mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pelbagai aliran, Islam tetap satu

DALAM sejarah Islam, sikap permusuhan akibat perbezaan pemikiran, pendapat dan pegangan politik telah menjerumuskan ummah ke jurang nestapa dalam menjalani kehidupan. Kita mungkin boleh meneladani sejarah lalu bahawa dengan permusuhan sesama kita dalam pemikiran politik hanya melanjutkan pertentangan yang tidak kunjung padam.

Perseteruan antara pelbagai aliran pemikiran, misalnya kelompok yang berpegang kepada prinsip kedekatan dengan Nabi Muhammad SAW, telah menjadikan wujud sengketa yang hingga kini masih menjadi asas. Sesetengah kelompok atau aliran menganggap bahawa fahaman mereka sahajalah yang terbaik dan menjadi pewaris Islam sebenar.

Hakikatnya dendam antara aliran-aliran dalam Islam terus membara tanpa noktah dan menjadi masalah dalam penyatuan Islam sehingga melahirkan konflik berdarah.

Dr Johan Effendi, dalam satu tulisannya pernah melukiskan keluhan seorang rakannya mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam: “Tuhan kita tetap satu, Nabi kita Muhammad SAW juga satu, Kitab Suci kita pun satu, tetapi kita tidak pernah satu dalam segala hal. Kita terpecah-pecah dalam berbagai fikrah politik dan mazhab fikah dengan tingkat fanatisme yang tidak masuk akal. Akibatnya, kita mudah dikalahkan oleh golongan lain yang lebih kecil tetapi terurus lebih baik. Jadilah kita umat dengan pengakuan masa lalu yang jaya, tetapi menemukan diri dalam sudut masa kini yang miskin.” (Menemukan Makna Hidup, 2001: 101-102)

Keluhan itu memang ada kebenarannya. Apabila kita merenung ke dalam kancah politik tanah air, kita akan menemukan banyak sebab yang melatari kepada perpecahan dalam masyarakat kita sendiri, yakni Melayu-Islam. Latar belakang politik yang berbeza menjadikan orang Melayu berada dalam persimpangan dan terjerut dalam kemelut pelbagai perspektif kehidupan.

Perpecahan orang Melayu atas makna kepelbagaian pendapat turut melebarkan jurang sosial, politik, ekonomi dan hubungan sesama Islam. Orang Melayu, dalam keadaan apa sekalipun di Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan Islam, tetapi oleh kerana terus berperang dengan perbezaan pendapat dan cita-cita politik, ada yang sanggup melabelkan kelompok yang berbeza itu sebagai musuh dan lebih dahsyat lagi “halal dibunuh.”

Persoalannya, musuh sebenar yang ada dalam diri umat Islam ialah dirinya sendiri. Kerana terlalu taksub dengan fahaman tertentu, sedangkan fahaman tersebut telah tersasar jauh dari jalan agama, masih terus dilihat betul dan benar. Kalau boleh, apa yang ditafsirkan oleh pemimpin mereka yang dipanggil 'guru', akan terus dianggap benar dan tidak ada salah semuanya.

Apabila seorang yang diiktiraf sebagai guru menganjurkan majlis membaca doa beramai-ramai melaknat seseorang, maka cadangan tersebut dianggap wajar dan sepatutnya dipatuhi. Guru yang diberikan kepercayaan itu seolah-olah melepasi tahap dirinya sebagai manusia biasa, kerana atas dasar kedalaman ilmunya, maka guru itu dilihat bersih, suci dan diselubungi tahap keimanan yang tinggi.

Islam tetap memberikan tempat kepada agama-agama lain kerana itulah “bagi mereka, dengan agama mereka” asalkan hak dan kedudukan Islam tidak dicerobohi. Dalam peringatan itu, ada di antara umat Islam sendiri telah membuat tafsiran sendiri sehingga menyebabkan sesetengah orang Islam itu sebagai kafir. Tetapi “kekafiran itu hanyalah berlandaskan fahaman politik” yang tidak menjelma dengan nama Islam secara jelas.

Dalam catatan sejarah agama dalam kehidupan manusia, setiap agama yang pernah ada dalam peradaban manusia juga mengalami perpecahan disebabkan oleh perbezaan mazhab.

Kemelut perbezaan dan pertentangan pemikiran dalam kalangan umat Islam jika dibiarkan berterusan akan merugikan umat Islam itu sendiri. Jika selama ini kita mungkin menyalahkan sejarah atas timbulnya permasalahan ini, maka pada hari ini berilah peluang kepada sejarah untuk menyatakan kebenarannya bahawa tiada untungnya melanjutkan persengketaan aliran pemikiran. MOHD SHAUKI ABD MAJID Sinar Harian Rencana Agama 5 Disember 2014
Tags: islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments