mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Contohi cara Khalifah Umar Abdul Aziz urus baitulmal

Menurut pakar ekonomi, Monze Kahf, terdapat cendekiawan berpendapat miskin adalah individu yang memiliki harta dan pendapatan. Walau bagaimanapun, harta dan pendapatan itu tidak cukup untuk memenuhi keperluan hidup mereka.

Berbeza dengan fakir, mereka tidak memiliki sebarang keperluan untuk memenuhi kehidupannya. Dalam konteks Malaysia, miskin ini dikategorikan sebagai miskin relatif, sementara fakir pula adalah miskin mutlak. Menurut Monzer Kahf lagi, terdapat cendekiawan yang berpandangan sebaliknya.


Umar bin Abdul Aziz telah membuat seluruh rakyatnya menjadi kaya.

Keadaan golongan miskin dan fakir ini diperincikan oleh Ibn Manzur melalui tiga pandangan. Pandangan Yunus, Ibn Al-Sakit, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, golongan fakir kedudukannya lebih baik berbanding miskin. Sementara Al-Asma'i, Ahmad bin Ubayd, Abu Bakar, Al-Farra', Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Al- Syafie menyatakan sebaliknya. Pandangan ketiga agak berbeza kerana berpandangan kedua-dua golongan itu sama sahaja kedudukannya. Pandangan Ibn Al-'Arabi ini kurang popular.

Berdasarkan manuskrip dan kitab mengenai Khalifah Umar bin Abdul Aziz, perkataan 'fakir' banyak diguna pakai ketika menceritakan mengenai kemiskinan yang terhapus pada zaman itu. Seorang lelaki berketurunan Zaid bin Khattab berkata, "Umar bin Abdul Aziz memerintah selama dua tahun setengah, iaitu 30 bulan. Dia tidak meninggal dunia kecuali selepas membuatkan kita kaya dengan membawa harta yang melimpah- limpah, lalu dia berkata: Bahagikan ini kepada orang yang kamu anggap fakir. Umar terus melakukan itu sampai dia pulang dengan membawa harta yang tersisa.

Saat itu, tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat dan keprihatinan negara, sehingga harta itu dibawa kembali ke baitulmal. Umar bin Abdul Aziz telah membuat seluruh rakyatnya menjadi kaya.

Khalifah Umar jadikan semua rakyat kaya

Diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang juga salah seorang gabenor pada ketika itu, katanya, "Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya." Selain daripada riwayat itu, terdapat juga surat daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada pegawainya, Urwah bin Muhammad yang membuktikan beliau sentiasa mengambil berat golongan fakir berbanding golongan miskin.

Isi kandungan surat itu: "...kemudian bahagikan zakat itu kepada golongan fakir mereka dan lantiklah di jalan menuju haji petugas yang diredai rakyat dan kamu juga reda atas agama dan amanahnya, sehingga akan mampu menguatkan yang lemah dan memperkayakan yang fakir..." Sepanjang tempoh dua tahun enam bulan pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, golongan miskin relatif masih wujud. Mereka adalah individu berhutang, pemuda yang tidak mampu membayar mahar perkahwinan dan musafir yang kehabisan bekal.

Semua mereka turut dibantu oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan melangsaikan hutang mereka, memberikan wang untuk dijadikan mahar perkahwinan dan memberikan wang sebagai bekalan kepada musafir yang kehabisan bekal. Golongan miskin relatif pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz hidup secara qana'ah (berasa cukup dengan apa yang ada). Seorang hamba perempuan Dhi Asbah di Mesir bernama Fartunah Al-Sawda' menulis surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengenai keadaannya yang sering diganggu dan ayamnya hilang disebabkan pagar rumahnya rendah.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz melayan aduan itu kerana Fartunah adalah hamba yang semestinya hidup miskin, tetapi tidak meminta harta sebaliknya meminta supaya pagar rumahnya ditinggikan supaya beliau dan ayamnya selamat. Ziyad, hamba kepada Ibn Iyasy dibenarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz untuk masuk ke Baitulmal dan mengambil harta dalam Baitulmal itu. Penjaga Baitulmal curiga dengan arahan itu, tetapi disebabkan ia arahan khalifah, penjaga Baitulmal terpaksa akur.

Ziyad masuk ke Baitulmal dan hanya mengambil sekitar 80 atau 90 dirham sahaja. Melihat keadaan itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata kepada penjaga baitulmal: "Aku tahu kepada siapa aku tumpahkan harta baitulmal (membuka dan mengambilnya sesuka hati)."

Sifat qana'ah rakyat, pemimpin

Keamanan dan kemakmuran yang dirasai pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah disebabkan sifat qana'ah yang dimiliki oleh rakyat dan pemimpinnya. Sifat qana'ah telah ditanam oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz ke dalam diri rakyatnya. Selain sifat qana'ah, beliau turut melakukan pengislahan sehingga rakyatnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT berbanding hal keduniaan. Rakyatnya memiliki kecenderungan seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Ini termasuk kecenderungan dalam menunaikan ibadah seperti sembahyang, puasa, membaca al- Quran dan ibadah lain membuatkan rakyatnya berlumba-lumba untuk melakukan hal yang sama. Sikap rakyat yang berubah daripada mencintai hal berbentuk keduniaan kepada mencintai ibadah juga adalah perkara asas yang menjadi penyumbang kepada kejayaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengurus kemiskinan pada zaman pemerintahannya.

Perkara sama seharusnya dilakukan di Malaysia. Sejarah menunjukkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya membasmi golongan miskin mutlak. Oleh itu, dasar, program dan aktiviti bertujuan memperkasa rakyat perlu disertakan dengan program yang berbentuk pengislahan supaya pemimpin dan rakyatnya seperti zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Tags: baitulmal, khalifah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments