mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berdakwah melalui sains

KITA selalu dihidangkan dengan sebaran berita bahawa terdapat hasil kajian telah membuktikan beberapa larangan syariah terutama yang berkait rapat dengan makanan dan gaya hidup termasuk hukuman mempunyai kebaikan sains.

Antara berita yang terpampang, seperti terjumpanya kuman-kuman yang berbahaya di dalam air liur anjing, daging babi dan sebagainya. Begitu juga dengan hukuman rotan kepada pesalah seks boleh mengubati ketagihan seks seseorang dan pekerjaan tawaf di Baitullah, Mekah menyebabkan putaran paksi bumi dan sebagainya.

Berkemungkinan ada di antara dakwaan ini telah jelas kebenaran sains serta tidak perlu dibuktikan kerana ternyata kesannya secara zahir seperti keburukan minuman alkohol dan dadah termasuk rokok. Namun, terdapat sesetengah dakwaan tidak diasaskan kepada kaedah pembuktian yang jelas.


Kajian empirikal, ujikaji saintifik perlu diterokai sebagai satu medan dakwah

KAJIAN empirikal serta ujikaji makmal adalah kaedah yang digunakan oleh al-Quran serta ulama-ulama saintis terdahulu untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam. – Gambar hiasan

Sesungguhnya umat Islam wajib menjauhi larangan-larangan berkenaan sebagaimana yang ditetapkan oleh syariah, namun untuk memperkuatkan larangan berkenaan dengan dakwaan yang tidak sahih kebenarannya daripada sudut pandangan metodologi ilmu sains dan teknologi malah lebih buruk hanya dengan khabar angin yang selalunya dipetik melalui media-media popular, bukanlah sesuatu yang perlu disokong malahan pada pandangan saya tidak bertepatan dengan kaedah Islam sebagaimana ditunjukkan oleh al-Quran.

Tambahan pula sekiranya terdapat perbahasan khilaf daripada kalangan ulama daripada segi kebersihan penggunaan bahan berkenaan sebagai contoh bahan-bahan yang telah melalui proses pembersihan atau apa yang dikenali dengan istilah istihalah.

Masyarakat Islam di Malaysia amat gemar kepada cerita-cerita sensasi mengenai kehalalan dan keharaman sesuatu produk makanan, barangan kegunaan harian, gaya hidup dan seumpamanya. Sebagai contoh baru-baru ini, tersebar dakwaan mengenai pencemaran Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam produk coklat sebuah syarikat.

Sungguhpun akhirnya terbukti kesalahan maklumat berkenaan, namun masyarakat Islam di negara ini menjadi gempar dan isu ini menjadi persoalan negara yang serius kesan daripada bantahan, cemuhan, kerisauan malah luahan emosi yang keterlaluan di dalam media massa dan media sosial.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa beberapa produk makanan terutama sayuran yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan najis seperti khinzir dan air kencing. Mengikut maklumat yang disebarkan penggunaannya bertujuan menjadikan produk berkenaan lebih berkualiti!

Dakwaan ini pula diperkuatkan dengan komentar-komentar yang diberikan oleh saintis Muslim tempatan. Dakwaan sebegini adalah juga mengulangi peristiwa pencemaran DNA khinzir pada produk coklat seperti di atas kerana tidak dibuat berasaskan kepada kaedah dan metodologi yang kukuh dan pasti.

Bagi saintis, dakwaan ini menunjukkan ketidakfahaman kepada proses alam iaitu di mana alam tumbuhan mengambil yang kotor dari alam buana ini dan memberi balik kepada manusia dan makhluk lain yang terbaik dalam bentuk oksigen dan fiber.

Sementara itu, alam manusia dan haiwan mengambil yang baik dan elok dan memulangkannya kepada tumbuhan yang buruk dan kotor dalam bentuk karbon. Bagi saintis ini adalah proses semula jadi alam dan bagi Islam ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan.

Apa yang saya fahami, di dalam ilmu sains dan perubatan sesuatu penemuan hendaklah melalui ujikaji-ujikaji ilmiah yang mengikut kaedah dan metodologi yang ditetapkan. Untuk memperkukuhkan hasil dapatan berkenaan, ia akan dibentangkan kepada pakar-pakar untuk perkongsian maklumat atau untuk mendapat pengiktirafan.

Lazimnya, hasil-hasil kajian berkenaan diterbitkan dalam penerbitan atau dibentangkan di seminar yang diiktiraf kesarjanaannya. Memandangkan negara-negara umat Islam masih lemah dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, maka penerbitan dan seminar berkenaan banyak terdapat di negara-negara Barat.

Keadaan sebegini mungkin boleh menimbulkan persepsi atau tanggapan bahawa umat Islam tidak perlu bergantung kepada Barat untuk menerima sesuatu kebenaran dalam ajaran Islam. Dan begitu juga ini hasil kajian sains yang membuktikan kebenaran larangan di dalam Islam boleh diterima sebagai hujah, walaupun diragui kesahihan ujikajinya atau ketepatan sumber maklumatnya.

Ini adalah dengan alasan keagamaan iaitu untuk berjaga-jaga atau apa yang diistilahkan sebagai ihtiyati dan wara’. Metode pemikiran sebegini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia sudah timbul sejak dahulu lagi dan mungkin merupakan satu faktor kemunduran umat Islam. Ini adalah kerana cara berfikir sebegini timbul ketika zaman menurunnya ilmu pengetahuan sains dan juga agama pada zaman pertengahan Islam terdahulu. Sebagai contoh terdapat beberapa hadis yang jika dinilai daripada sudut sanadnya boleh dianggap lemah, namun diperkuatkan dan diterima sebagai hujah dengan alasan ia selaras dengan matlamat syariah.

SECARA peribadi, saya menyokong pendekatan keagamaan sebegini sebagai sesuatu yang wajar dipratikkan untuk mengelak seseorang Muslim itu terjebak dalam sesuatu yang haram. Namun dalam konteks untuk membina keyakinan golongan intelek terutamanya saintis terhadap ajaran Islam, ia bukanlah sesuatu cara yang perlu diamalkan.

Pada pandangan saya ini adalah cabaran sebenar umat Islam terutama para ulama dan saintis Muslim untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam melalui kajian empirikal serta ujikaji makmal yang melalui kaedah dan metodologi yang meyakinkan dan kukuh. Kaedah inilah yang digunakan oleh al-Quran serta ulama-ulama saintis terdahulu untuk membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Umum mengetahui bangsa Arab mempunyai kekuatan dan kemampuan bahasa dan sastera yang luar biasa hebatnya melalui syair-syair dan perbendaharaan kata-kata. Kehebatan syair-syair ini telah ditundukkan oleh ayat-ayat al-Quran yang lebih indah.

Malahan al-Quran mencabar supaya orang-orang kafir membawa rangkuman ayat yang lebih baik daripadanya. Begitu juga penjelasan al-Quran terhadap fenomena sains seperti kejadian janin dan kelahiran manusia dan astronomi dijelaskan secara spesifik dan terperinci yang boleh dibuktikan secara saintifik.

Oleh itu, pada ketika dan saat umat mengambil pendekatan berhati-hati dan mengelak yang subahat, amatlah perlu usaha diambil bagi membuat kajian dan ujikaji mengikut kaedah dan piawaian yang diterima antarabangsa bagi membuktikan keagungan ajaran Islam.

Jika tidak, ajaran Islam itu hanya merupakan satu mitos atau cerita-cerita sensasi mengikut kaca mata ilmu pengetahuan masa kini yang dikuasai oleh tamadun atau nilai barat. Mungkin akan ada dalam kalangan umat Islam yang akan berkata, “Mengapa kita perlu khuatirkan penerimaan orang bukan Islam terhadap ajaran Islam, kerana Islam dibina dengan keyakinan dan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya?”

Ini adalah satu sikap berdiam diri dan cemburu kepada kemajuan dan kemakmuran barat melalui penafian dan pada jangka masa panjang akan merugikan agama Islam dan umatnya.

Pada pandangan saya, kajian empirikal dan ujikaji saintifik merupakan satu medan dakwah yang masih belum diterokai oleh umat Islam. Ia adalah satu metode dakwah yang paling berkesan dalam masyarakat dunia yang serba canggih dan maju kerana umat Islam mampu untuk bercakap dan berdebat dengan bahasa yang mereka faham dan cara berfikir yang mereka dapat menerimanya.

Tags: sains
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments