mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jadikan ujian sebagai rahmat

ALLAH SWT berfirman bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja dengan mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut: 2-3)


Hanya hamba yang miliki ilmu dan pandangan mata hati mampu menembusi ujian Allah SWT .  Sabar menghadapi ujian mampu meningkatkan ketakwaan . – Gambar hiasan

Realiti kehidupan tanda kasih cinta Allah SWT kepada hamba-Nya, ujian sebagai medan menambah keimanan dan ketakwaan kepada-Nya. Hanya hamba yang miliki ilmu dan pandangan mata hati mampu menembusi ujian Allah SWT tersebut.

Iktibar dari ujian Allah SWT menurut Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam kitabnya ihfazhillah yahfazhuka menjelaskan bahawa pertamanya Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya supaya Allah SWT mengetahui siapa yang jujur dan siapa yang munafik.

Keduanya, ujian dapat membersihkan orang yang komited dengan perjuangan Islam, agar Allah SWT mengetahui mereka yang menghina orang beriman dengan pelbagai tindakan jahat dan golongan pendakwah, penuntut ilmu, ulama dan orang-orang yang mencintai orang yang beriman.

Ketiganya,ujian merupakan penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa pada diri hamba pilihan Allah SWT.

Keempatnya, sesungguhnya agama Islam ini disangka sudah mencapai kejayaan dan kemenangan, sebenarnya perjuangan Islam masih penuh dengan pelbagai cabaran, tentangan,cubaan dan konspirasi jahat sehingga seorang Mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi yang dilancarkan syaitan terkutuk dari setiap pintu, jendela dan arah.

Kelima, ujian Allah SWT memotivasikan hamba-Nya agar sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan diri, serta berjuang untuk terus membangunkan diri setelah melalui sesi ujian Allah SWT.

Seterusnya, ujian Allah SWT memberi satu pengajaran kepada hamba-Nya agar merendah diri patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah SWT serta bermunajat kepada-Nya. Ini kerana kemenangan hanya ada pada Allah SWT dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada Maha Pencipta.

Iktibar daripada ujian

Akhirnya iktibar daripada ujian Allah SWT menurut ulama besar ini, adalah sebagai medan untuk penilaian kejujuran dan keyakinan kepada Allah SWT berdasarkan penerapan kalimah laa ilaha illallah ketika ditimpa ujian dengan penuh kejujuran dan keyakinan di dalam hatinya.

Begitulah kehidupan dan kesenangan yang datang tidak akan selamanya menapak dalam diri yang mendambakan. Selepas kesusahan, Allah SWT menjanjikan kesenangan kepada hamba-Nya. Ibarat selepas waktu malam datangnya siang hari. Apabila insan di jalanan kesenangan, jangan lupa akan daratan yang dipinjamkan Allah SWT. Ujian adalah tarbiyyah daripada Allah SWT apakah kita mampu bersabar atau sebaliknya.

Penderitaan atas ujian tidak berpanjangan. Bersangka baik dengan Allah SWT tanpa ada istilah putus asa atas nikmat Allah SWT. Kabus ujian tidak akan berpanjangan dan seterusnya bila mana kabus ujian beredar pasti cerah mentari menyinar kehidupan buat hamba-Nya.

Kesenangan selepas kesukaran ujian Allah SWT adalah nikmat yang paling tinggi agung, hikmah Allah SWT tersingkap bersama kesabaran dan ketabahan dalam menongkah arus mehnah dunia yang sementara.

Dalam senario ini, hadis sahih, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “ Sungguhnya unik keadaan seseorang Mukmin, semua urusannya adalah baik. Apabila ia mendapat nikmat,ia bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya, apabila mendapat musibah ia bersabar dan itu adalah kebaikan pula baginya.

Semua itu hanya dimiliki oleh mereka yang beriman.”( Muslim, no. 2999 dan Ahmad, no. 18455, 18460)Ibnu al-Qayyim berkata: “ Wahai orang yang mempunyai tekad yang lemah, sesungguhnya jalan itu sangat sulit dan panjang. Nuh a.s berdukacita dan menangis, Nabi Zakaria a.s, Nabi Yahya a.s dibunuh, Umar r.a, Uthman r.a ditusuk dan bergelimang darahnya, Ali r.a dibunuh dan para Imam dan ulama disebat seterusnya dimasukkan ke dalam penjara.

“Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT, perjuangan dalam ujian perlu diteruskan, kerana janji Allah SWT akan kemenangan itu pasti, berjuang menempuh susah dalam menanggung derita dunia dalam masa sama menongkah fitnah dunia.

Semua ini merupakan gelombang hidup samudera duka yang sementara. Apabila dihina, dibuang, difitnah, diumpat dan dipersisihkan maka berkelana insan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Malam hari bagi hamba dalam ujian Allah SWT adalah seorang rahib yang bangun untuk merintih kepada Allah SWT, memuhasabahkan diri mengenang dosa-dosa, bermunajat dengan hirisan air mata keinsafan memohon maghfirah dan petunjuk-Nya.

Jelaslah bahawa ujian adalah medan pembersihan dan penyucian diri dan jiwa daripada segala dosa dan kesilapan lampau. Penyucian hati yang hakiki, pembersihan jiwa yang mengagungkan kemegahan, kedudukan, sombong diri, riyak dan segala sifat mazmumah yang menapak dalam diri insan sehingga ilmu yang dimiliki tidak dapat diamalkan dalam kehidupan.

Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Ai Pao Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam,Universiti Kebangsaan Malaysia. athirohtan@hotmail. com

Tags: rahmat, sabar, ujian
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments