mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jawi sentuh kesan buruk judi

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menggariskan empat kerosakan dan kemudaratan yang ditanggung orang ramai jika terlibat dalam kegiatan mesin judi haram.

Implikasi buruk kegiatan itu seperti terkandung dalam khutbah bertajuk ‘Perangkap Judi Siber’ tersebut adalah:

* Kehabisan wang dan harta kerana dibelanjakan bagi memuaskan nafsu dengan keseronokan berjudi sehingga ramai diisytiharkan muflis.

* Lupa tanggungjawab dan amanah dengan mengabaikan tugasan yang perlu disempurnakan akibat ketagihan berjudi sehingga sanggup ponteng kerja, kuliah atau sekolah.

* Keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat memandangkan ‘kaki judi’ lazimnya ketagih berjudi sehingga tergamak mengorbankan kebahagiaan rumahtangga, nafkah keluarga dan persekolahan anak.

* Terlibat dengan jenayah memandangkan kegiatan perjudian berpotensi besar mengheret si pelakunya ke kancah pergaduhan, mencuri, merompak dan membunuh akibat desakan mencari sumber untuk melayani ketagihan berjudi yang tiada penghujung.

Menurut Jawi, kegiatan perjudian siber kini merupakan barah yang menular dengan drastik dalam masyarakat negara ini dan perlu dibendung segera bagi mengelakkan malapetaka.

“Selain itu, judi menjadi haram kerana merupakan satu cara untuk mendapatkan wang dengan cara yang salah dan zalim. Hasil dari sumber yang haram akan menjadikan hidup hilang keberkatan di dunia dan sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT di samping dijanjikan dengan azab amat pedih di akhirat kelak,” kata jabatan itu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia menerusi beberapa siri laporan khas membongkar dan mendedahkan pelbagai kepincangan kegiatan mesin judi haram termasuk dari segi penguatkuasaan yang memungkinkan perbuatan tersebut tidak dapat dihapuskan.

Tegas Jawi lagi, semua pihak bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu dan memberikan komitmen dalam membanteras gejala perjudian kerana tidak wajar bebanan itu dilepaskan kepada pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan semata-mata.

“Bersama usaha pihak berkuasa, setiap anggota masyarakat perlu menyumbang dan berperanan dalam arena masing-masing. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti ini manakala guru dan warga pendidik perlu memberi bimbingan kepada para pelajar agar menghindarinya.

“Anggota masyarakat juga perlu peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kewujudan premis-premis yang menjalankan kegiatan perjudian siber ini,” seru jabatan itu lagi.

Utusan Malaysia Rencana Agama 13 Disember 2014 1:58 AM
Tags: judi
Subscribe

  • Sifat malu halang kemungkaran

    Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang…

  • Malu bukan penghalang wanita berjaya

    Golongan beriman tahu menjaga kesucian diri lebih dihormati masyarakat Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang…

  • Sifat malu benteng elak kemungkaran

    Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments