mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perintah Iqra’ dan Teknologi Pembacaan

Laporan BERNAMA yang memetik kajian terkini Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap warga Malaysia secara puratanya membaca 14 buah buku setahun. Angka ini amat menggembirakan, kerana sekitar 14 tahun yang lepas, hanya dua setengah muka surat yang dibaca dalam setahun.

Ayuh kita himbau peperangan strategis yang terjadi seratus tahun selepas kewafatan Nabi. Dalam tahun 751, berlaku konflik perbatasan antara Bani Abbasiyyah dengan Dinasti Tang China, di tebing sungai Talas yang kini terletak di sempadan Kyrgyzstan dengan Kazakhstan.

Selesai pertempuran yang dimenangi oleh Kerajaan Islam, tahanan perang China telah diminta mengajar rahsia cara membuat kertas kepada orang-orang Islam di Samarkand. Dari sini, seni pembuatan kertas yang dipelopori oleh kebudayaan China telah dimajukan oleh orang Islam menjadi satu industri global.

Jika sebelumnya proses membuat kertas terbatas sebagai satu seni rahsia kelompok elit biarawan Buddha China (State secret), tamadun Islam telah menaiktarafnya menjadi industri awam dengan kilang-kilang yang didirikan daripada di Baghdad dan Damshiq hinggalah membawa ke Tiberias, Syria, Mesir, dan tidak lupa Andalusia.

iqra’ itu sendiri pun bukan sekadar bermaksud bacalah!, tetapi juga bermaksud telitilah sesuatu perkara secara yang saksama (istaqri’), dan telaahlah sesuatu ilmu secara yang bersungguh-sungguh (tali‘).


Teknologi kertas yang dimajukan telah menyebabkan bahan penting untuk budaya membaca tersebut menjadi ‘semakin murah’ dan ‘semakin bermutu’. ‘Semakin murah’ dan cost-effective, kerana jumlah buruh dan tenaga-kerja yang digunakan semakin berkurangan. ‘Semakin bermutu’, kerana bahan yang digunakan lebih berkualiti tinggi, iaitu daun kenab (hemp) yang memiliki gentian yang panjang lagi kuat.

Kilang yang di Damshiq mengeksport kertas ke Eropah, sebelum loji kertas di Andalusia membekalkannya ke Jativa, Valencia dan Eropah Barat.

Prasarana budaya membaca menjadi bertambah baik, dan seterusnya merangsang jualan buku, pengajaran dan pembelajaran. Suatu perubahan yang sangat hebat, suatu revolusi penyebaran ilmu dan sains tercipta.

Jelas bahawa untuk tamadun Islam mampu menguasai dunia tidak memadai sekadar bernostalgia yang wahyu pertama kepada Rasulullah adalah mengenai perintah membaca.

Sebaliknya, umat Islam silam nampaknya sangat faham bahawa wahyu pertama bukan sekadar mengandungkan perintah iqra’, tetapi turut menitahkan perintah menyebarkan ilmu dan kepentingan strategis qalam atau stylus.

Bahkan iqra’ itu sendiri pun bukan sekadar bermaksud bacalah!, tetapi juga bermaksud telitilah sesuatu perkara secara yang saksama (istaqri’), dan telaahlah sesuatu ilmu secara yang bersungguh-sungguh (tali‘).

Bukan secara kebetulan bahawa gua tempat Nabi menerima wahyu pertama bernama Ghar Hira’ yang bermaksud ruang ‘pencarian’, ‘pemeriksaan’ dan ‘penyelidikan’.

Seterusnya, iqra’ turut bermaksud ‘sampaikanlah!’ atau ‘isytiharkanlah!’. Satu lagi perkara yang sangat menarik adalah, betapa ajaran Islam yang disampaikan itu harus selaras dengan tata logika. Justeru iqra’ sangat berkait rapat dengan istiqra’, iaitu metod deduktif yang menarik satu kesimpulan baru daripada beberapa pernyataan lain, hasil penyelidikan dan pemeriksaan yang mendalam tadi.

Tidak hairanlah kalau golongan pembaca atau qurra’ sama statusnya dengan golongan yang bertanassuk atau beribadah kepada Allah, sementara perintah membaca adalah setaraf dengan perintah tafaqquh atau mempelajari ilmu agama, kerana sesungguhnya tiada pemisahan ilmu dalam Islam.

Berikut dari itu, petunjuk-petunjuk al-Qur’an telah ditafsir dan diperjelas dalam pelbagai karya agung dan abadi silam yang berjilid-jilid besarnya, sama ada dalam bidang kerohanian, akhlak, perundangan, pendidikan, perubatan, perbandingan agama, falsafah, ekonomi, politik, mahupun kesusasteraan.

Persis pengamatan Voltaire dalam Philosophical Dictionary, “the whole of the known universe is governed by books alone.” Lihatlah tamadun mana yang mengawal planet bumi sekarang? Amerika dan Jepun menguasai budaya penyelidikan dan inovatif, dan seterusnya mempelopori teknologi terkini pembacaan seperti Amazon Kindle, Sony Reader, buku-elektronik, perisian buku-audio, e-kertas, dan kertas-digital.

Tags: baca
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments