adalah satu bentuk pembebasan atau kemerdekaan bakal memungkinkan manusia mencapai tahap kejayaan.

Perjuangan pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan.


Dari sudut sejarah, fahaman liberal sebenarnya muncul ketika meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan. Dalam bidang ekonomi liberalisme dihubungkan dengan sistem pasaran bebas. Kerajaan tidak berhak campur tangan dan campur tangan kerajaan jika berlaku pun, ia hanyalah dalam bentuk yang paling minimum.

Liberalisme membiarkan kapitalisme menguasainya, penentuan harga adalah berdasarkan kuasa pasaran. Ia turut menyerap masuk prinsip spekulasi dan pelobian dalam memperoleh sesuatu. Natijahnya, wujud perlumbaan dan persaingan yang hebat bagi erebut penguasaan pasaran.

Prinsip kesamarataan

Dalam hubungan sosial pula, liberalisme memberikan makna ke atas prinsip kesamarataan. Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan golongan feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini seterusnya membawa kepada lahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan.

Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri, dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak atau kilang bayi, malah menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita.

Tetapi, sebenarnya antara fungsi perkahwinan menurut Islam adalah untuk memperbanyakkan zuriat sebagai kesinambungan kehidupan. Oleh kerana kecewa dengan tanggapan tersebut, maka prinsip liberalisme ini menekankan bahawa wanita berhak menentukan nasibnya sendiri. Tidakseorang pun boleh memaksa atau berhak untuk menyekatnya. Wanita menjadi kuasa baru dalam pelbagai hal, sama ada politik, pengurusan mahupun ekonomi.

Pola ini sedang berkembang luas di seluruh dunia. Nisbah yang hampir sama antara lelaki dan wanita menyebabkan nilai masyarakat terhadap kehidupan wanita telah berubah. Untuk membuka pasaran dan mencari keuntungan, perlu ada produk khusus untuk wanita dan kerana itu, produk yang berkait dengan keperluan wanita semakin banyak, baik yang berupa pakaian, barangan kecantikan, perhiasan, elektrik mahu pun majalah.

Jika dilihat pasaran majalah, majalah khusus untuk wanita lebih banyak daripada majalah khusus untuk lelaki atau pun lain-lain bidang profesional. Jika dilihat dari aspek pertumbuhan gedung membeli- belah, kedai yang menjual perkakasan wanita adalah lebih banyak daripada lain-lain barangan. Dari perspektif Islam pula, fahaman liberalisme ini sangat berbahaya. Hal ini kerana konsep liberal dikaitkan dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang.

Prinsip untung, rugi jadi sandaran

Agama dilihat sebagai hak peribadi, dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif kemasyarakatan tidak lagi menjadi teras pegangan. Prinsip untung, rugi menjadi sandaran, dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut. Melalui pemahaman itulah kita dapat kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan.

Umpamanya, kita biasa dihidangkan dengan ungkapan 'Aurat tidak perlu ditutup, yang penting iman wujud di dalam hati, 'Orang berzina tidak boleh dihukum, kerana kerelaan hati pasangan', 'Duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak salah selagi tidak berlaku perzinaan' dan yang terakhir program 'Saya mahu sentuh anjing'.

Prinsip itu berkembang dan menjadi budaya masyarakat Malaysia. Walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, namun nilai-nilainya semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Islam. Berdasarkan perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan, proses sosial dan teknologi maklumat, fahaman liberal dalam masyarakat semakin mengambil tempat. Keluarga yang mempunyai kawalan mutlak terhadap kebebasan anak-anak mula terhakis apabila merasakan anak-anak perlu diberikan kebebasan.

Anak yang berkerjaya menjadikan ikatan kekeluargaan semakin longgar atas desakan kesibukan masa dan keperluan profesional. Inilah namanya kebebasan, dan akhirnya kebebasan itu menjerat kebebasan orang lain. Harga sebuah kebebasan itu menjadi terlalu mahal, dan ada kalanya melanggar kebebasan orang lain.

Prinsip liberalisme itu turut berkembang dalam pemikiran umat Islam sehingga akhirnya pegangan tradisi tentang agama akan berubah. Walaupun perkembangan Islam liberal di Malaysia masih terkawal dan tidaklah sehebat di Indonesia melalui bentuk pertubuhan dan organisasi, namun pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas menghadapi ancaman fahaman dan pemikiran liberal ini daripada merebak dan mengeruhkan keharmonian penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Program berunsurkan liberal perlu dipantau dari semasa ke semasa dan perlu diharamkan jika ia memudaratkan keamanan negara.

Tags: liberal
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments