mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Minat belajar perihal Islam

KITA boleh melihat zahir seseorang, boleh menilai perlakuan mereka, tetapi setiap amalan dan pengabdian mereka kepada ALLAH SWT langsung tiada siapa yang tahu.


Shafikah (dua, kiri) menghadiri perkahwinan saudaranya yang Kristian.


Mungkin hari ini kita melihat seorang pelaku maksiat, tetapi akhir hayatnya, dia lebih dekat dengan ALLAH berbanding kita. Itulah rahsia Dia yang dinyatakan sebagai qadak dan qadar. Dia yang lebih tahu segala-galanya.

Kristian kepada Islam

Nor Shafikah Abdullah, 38, mengakui kebenaran itu. Situasi itu melanda dirinya yang dilahirkan dalam agama Kristian, dia tidak menyangka pegangan hidupnya akan berubah.

Dia langsung tidak menduga minatnya untuk mempelajari agama Islam membawa dia menjadi seorang Muslim sebaik sahaja usai pengajiannya di Sabah.

"Saya dibesarkan dalam agama Kristian. Boleh dikatakan saya juga mengikuti agama itu dengan baik. Berkunjung ke gereja menjadi amalan saya kerana dalam agama Kristian juga meminta penganutnya untuk taat kepada agama.

"Jadi setiap kali perlu ke sana saya akan mengikut keluarga ke gereja. Tidak timbul sebarang masalah dan keluarga langsung tidak menduga saya bakal bergelar Muslim suatu hari nanti kerana tiada sebarang petunjuk diberikan oleh saya sendiri," cerita Shafikah pada awal bicara.

Menurut Shafikah, sebenarnya Islam bukanlah agama yang asing baginya. Ini kerana ketika berada di tingkatan lima lagi sedikit demi sedikit dia mengikuti agama ini daripada rakan-rakannya di sekolah.


Besama seorang rakan yang sentiasa memberi dorongan.


Wanita ini turut mengikuti apa yang dipelajari rakannya sewaktu kelas pendidikan Islam di sekolah secara tidak langsung.

Kenali Islam

"Selepas tamat tingkatan lima dan sepanjang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya menjalani kehidupan saya di Sabah seperti biasa. Tetapi dalam waktu yang sama, saya curi-curi membaca buku-buku mengenai perbandingan agama, terutamanya mengenai agama Islam.

"Ketika itu saya sendiri tidak tahu kenapa saya benar-benar berminat untuk mengetahui keistimewaan agama ini. Sangkaan saya, ia hanyalah minat saya untuk membaca sahaja." katanya.

Ceritanya lagi, selepas mendapat kejayaan dalam peperiksaan SPM, Shafikah menyambung pengajian dalam bidang perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah. Di sinilah dia mula terdedah dengan cara hidup seorang Muslim.

Bergaul dengan rakan-rakan dalam kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam, membuatkan Shafikah tertanya-tanya bagaimana mereka boleh jadi seorang yang benar-benar taat pada agama.

Seiring dengan pertanyaan yang membuku dihati, Shafikah semakin banyak meneliti keistimewaan agama mereka itu.

Hal ini membuka pintu hatinya untuk lebih mendalami lagi perihal Islam. Hinggalah selepas tamat pengajian di UiTM Sabah, dia terus menyambung pengajian di UiTM Shah Alam, Selangor dalam bidang kewangan.

Di sinilah segala-galanya bermula. Shafikah mula tinggal serumah dengan rakan-rakan daripada beragama Islam. Justeru, memudahkan dia untuk mengenali penganut agama ini dengan lebih mendalam lagi dan sekaligus mengetahui bagaimana gaya hidup masyarakat ini.


Saat terindah Shafikah

Tahun 2005 menjadi suatu masa terindah buat Shafikah. Dengan ditemani sahabatnya, dia melafazkan kalimah syahadah di hadapan imam di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Shafikah berkata, ia adalah tekad untuk mengadakan satu perubahan dalam kehidupannya. Bukan atas paksaan sesiapa, tetapi itu semua adalah paksaan daripada hatinya sendiri yang mahukan ketenangan hakiki. Sudah lama dia mencari sesuatu yang utuh dihatinya dan kini dia berasakan itulah jalan terbaik untuk dirinya.

"Apa yang saya rasakan sejurus selesai melafazkan ucapan itu, saya berasakan jiwa berada pada paksi yang betul. Saya benar-benar gembira dan sokongan daripada kawan-kawan membuatkan saya lebih kuat ketika itu.

Walaupun saya tahu ini bukanlah satu keputusan yang disukai keluarga, saya bersedia harungi semuanya kerana saya sudahpun melakukan sesuatu yang baik dalam kehidupan ini.

"Saya yakin siapapun saya dan apapun agama yang dianuti, andai hidup saya lebih baik pasti ibu saya akan terima saya seperti dulu. Saya bertekad untuk meyakinkan ibu dan keluarga walaupun saya sudah tidak menjadi penganut agama Kristian, tetapi saya tetap anak, adik mahupun kakak mereka. Itu tidak akan berubah dan tidak pernah berubah," ujar Shafikah.


Persepsi buruk

Apa yang ditakuti akhirnya berlaku, benar! keluarga tidak mudah untuk menerima pengislamannya. Dan dia perlu bersedia andai harus meninggalkan keluarganya kerana agama baharunya.

Shafikah mengakui kebenaran kata-kata kawannya. Keluarganya tanpa segan dan langsung tidak kisah membuangnya daripada hidup mereka. Apa yang dilakukan kini mengundang kemarahan yang teramat.

"Lakukanlah apa sahaja, saya tetap tidak pernah berputus asa. Kemarahan ibu, saya biarkan dan saya undur diri untuk seketika. Apabila kemarahan dia sudah reda dan saat hatinya mula rindu, saya pulang berjumpa dengannya.

"Syukur ke hadrat Ilahi. Melihatkan cara saya melayan dia dan keluarga tidak berubah, ibu yakin yang dia tidak pernah kehilangan saya. Kini saya tiada masalah untuk pulang ke Sabah.

Mereka menerima saya dengan baik. Saya anggap itu adalah keberkatan daripada keikhlasan dan kesabaran saya selama ini," katanya yang kini sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata.

Walaupun melakukan perkara yang baik tetapi kata-kata fitnah dan nista daripada mereka yang tidak menyenangi dengan perubahan yang dilakukan ini kadang kala mengundang calar di hati.

Bagi Nor Shafikah sendiri, dia juga terpaksa melalui cabaran itu tatkala mula-mula bergelar saudara baru. Keikhlasannya dipandang serong dengan melemparkan pelbagai tuduhan ke atas dirinya.

Shafikah dikatakan memeluk Islam hanya semata-mata mahu berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam. Ramai mengatakan Shafikah tidak ikhlas memeluk Islam. Alasan mereka, apa yang dilakukan Shafikah bukanlah daripada hatinya yang sebenarnya tetapi hanya kerana cinta.

Semua tuduhan itu  menjadikan Shafikah seorang yang kuat. ALLAH Maha Mengetahui Segala-galanya. Dan Alhamdulillah, hingga kini rasa ketakwaan ke hadrat Ilahi kembang mekar dan segar di hati Shafikah yang hampir enam tahun bergelar saudara baru ini.
Tags: islam, kristian
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments