mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Buruk baiknya berkahwin muda

MUSIM cuti sekolah sudah hampir berakhir, maka ber­akhir juga musim majlis perkahwinan yang biasanya di­adakan sempena musim cuti. Per­kahwinan itu fitrah manusia yang ada rasa keinginan untuk hidup bersama pasangan yang halal de­ngan mengecap kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga; jika dipandu dengan ilmu dan di­jaga dengan betul.

Jodoh adalah ketentuan Allah SWT tetapi kita yang merancang untuk menyatukan dan mempertemukan jodoh. Berkahwin muda menjadi trend dalam masyarakat masa kini terutamanya dalam usia di bawah 18 tahun. Tidak terkecuali juga ada pasangan muda yang baharu berkahwin seawal usia 15 tahun dan 17 tahun, baru-baru ini.

Banyak kesan yang tidak baik apabila berkahwin muda dalam usia di bawah 25 tahun. Ini kerana pada usia tersebut tidak menunjukkan kematangan. Pada kebiasaannya selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seseorang pelajar itu akan melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah pertama sebelum mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan stabil.

Elton John Wedding 1984 with Renata Blauel

Elton John Wedding 2014 with David Furnish ... kalu ikut gambag Elten Jong yang kena boh :p

Terdapat beberapa kebaikan dan keburukan apabila berkahwin muda. Antara kebaikannya bagi umat Islam bertujuan membanyakkan zuriat umat nabi Muhammad SAW. Dapat mengelakkan zina dan mengurangkan gejala sosial. Dapat memberi ketenangan hati, jiwa dan ketenangan hidup. Dapat melindungi agama dan bertakwa kepada Allah.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Kahwinlah dengan wanita yang mencintaimu dan yang mampu beranak. Sesungguhnya, Aku akan membanggakan kamu sebagai umat yang terbanyak.” (Riwayat Abu Daud).

Sementara itu, keburukannya pula adalah rumah tangga mudah mengalami perceraian kerana kurang ilmu, kurang pengalaman hidup, tiada kemahiran dan persediaan rapi. Tidak memiliki kewangan dan ekonomi yang stabil untuk menyara keluarga.

Nabi SAW bersabda: “ Wahai segenap pemuda, barang siapa yang mampu memikul beban keluarga hendaklah kahwin. Sesungguhnya, perkahwinan itu lebih dapat meredam gejolak mata dan nafsu syahwat, tetapi barang siapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa kerana (puasa itu) benteng (penjagaan) baginya.” (Riwayat Al Bukhari).

Dalam perkahwinan pemberian nafkah sama ada zahir atau batin adalah sedekah yang diberikan ganjaran pahala. Keindahan dan kebahagiaan dalam rumah tangga adalah impian semua insan yang berkahwin.

Ada cadangan supaya pasangan muda berkahwin pada usia 18 tahun ke atas dengan syarat sudah ada pekerjaan tetap dan mampu menyara keluarga.

Ini disebabkan dalam perkahwinan itu tersedia tanggungjawab yang berat dan besar.

Inilah gelombang dalam perkahwinan yang banyak pasangan tersadai dan terkapai di pantai dan karam di lautan hidup; disebabkan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Malah sebagai ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak ke arah berakal budi cemerlang.

Era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga membawa gelombang dalam perkahwinan dan rumah tangga lebih besar dan mencabar dan tidak nampak oleh mata kasar. Hanya dengan ilmu, budaya kasih sayang mampu menguatkan sesebuah rumah tangga di pantai hidup dalam menempuh gelombang globalisasi.

Teknologi maklumat memudahkan manusia lalai, lupa akan tanggungjawab dan banyak godaan melalui media baharu yang pantas dan mengasyikkan. Inilah dugaan pertama yang perlu dihadapi oleh generasi muda yang baharu berkahwin. Selain itu, masalah ekonomi, keserasian, komunikasi dua hala memerlukan penyesuaian dan cara mengatasinya.

Jika golongan tua dahulu berkahwin hingga ke akhir hayat; tetapi orang sekarang berkahwin hanya dalam masa singkat. Perceraian amat mudah berlaku ibarat angin lalu. Semalam kahwin seminggu atau sebulan kemudiannya sudah berlaku keretakan dan perceraian.

Cendekiawan ada mengatakan bahawa hubungan suami isteri itu mestilah berasaskan kepada tiga perkara. Pertama, kecenderungan dan perasaan tenteram. Kedua, saling mencintai dan ketiga saling mengasihi dan menyayangi.

Dunia ini dikatakan laksana perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah suami dan isteri yang soleh dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Melaksanakan tanggungjawab, baik suami atau isteri mestilah seimbang dan dapat dilaksanakan dengan permuafakatan berlandaskan agama.

Mutiara cinta kasih dalam perkahwinan adalah penyesuaian dan kesepakatan antara kedua-dua pasangan suami isteri. Sentiasa beriman dan beramal soleh bagi menguatkan rumah tangga untuk mengelakkan gelombang globalisasi yang kuat dan hebat, malah dikatakan tanpa sempadan.

Selain itu, sentiasa berlaku adil dan baik terhadap keluarga dan sebagai suami sentiasa memuliakan isteri. Ini kerana memuliakan kaum wanita adalah tanda orang yang tinggi pekerti dan akal budi dalam kehidupannya. Sentiasa melaksanakan perlakuan baik kepada ahli keluarga terutama dalam urusan pakaian, makan minum dan pelajaran anak-anak.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: “ Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Ibnu Hiban)

Perlu diingatkan, kerapuhan perkahwinan menyebabkan perceraian dan akhirnya melemahkan penyatuan keluarga dan ummah. Disebabkan ummah yang lemah dan tidak bersatu akhirnya memudahkan musuh atau pihak lain menguasai umat Islam.

Ini kerana salah satu tujuan perkahwinan itu adalah untuk meramaikan umat dan menguatkan penyatuan ummah. Pembentukan ke arah negara maju dan bertamadun mestilah bermula dari asas keluarga yang hebat dan berilmu pengetahuan. Ini juga adalah salah satu ciri-ciri masyarakat Islam yang kita idamkan.

Penulis ialah pengamal media, 
berkelulusan PhD Persuratan Melayu, 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tags: kahwin, perkahwinan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments