mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kepimpinan melalui teladan

Pemimpin yang hebat adalah pendorong yang bijak. Mereka memberikan inspirasi mengerah dan merangsang pekerja supaya mencapai prestasi yang cemerlang. Mereka tidak melibatkan diri dalam politik pejabat dan aktiviti yang tidak menyumbang kepada kejayaan organisasi. Pemimpin yang baik memastilah menyediakan platform yang sesuai untuk kaki tangan menyumbang idea-idea yang baik, dengan dengan menghebahkannya ke seluruh organisasi, serta memastikan idea yang baik dilaksanakan dengan segera dan memberikan penghargaan yang setimpal kepada penyumbang idea. Kesemua perkara di atas tidak akan tercapai jika pemimpin tidak memiliki teladan yang baik.

Keberanian adalah antara sifat dan teladan yang baik, yang sangat penting perlu dimiliki oleh seorang pemimpin. Kebijaksanaan sahaja tidak memadai kalau tidak ada keberanian. Tugas utama pemimpin menentukan dan memastikan orang yang dipimpinnya melakukan kerja dengan baik dan sempurna.

Tanpa ketegasan dan desakan agar kerja dilakukan dengan sempurna, orang yang dipimpinnya tidak akan menghormatinya, malah mengambil kesempatan daripada ketidakberanian pemimpin mengawal mereka. Dengan kebijaksanaan pemimpin mengawal progres kerja secara diplomasi dan kesabaran, tetapi dengan keberanian pemimpin mengawal orang yang dipimpinnya secara mematuhi disiplin dan tindakan.

Bagi menunjukkan contoh teladan yang baik, pemimpin mesti mematuhi disiplin dan menghargai masa. Seorang pemimpin yang baik menjadi orang yang pertama sampai di pejabat dan orang yang terakhir keluar dari pejabat. Jika pemimpin mengharapkan orang yang dipimpinnya bekerja dengan bersungguh-sungguh, dia sendiri kena terlebih dahulu menunjukkan keseriusan dalam menjalankan tugas. Pemimpin bukan hanya menjadi pemerhati dan pemantau projek, tetapi pemimpin yang baik dia sendiri akan turut turun padang melaksanakan tugas. Bahkan untuk kerja yang lebih susah dan mencabar, pemimpinlah yang melakukannya dan menyelesaikannya hingga jaya.

Pemimpin juga mestilah mematuhi peraturan dan undang-undang di tempat kerja dengan betul, jika pemimpin meringankan peraturan, semua orang akan melakukan perkara yang sama, malah mereka akan meremehkan dan memperlekehkan peraturan. Ingat fomular “Reset Minda”, ADA – BERI – DAPAT. Kalau kita sebagai pemimpin ada sikap yang baik, kita dapat memberikan kebaikan kepada orang yang dipimpin, dan kerana kebaikan kita, mereka akan membalas kebaikan kita, dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berdisiplin mematuhi peraturan di tempat kerja.

Pemimpin mesti juga menghormati masa orang lain, jangan menganggap masanya sahaja yang berharga. Masa orang yang dipimpinnya juga berharga, kerana mereka memerlukan peruntukan masa mereka sendiri yang menjadi hak mereka untuk melaksanakan tugas khusus mereka. Pemimpin jangan mengambil terlalu banyak masa orang yang dipimpinnya untuk melaksanakan tugas yang bukan menjadi teras fungsinya. Contohnya, terlalu banyak mengadakan mesyuarat atau terlalu mengambil masa yang panjang dalam setiap kali mesyuarat, atau masa mereka banyak dihabis untuk memenuhi pemintaan pemimpin dalam hal-hal pengurusan pentadbiran, (melaksanakan tugas daripada arahan dari masa ke semasa). Hingga menjejaskan masa mereka melaksanakan kerja hakiki mereka, dan lebih buruk lagi jika terlalu mengambil masa rehat pekerja.

Pemimpin perlu tunjukkan sikap penyabar, jangan bertindak mengikut emosi. Jangan sesekali menyelesaikan masalah dalam keadaan kita sedang dalam emosi negatif, marah yang meluap-luap, dalam perasaan tidak tenteram, atau dalam perasaan sedih dan kecewa. Sebab EMOSI NEGATIF – RESPONS NEGATIF – TINDAKAN NEGATIF – HASIL KEHIDUPAN NEGATIF.

Tenangkan perasaan kita dahulu, banyak mengingat Allah dengan beristighfar, cuba senyum, refleksi diri dengan melakukan ‘senaman cermin’. Iaitu dengan berkata kepada diri sendiri, apa yang kita patut dan tidak patut buat (satu kaedah kita mengawal emosi kita melalui minda bawah sedar/minda sedar, melalui hati/roh/jiwa kita).

Sehingga kita boleh tersenyum kepada diri kita sendiri, barulah kita bersedia untuk berhadapan dengan masalah orang yang dipimpin, dan berfikir sacara rasional apakah tindakan dan jalan penyelesaian boleh dilakukan terhadap mereka. Fikirkan dahulu sebelum membuat tindakan. Selalu kenang kebaikan pekerja terhadap kita, jangan kerana sekali kesilapannya kita melupakan banyak kebaikan yang telah disumbangkan oleh pekerja.

Pemimpin perlu mempunyai keupayaan dan bakat memikat dan menambat hati orang yang dipimpin. Dalam organisasi, biasa kita temui ada “dua kem” yang berbeza; satu kem pemimpin dan satu lagi kem orang yang dipimpin. Masing-masing menunjukkan kehebatan sendiri dan menonjolkan kelemahan orang. Pemimpin yang baik berjaya menyatukan hati semua orang yang dipimpinnya dengan semangat kerja sama. Semakin kita berjaya mewujudkan suasana kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain, hasil kerja kita akan semakin bagus.

Pemimpin yang cemerlang tidak mudah berubah-ubah arahannya. Selain arahannya mudah difahami dan jelas, arahannya sentiasa selaras. Pemimpin yang mahukan satu perkara hari ini dan mahu perkara yang bertentangan pada hari berikutnya, merupakan pemimpin yang sukar membuat keputusan, kerana tindakan dan arahannya yang tidak selaras.

Bukanlah pemimpin yang berteladan baik, jika sesuatu kerja, laporan, dan seumpamanya yang memuaskan hatinya semalam, tidak semestinya diterima olehnya hari ini, hingga menyebabkan orang yang dipimpinnya sentiasa berasa cuak, takut berubahan lagi arahan dan terpaksa membuat kerja yang sama pada keesokannya. Kita memang tidak boleh menjadi pemimpin yang cemerlang jika kita tidak selaras.

Sikap ketidakselaran akan menimbulkan situasi, diskriminasi, pilih kasih dan penganiayaan. Seorang pemimpin yang melayan orang yang dipimpinnya dalam keadaan tertentu hari ini dan kemudian cenderung menukar fikirannya dan meberikan layanan yang berbeza pada hari esoknya, akan menimbulkan suasana tidak selesa bekerja dalam organisasi dan tidak puas hati orang yang dipimpin. Sikap tidak selaras ini menunjukkan bahawa pemimpin itu lemah, kerana tidak tetap pendirian. Hingga mudah dipengaruhi oleh faktor luaran dan persekitaran serta orang di sekelilingnya, yang menyebabkan dia menukar keputusan arahan yang telah dilakukan oleh dirinya sendiri.

Teladan yang baik perlu tunjukkan oleh pemimpin adalah sikap bertimbang rasa dan jangan terlalu memaksa. Lebih baik membiarkan pekerja melaksanakan tugasan dengan secara rela dan bersemangat, daripada bertempik memarahi pekerja membuat kerja. Pemimpin yang baik hanya perlu memberikan arahan dan kawalan, tanpa salah menyalahkan antara satu sama lain dalam arahannya.

Antara perkara yang berat untuk dilakukan oleh seseorang itu adalah mengaku salah. Tiada siapa suka menjadi orang yang dipersalahkan. Orang yang mampu mengaku salah ialah orang yang tahu kelemahannya. Mengaku salah bukan bermakna beralah tetapi tanda hamba kepada Allah. Allah telah nampak segalanya yang terang dan yang samar, serahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Pengarah dan Pakar Mata, Prof. Muhaya Eye and Lasik Centre, dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia). Utusan Malaysia Rencana 14 Disember 2014

Tags: pemimpin, teladan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments