mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengukuhan keluarga elak keruntuhan moral

KERUNTUHAN akhlak remaja yang berlaku dalam negara ini bukan satu masalah ba­haru. Masalah ini masih ber­terusan hingga kini. Secara umum­nya ke­run­tuhan akhlak me­rangkumi ber­bagai perlakuan ne­gatif remaja yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada ke­kuatan sis­tem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesebuah ma­syarakat ataupun ne­gara.


Beberapa remaja lelaki dan perempuan beragama Islam sedang leka berpesta mandi buih di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur ketika Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melakukan serbuan pada Jun tahun lalu.

Kes pembuangan bayi, anak luar nikah, pecah rumah, kecurian tabung masjid atau surau, kecurian kereta, merogol dan sumbang mahram adalah antara contoh kerun­tuhan akhlak yang masih berada pada tahap membimbangkan.

Sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa umat Islam yang terlibat dalam sumbang mahram pada tahun 2009 adalah sebanyak 385 kes dan meningkat kepada 413 pada 2010.

Mengikut Jabatan Pendaftaran Negara pula, anak luar nikah Melayu (Islam) atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009 adalah seramai 17,303 berbanding 16,541 pada 2008.

Namun, di sebalik apa yang berlaku ini sudah tentu ada puncanya. Keruntuhan institusi kekeluargaan atau ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kasih sayang dan pendidikan agama, kemerosotan dari segi asuhan dan bimbingan dilihat sebagai salah satu puncanya.

Begitu juga alam rumah tangga yang tidak teratur seperti percerai­an ibu bapa, pertengkaran yang ke­rap berlaku dalam keluarga, ke­adaan sosio-ekonomi yang sempit, ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain malah ada yang jarang bersua muka serta suasana rumah tangga yang tidak harmoni dan tenteram boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.

Begitu juga dengan keluarga yang terlalu memewahkan anak-anak mereka juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja.

Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak dengan kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak.

Perbuatan ini menyebabkan me­­reka mudah dipengaruhi oleh remaja lain untuk tujuan bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak memburukkan lagi keadaan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Barang siapa daripada kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubah de­ngan tangannya (kuasa) maka jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, jika tidak mampu juga de­ngan hatinya. Dan yang demikian itu (merubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

Maka ibu bapa yang berada pa­ling dekat dengan anak-anak ini patut mencegah kemungkaran yang berlaku di depan mata. Sekiranya mereka tidak menghiraukan keruntuhan akhlak yang berlaku ini ditakuti Allah akan menurunkan azab-Nya.

Bagi menjamin keberkesanannya, dalam hal ini ibu bapa merupakan anggota terpenting dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Di sinilah tugas mereka dalam mencorakkan peribadi dan tingkah laku anak-anak sebagaimana firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

Malah tanggungjawab ini merupakan amanah daripada Allah yang wajib dilaksanakan. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-pergerakan anak-anak mereka.

Seharusnya mereka mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dengan mereka yang mempunyai moral yang baik.

Selain itu, tingkatkan pengha­yatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, me­latih anak cara bersopan, tepati janji, berketrampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia dan amanah.

Moga-moga dengan menangani kepincangan dalam institusi kekeluargaan ini dapatlah ibu bapa diangkat sebagai role model terbaik kepada anak remaja seterusnya mampu melahirkan generasi berketrampilan dan sahsiah yang unggul.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tags: moral, pengukuhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments