mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Polemik kalimah bahaya jika dipolitikkan

Walaupun Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran dari segi perundangan untuk menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan mingguannya, The Herald versi bahasa Melayu, isu sensitif ini nampaknya masih terus dipolitikkan.

Terbaru apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Jumaat lalu dilaporkan berkata, bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah Allah. Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang mempunyai lampiran fatwa mengenai perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam.


Lim berkata demikian sebagai mengulas gesaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, sehari sebelum itu, yang meminta Pulau Pinang memulakan langkah dan tidak berterusan mengelirukan rakyat, khususnya komuniti Kristian, mengatakan larangan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' ialah kesalahan Barisan Nasional.

Kenyataan berbaur perkauman

Ti dilaporkan berkata, Lim dan DAP sering menyalahkan Putrajaya, mendakwa bahawa kegagalan Kerajaan Pusat dan perdana menteri untuk bertindak, menjadi punca kebuntuan dan pertelingkahan undang-undang berhubung kegunaan kalimah Allah.

Seperti biasa, apabila isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam ini ditimbulkan, apa lagi daripada seorang pemimpin politik yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, pasti ada reaksi balas daripada pelbagai pihak lain bagi mempertahankan kesucian kalimah itu dari sudut pandangan Islam.

Kita bersetuju dengan pandangan Lim bahawa bukan satu amalan dan budaya rakyat Kristian Pulau Pinang menggunakan kalimah 'Allah' dalam ibadat mereka kerana biasanya ia dikendalikan dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil yang mempunyai terjemahan masing-masing untuk perkataan yang membawa makna 'Tuhan'.

Jika itu keadaannya, yang turut berlaku di semua negeri di Semenanjung apabila sebahagian besar penganut Kristian ialah rakyat berketurunan Cina dan India, larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam tidak seharusnya menjadi isu walaupun timbul percanggahan daripada sudut tafsiran undang-undang.

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, kecuali di Sabah dan Sarawak, selain bersandarkan semangat Perlembagaan, pastinya mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan saja dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dalam kehidupan beragama, malah memudahkan usaha pihak tertentu untuk memurtadkan orang Melayu/Islam.

Boleh ancam keharmonian rakyat

Inilah yang menjadi kebimbangan utama orang Melayu/Islam di negara ini. Jika masalah ini, yang boleh dianggap selesai dengan keputusan Mahkamah Persekutuan Jun lalu, terus dipolitikkan, kesannya nanti boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kecenderungan pemimpin politik, sama ada daripada pembangkang atau dalam kalangan komponen BN sendiri, menjadikan isu sensitif seperti ini untuk menonjolkan parti mereka atau menyerang parti lawan, menggambarkan kebankrapan idea untuk menarik perhatian rakyat.

Lebih malang lagi, mereka, yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati kontrak sosial, Perlembagaan dan undang-undang, dilihat tidak menghormati keputusan mahkamah yang sudah pun memutuskan isu berkenaan. Mereka juga mungkin tidak langsung menghayati Rukun Negara.

Kita masih bernasib baik kerana orang Melayu/Islam yang menjadi majoriti di negara ini masih boleh bersabar dengan tindak-tanduk golongan berkenaan. Bagaimanapun, sebaik dan selemah manapun seseorang itu, boleh hilang kesabaran apabila agama dan hak mereka dicabar secara berterusan.

Sejarah dan peristiwa semasa di seluruh dunia menunjukkan betapa manusia sanggup mati dalam mempertahankan agama mereka. Kemunculan rangkaian pengganas yang menggunakan Islam untuk 'berjihad', walaupun tindakannya bercanggah dengan ajaran agama, adalah kesan daripada tekanan dan penghinaan berterusan terhadap agama dan umat Islam di seluruh dunia.

Tags: kalimah
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments