mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wasatiyyah jaminan kesejahteraan negara

SEKIRANYA terlebih makan, membahayakan kesihatan. Apabila terkurang, juga memudaratkan. Apa yang terbaik ialah bersederhana tetapi tidak pula bermaksud aturan makan itu boleh dilaksanakan secara ala kadar seperti melepaskan batok di tangga hingga mengabaikan unsur terpenting iaitu keseimbangan.


Pendekatan ini bukan hanya terhad kepada pengambilan makanan sahaja, tetapi sebenarnya perlu diamalkan secara syumul dalam setiap aspek kehidupan.

Pendekatan kesederhanaan dan keseimbangan atau wasatiyyah inilah yang diketengahkan pimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengemudi ummah dan negara untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang.

Konsep wasatiyyah terbahagi kepada empat ciri iaitu Kesederhanaan, berada di tengah-tengah antara dua unsur negatif iaitu ekstrem dan liberal dalam semua aspek kehi­dupan; Keseimbangan, pencapaian yang disasarkan bukan berorientasikan kejayaan di dunia semata-mata sahaja tetapi perlu turut dipandu dengan prinsip akhlak menyeluruh.

Keadilan, meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang selayaknya berdasarkan kepada garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan; Kecemerlangan, iaitu produk terakhir yang terhasil selepas penghayatan holistik daripada ke­semua konsep wasatiyyah.

Mungkin sekali imbas, pendekatan ini seolah-olah seperti terlalu retorik yang hanya mampu disuratkan dalam seke­ping kertas dan sukar diterjemahkan pada alam nyata.

Sedari atau tidak, konsep wasatiyyah ini secara rohnya telah lama diamalkan di negara ini iaitu sejak mencapai kemerdekaan. Ia bermula dengan negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk iaitu kira-kira 60 peratus daripadanya menganut agama Islam dan bakinya adalah agama lain termasuk mempunyai perbezaan kompleks dalam bahasa, budaya, fahaman politik dan taraf sosioekonomi.

Namun adunan itu mampu kekal secara penuh harmoni, semuanya berkat pendekatan wasatiyyah yang diamalkan oleh pimpinan negara. Falsafah yang diguna pakai ialah integrasi dan bukannya asimilasi. Integrasi ialah kepelbagaian dihormati, dikekalkan dan seterusnya diraikan, berbeza de­ngan asimilasi yang membawa maksud melakukan perubahan bagi tujuan mencipta identiti yang sama. Ini bermakna pendekatan wasatiyyah bukannya merupakan suatu dasar yang baharu, sekali gus bertindan dengan dasar semasa kerajaan.

Mutakhir ini, musuh umat Islam langsung tidak perlu bersusah payah untuk menghancurkan agama yang dianuti oleh lebih daripada satu bilion penduduk dunia itu. Mereka hanya ‘bersila panggung’ memerhatikan umat Islam yang melafazkan dua kalimah syahadat membunuh antara satu sama lain.

Ini adalah hakikat, antara contohnya ialah kumpulan militan Negara Islam (IS) di beberapa kawasan di Iraq dan Syria, pertumpahan darah antara orang Sunni dan Syiah, semuanya kerana terlalu taksub bahawa hanya kumpulan mereka sahaja yang Islam. Natijahnya, masyarakat umum terkeliru untuk memilih atau mengikuti aliran yang mana satu.

Padahal sebarang perbezaan sepatutnya mampu membuahkan rahmat dan kebaikan tetapi sebaliknya bertukar menjadi perbalahan yang merosakkan. Prosedur operasi standard bagi menangani perselisihan pendapat sebenarnya telah terbentang luas sejak beribu tahun lalu lagi sama ada melalui firman Allah SWT atau sabda Nabi Muhammad SAW. Antaranya, firman Allah dalam Surah Al-Nisa’: 59:

“Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah (SAW) dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih faham) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (As-Sunnah), jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Kiamat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya,”.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Seminar Pemikiran Islam Keempat Peringkat Antarabangsa di Universiti Malaya dengan tema ‘Manhaj Wasatiyyah dan Adab Ikhtilaf Dalam Memperkasakan Perpaduan Ummah’, baru-baru ini menegaskan bahawa sema­ngat dan prinsip wasatiyyah bukan sahaja perlu dihayati oleh umat Islam malah oleh penganut agama lain.

“Saya percaya prinsip kesederhanaan atau ‘the middle way’ yang mementingkan keseimbangan dan keharmonian dalam hubungan sesama manusia merupakan satu prinsip yang amat ditekankan oleh semua agama. Selagi kita tidak bersifat ekstrem, maka kita mampu menjernihkan pemikiran dengan sikap yang positif dan menghargai insan lain, seterusnya mampu mengekalkan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara kita,” katanya

Tags: wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments