mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ustaz & ustazah … gelaran terbuka

SEMASA perhimpunan agung sebuah parti yang dikatakan membela dan memperjuangkan bangsa Melayu baru-baru ini, ada satu isu yang menjadi topik hangat diperbahaskan, di samping isu-isu yang lain.

Seorang perwakilan yang juga seorang ustazah mempersoalkan fenomena "ustaz dan ustazah segera” atau disebut juga “ustaz dan ustazah ekspres”.

Mendengar ucapan beliau dan meneliti  laporan media, isu tersebut merujuk kepada fenomena selebriti-selebriti tanah air yang telah berubah ke arah cara hidup yang lebih Islamik. Kemudian mereka dijemput untuk memberi ceramah mengenai pengalaman.

Ucapan beliau ini mengundang reaksi yang pelbagai sama ada daripada pihak parti lawan mahupun dalam kalangan selebriti sendiri. Ada yang mempersoalkan kenapa isu ini yang dibangkitkan dalam perhimpunan tersebut?




Sedangkan masih banyak lagi isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Kenapa artis-artis yang berhijrah ini dikritik? Sepatutnya kritiklah artis-artis yang belum berhijrah.

Kenapa artis-artis yang mahu berubah ditegur? Sepatutnya tegurlah kesalahan-kesalahan pemimpin yang berada di atas pentas. Amalan rasuah, penyelewengan pengurusan wang negara dan sebagainya. Inilah contoh sebahagian respons yang muncul.


Tidak perlu disahkan

Satu hakikat yang kita terpaksa terima sekarang ini ialah gelaran “ustaz” atau “ustazah” adalah gelaran terbuka. Tidak perlu kepada mana-mana badan rasmi untuk mengiktiraf dan mengesahkan gelaran ini. Hal ini berbeza dengan beberapa gelaran dalam profesion lain yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Contohnya gelaran untuk doktor, peguam, jurutera, akauntan, arkitek, kaunselor dan lain-lain lagi. Tidak ada orang yang bebas untuk mendakwa dia seorang doktor, peguam atau akauntan melainkan perlu kepada pembuktian dan pengiktirafan daripada badan-badan rasmi.

Namun, sistem ini tidak berlaku kepada gelaran ustaz. Ia tawaran terbuka. Sesiapa sahaja bebas untuk dipanggil “ustaz” atau “ustazah” (walaupun orang yang digelar itu tidak mendakwa sedemikian) tanpa perlu kepada pengesahan dan pengiktirafan rasmi.

Asasnya, kita sedia maklum, dalam konteks Malaysia, gelaran ustaz dan ustazah ini akan dipanggil kepada mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama Islam secara formal.

Namun, jika ada individu yang dipanggil ustaz sedangkan dia bukan lulusan pengajian Islam secara formal, tidak ada peruntukan undang-undang yang melarangnya.


Hati-hati bercakap AGAMA

Isu ini ada asas untuk dibimbangkan. Terutamanya apabila bercakap mengenai Islam. Jika semua orang bebas untuk memberi pandangan dan mengulas hal berkaitan Islam tanpa latar belakang ilmu yang kukuh, kemungkinan ada maklumat yang tidak tepat diberikan.

Wajah Islam mungkin akan dicemari dengan hadis-hadis palsu, petua khurafat, amalan bidaah, kisah-kisah pelik syekh-syekh tarekat dan sebagainya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila ingin menyandarkan sesuatu kepada Islam. Islam berdiri di atas prinsipnya yang jelas dan teguh.

Sebarang pandangan yang ingin dikaitkan dengan Islam mesti bersumberkan kepada fakta yang sahih dan kredibel. Untuk memahami al-Quran dan hadis juga perlu kepada pembelajaran dengan disiplin ilmunya yang betul.

Justeru, pemilihan guru dan bahan bacaan yang mementingkan nilai ilmiah ini diperlukan. Bukan semua bahan bacaan berkaitan Islam yang ada di pasaran ditulis dengan fakta sahih. Ada yang dicampur aduk dengan hadis-hadis palsu, amalan-amalan khurafat dan bidaah, kisah-kisah pelik dan sebagainya.


Sokong artis berhijrah

Akhir-akhir ini semakin ramai selebriti tanah air sama ada pelakon, penyanyi, pengarah filem, pengacara TV, juruhebah radio dan sebagainya yang berubah ke arah mengamalkan cara hidup yang bertepatan dengan tuntutan syariat. Istilah yang sering digunakan “artis berhijrah”.

Alhamdulillah! Sememangnya hidayah itu milik ALLAH SWT. Dia berhak untuk mencurahkan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendaki. Begitu juga Dia berhak untuk mencabut hidayah daripada sesiapa dikehendaki.

Fenomena artis berhijrah ini adalah suatu perkembangan positif khususnya dalam arena dakwah di Malaysia. Mereka perlu diberikan sokongan dan dorongan tanpa ada sebarang prejudis. Apa niat sebenar mereka berhijrah? Itu urusan mereka dengan ALLAH. Kita hanya menilai apa yang terzahir dengan sangkaan yang baik.

Penghijrahan mereka mampu memberikan impak yang kuat kepada masyarakat khususnya kepada peminat. Seorang ustaz yang berkuliah di masjid mungkin akan didengar oleh puluhan atau ratusan orang sahaja. Namun, perkongsian seorang artis akan sampai kepada ribuan peminatnya.

Bahkan dalam dunia facebook sekarang ini, ia mampu dibaca oleh ratusan ribu peminatnya. Oleh sebab itu, pentingnya bagi memastikan terlebih dahulu kesahihan fakta sebelum dikongsi.

Daya penarik atau boleh disebut aura selebriti yang dimiliki oleh artis berhijrah ini begitu menyerlah sekali. Bukan semua sesi ceramah ustaz atau ustazah akan dihadiri oleh ramai orang. Namun, jika ustaz digandingkan dengan mana-mana artis dalam satu program, maka ramailah yang akan hadir.


Peranan Masyarakat

Apabila ada artis yang berhijrah, masyarakat berminat untuk menjemput mereka bagi menyampaikan ceramah. Strategi ini diguna pakai oleh banyak masjid, surau, NGO, kementerian, sekolah bahkan parti politik sendiri.

Jadi, bagi mengelakkan artis-artis ini bercakap sesuatu yang di luar bidang mereka, pihak penganjur perlu bijak memilih topik ceramah atau soalan yang ingin diajukan.

Artis-artis ini perlu dimanfaatkan melalui perkongsian pengalaman sebagai anak seni, kisah penghijrahan, nasihat-nasihat umum dan sebagainya. Tidak perlu menyentuh hal-hal yang berkaitan hukum hakam Islam secara mendalam.


Dalami Islam, karya seni

Kepada artis pula, bakat dan kemahiran seni yang dimiliki harus dimanfaatkan.  Bakat ini tidak perlu dimatikan dengan sebab sibuk memenuhi undangan ceramah. Sebaliknya, bakat-bakat seni tersebut perlu digunakan bagi menaikkan lagi impak dakwah Islam di Malaysia ini.

Hasilkan karya-karya seni yang mengajak masyarakat ke arah cara hidup Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama, penghijrahan yang dilakukan ini tidak boleh bergantung kepada semangat semata-mata. Ia perlu berpaksikan kepada ilmu.

Maka, dalam kesibukan dunia seni, berikan juga fokus kepada aktiviti bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan agama Islam. Pelajari, fahami dan amalkan Islam dari sumber yang diyakini berteraskan al-Quran dan sunnah seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.


Dakwah tugas semua

Tanggungjawab dakwah adalah kewajipan semua. Bukan hanya dipikul oleh ustaz dan ustazah sahaja. Dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai strategi. Ajaklah masyarakat ke arah kebaikan.

Seru masyarakat agar sedar hakikat kehidupan dan tujuan diciptakan. Inilah dakwah. Jadi pendakwah yang menyambung perjuangan para rasul dengan cara tersendiri, mengikut kemampuan. Usah malu untuk berkata: “Maaf, saya tidak tahu” dalam perkara yang tidak kita kuasai.

Kita bersyukur dan gembira di atas perubahan positif golongan selebriti. Mereka perlukan sokongan dan dorongan, bukan kutukan dan kata cacian.

Bersama kita semarakkan arena dakwah di Malaysia. Ada kekurangan, saling menambah. Ada kesilapan, saling menegur. Ada kelemahan, saling menguatkan.
Tags: gelaran
Subscribe

  • Khutbah Jumaat: Sombong Itu Sifat Iblis.

    Petikan Khutbah Jumaat 29 Okt 2021M / 22 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Sombong Itu Sifat Iblis Sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana…

  • Megah dengan harta

    SIAPA tidak teringin menikmati kehidupan senang dengan harta kekayaan, kemewahan, kemudahan, pangkat, jawatan dan pengaruh? Ramai menginginkannya.…

  • Pamer sikap riak di laman sosial

    ALHAMDULILLAH, hampir seminggu kita berpuasa. Seperti yang kita maklum, pada bulan Ramadan inilah umat Islam berlumba-lumba ingin melakukan ibadah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments