mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ibadah lebih mudah

ISU sukar untuk beribadah ketika berada di luar kawasan kediaman sering kali dibangkitkan oleh segelintir umat Islam untuk dijadikan alasan untuk tidak patuh kepada perintah syariat, lebih-lebih lagi ketika berada ke luar negara.

Pelbagai keringanan dalam ibadah ditawarkan ketika bercuti


Islam menawarkan pelbagai kemudahan dalam ibadah.
- Gambar hiasan

Bukan berstatus negara Islam, pastinya berada di negara yang majoriti penduduk beragama selain Islam sukar untuk mendapatkan kemudahan ibadah umat Islam seperti tempat solat dan mendapatkan makanan yang halal.

Bagaimanapun, pendakwah bebas, Mohd. Safwan Syafiq Mohd. Idris berkata, perkara itu tidak boleh dijadikan sandaran bagi umat Islam daripada melepaskan tanggungjawab dalam menyempurnakan tuntutan agama dengan meletakkannya sebagai darurat.

Sebaliknya pendakwah selebriti itu berkata, ia bukan perkara baharu, Islam telah meletakkan pelbagai kemudahan (rukhsah) yang bersesuaian dengan perubahan masa dan tempat bagi memudahkan umat Islam beribadah tidak kira di mana sahaja berada.

Bukan sahaja diberikan keringanan, malah tambahnya, ganjaran juga diperoleh berganda bagi orang yang bermusafir melakukan ibadah dengan kelonggaran tersebut, kerana di samping melakukan ibadah, dalam masa sama turut mengikuti sunah Rasulullah SAW.

“Perkara yang perlu dititikberatkan ketika memilih percutian atau urusan kerja luar adalah solat, makanan dan tempat penginapan. Namun, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Oleh itu, pada masa kini tiada istilah darurat atau alasan boleh diberikan untuk tidak mematuhi perintah tersebut.

“Bagi mereka yang bermusafir, diberikan kelonggaran untuk bersolat dengan melakukan jamak dan qasar. Sehingga diajarkan dengan terperinci kaedah solat dalam pelbagai keadaan seperti di dalam kenderaan dan tiada air untuk berwuduk.

“Mungkin ada juga yang ragu-ragu untuk melakukan keringanan ini kerana jarang dilakukan atau langsung tidak pernah melakukannya sebelum ini, oleh itu mereka perlu tahu bahawa orang melakukan rukhsah tersebut turut mendapat dua ganjaran berbanding ibadah cara biasa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, orang ramai perlu mempelajari rukun dan syarat sah sebelum melakukan kelonggaran ketika bermusafir tersebut agar dapat dilakukan dengan betul.

Sementara itu, daripada aspek pemakanan pula tambahnya, umat Islam wajib memastikan makanan yang diambil ketika berada di luar adalah daripada sumber halal walaupun berada di kawasan bukan berpenduduk Muslim.

“Selidik dan perhatikan terlebih dahulu betul-betul di kawasan sekitar atau destinasi yang ditujui jika ada makanan halal yang boleh diambil. Sekiranya tiada, maka pilihlah makanan yang selamat atau tidak jelas mempunyai unsur haram seperti sayuran atau roti.

“Begitu juga pemilihan hotel atau tempat penginapan. Sebaik-baiknya elakkan daripada memilih kediaman yang jelas menawarkan khidmat maksiat kepada pengunjung, ini kerana dikhuatiri boleh memberi kesan secara langsung atau tidak kepada kita,” jelasnya.

Harus menjadi haram

FIRMAN Allah SWT bermaksud: Katakanlah, Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu. (al-Naml: 69)

Safwan berkata, hukum bercuti yang asalnya sunat dan harus, boleh menjadi haram dan berubah mengikut niat dan tujuan percutian itu diadakan.

Ia tambahnya, apabila aktiviti serta destinasi percutian yang diadakan mempunyai unsur yang berkaitan dengan perkara maksiat dan diharamkan oleh Allah SWT.

“Niat atau tujuan percutian adalah perkara penting yang perlu diambil kira ketika ingin bercuti. Hukum percutian adalah sunat apabila percutian itu dapat meningkatkan iman, seperti apabila membawa kita untuk memikirkan kekuasaan Allah SWT, memberi keinsafan dan pengajaran.

“Begitu juga percutian yang diadakan sebagai medium untuk mengeratkan lagi kasih antara sayang suami isteri, menggembirakan anak-anak atau merapatkan hubungan silaturahim sesama keluarga adalah harus.

“Manakala, jika niat atau destinasi yang dipilih bagi tujuan melakukan maksiat atau keseronokan semata-mata di tempat yang penuh dengan aktiviti haram seperti judi, arak dan berzina hukumnya menjadi haram dan tidak patut dijadikan destinasi pelancongan Muslim,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, kini telah ditawarkan pelbagai pakej pelancongan patuh syariah untuk pilihan umat Islam, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Tags: ibadah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments