mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bermuhasabah Menjelang Akhir Tahun

Tanpa kita sedari, hari demi hari berlalu, minggu, bulan dan juga tahun. Masa begitu pantas berjalan meninggalkan kita, tahun 1435 Hijrah ditinggalkan, kemudian dibuka dengan tahun baru 1436H. Begitu juga 2014 Masihi yang bakal dijemput 2015 beberapa hari lagi.

Hujung tahun biasanya diiringi dengan keghairahan menyambut pesta tahun baru di bandar-bandar besar. Persiapan besar-besaran diadakan untuk menghitung detik menyambut tahun baru. Masing-masing menaruh harapan agar tahun yang akan datang menjanjikan yang lebih baik.

Pada penghujung tahun ini adalah masa untuk umat Islam melakukan muhasahah tentang pencapaian dan kekurangan diri. Seeloknya kita bermuhasabah atau merenung diri menilai segala amalan sepanjang tahun, adakah ia merupakan amalan baik atau buruk?


Di antara kebaikan muhasabah ia dapat membantu seseorang itu peka menyedari kelebihan dan kekurangannya. Seterusnya berusaha membaiki diri dan melakukan penambahbaikan. Dengan bermuhasabah umat Islam dapat merancang kehidupannya dengan lebih teratur. Ia sepatutnya menjadi amalan setiap orang samada pemimpin, majikan, suami, isteri, anak dan sebagainya.


Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dikerjakannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan “ (Surah Al-Hasyr: Ayat 18).



Mengikut Kamus Dewan, muhasabah ialah perbuatan menilai dan meninjau perasaan diri sendiri.

Manakala Kamus Pengetahuan Islam mendefinisikan muhasabah kepada beberapa pengertian iaitu: Membuat perhitungan terhadap diri sendiri ketika berada di dunia sebelum datangnya hari perhitungan di akhirat kelak.


Membuat rencana perkara kebajikan yang hendak diamalkan pada masa depan sebagai bekalan di akhirat kelak. Dan mengadakan perhitungan amalan manusia di akhirat untuk menentukan siapakah yang patut menduduki syurga atau neraka.


Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara bukan hakiki. Ia selalu diibaratkan sebagai seorang musafir untuk sampai ke destinasinya. Kematian tidak mengenal usia dan kedudukan, ia boleh berlaku bila-bila masa.


Justeru kita harus bermuhasabah seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum hari kematian tiba. Dalam kesibukan kita bekerja keluar pagi balik malam dan sentiasa mengeluh kepenatan, keperluan untuk berhenti sejenak untuk bermuhasabah adalah lebih lagi.


Ia seolah-olah umpama brek pada kenderaan agar tidak terus terlajak dan mengalami perlanggaran. Bayangkan betapa pentingnya sistem brek pada kenderaan begitulah juga muhasabah diri amat penting dalam kehidupan seseorang.


Persiapan penting bagi setiap orang Islam kerana peluang hidup di dunia dikurniakan Allah hanyalah sekali dan tiada lagi peluang kedua. Di dalam al-Quran terdapat banyak kisah penyesalan orang yang kafir musyrik.


Namun penyesalan mereka tiada gunanya kerana mereka sudah diberi peringatan demi peringatan oleh nabi dan rasul, namun mereka mengingkarinya. Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah ( hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.


Berbanding haiwan, manusia diberi kelebihan dengan akal yang mampu berfikir dan menilai segala tindak tanduknya. Gunakanlah akal ini  sebaik-baiknya untuk mengorak langkah ke arah mencapai kehidupan yang lebih bermakna.


Bukan menggunakan akal kurniaan Tuhan untuk memikirkan perkara yang bukan-bukan. Contohnya sambutan tahun baru bercampur lelaki dan perempuan yang natijahnya setiap tahun adalah bayi-bayi luar nikah dilahirkan sembilan bulan kemudian.


Akibat tiada muhasabah seseorang tidak akan menyedari kesalahan dan kelemahan diri dan berterusan melakukannya. Dia akan menjadi seorang yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri. Pada masa yang sama begitu peka terhadap kelemahan dan kesilapan orang lain sehingga sanggup mengaibkannya hatta di khalayak ramai.


Khalifah al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali akan bangun berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin masyarakat Islam. Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar orang Islam membetulkan apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa memimpin dan memberi sokongan selama mereka berada di atas landasan al-Quran dan menolak mereka apabila mereka mengetepikan pimpinan wahyu dan sunnah rasul.


Inilah konsep muhasabah yang dipegang oleh pemimpin Islam terkemuka pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan Rasulullah (SAW). Adalah jelas bermuhasabah adalah antara ciri-ciri orang yang bijaksana.


Amalan bermuhasabah dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan seseorang. Melalui amalan muhasabah seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Penilaian terhadap kejayaan dan kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu perkara dapat memberi kesan yang sangat besar untuk menjadikan azam tahun baru lebih realistik dan mampu dicapai.

Tags: muhasabah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments