mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Fitrah Insani

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 26 Disember 2014/ 4 RABIUL AWAL 14336H “Fitrah Insani” JAKIM

Nikmat usia yang telah dipinjamkan oleh Allah yang bersifat sementara ini adalah satu anugerah yang sangat bernilai bagi seorang hamba yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah.

Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:
Bermaksud:“(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.

Tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz kesyukuran

Dalam kesyukuran ini, usahlah kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah merupakan cerminan masa lalu untuk kita jadikan panduan di masa hadapan.

Secara fitrahnya kita sebagai manusia tidak boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kejadian kita sebagai manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Tin ayat 4:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT kerana pada fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang berfikiran waras, rasional, tepat, kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang baik dan buruk.

Kewajipan kita sebagai umat Islam untuk bermuhasabah tentang hakikat diri sendiri, hubungan kita dengan manusia dan hubungan kita dengan Allah SWT kerana di kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang senantiasa menulis setiap gerak geri dan perbuatan kita di dunia ini.

Muhasabah adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang dengan jujur dan ikhlas.

Di akhir tahun ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya berada di landasan fitrah manusia sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa.

Ketika ini sebahagian penduduk di negara kita diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir besar. Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah yang ditentukan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155:
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.

Semua jemaah dan umat Islam sekalian untuk sama-sama berdoa agar semua mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan sejahtera serta dijauhi dari pelbagai penyakit sebagaimana firman Allah SWT dari surah Hud ayat 44: Maksudnya: Dan difirmankan: Wahai bumi telanlah airmu, dan langit berhentilah dari hujanmu. Dan surutlah air, serta terlaksanalah perintah Allah. Dan bahtera itu berhenti di atas Gunung Judi, serta dikatakan bahawa kebinasaanlah bagi orang yang zalim.

Di samping itu, sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam yang prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir, marilah sama-sama kita tolong menolong, bantu membantu dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga, harta benda dan wang ringgit semaksima mungkin.

Wallahualam.
Tags: fitrah, insan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments