mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rabiulawal bulan kelahiran Rasulullah

Saban tahun apabila masuk bulan Rabiulawal, orang mukmim akan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW yang diputerakan pada subuh hari Isnin 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 masihi. Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul diadakan di seluruh pelosok kampung dan bandar dengan pelbagai program sama ada ceramah, forum mahu pun perarakan.

Semuanya bagi menzahirkan kecintaan terhadap insan mulia pembawa rahmat sekalian alam. Bagaimanapun, tidak lengkap jika rasa cinta itu hanya dilaungkan dengan kata-kata. Sebaliknya, kita perlu menjadikan Nabi SAW sebagai ikutan utama kehidupan. Bukankah itu resmi orang bercinta. Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah selagi tidak bertemu kekasih hati.

Kini, baginda SAW telah wafat lebih 1400 tahun lalu. Jadi mana mungkin kita boleh bertemu dengan Nabi SAW. Namun, mari kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah SWT akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (ali-‘Imran: 31).

Inilah syarat utama yang Allah SWT letakkan kepada kita dalam mencintai-Nya iaitu perlulah mengikut arahan dan teladan yang dibawa oleh Nabi SAW. Jika kita tidak mengambil Rasulullah SAW sebagai ikutan maka cacatlah cinta kita kepada Allah SWT. Dalam ayat lain Allah SWT juga berfirman: Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul (Muhammad) maka ambillah ia dan apa sahaja yang dia larang maka tinggalkanlah ia. (al-Hasyr: 7).

Antara amalan baginda yang wajib kita contohi adalah solat berjemaah. Semua kita tahu tentang perkara ini tetapi solat walaupun hanya lima minit, adalah ibadat yang paling sukar dilakukan. Dalam masa sama, wajar bagi kita berazam mencontohi sifat wajib baginda SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

* Siddiq (benar). Sifat benar ini wajib ada pada rasul dan nabi. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Jika semua manusia bersifat begini, nescaya aman dan makmurlah dunia ini, insya-Allah.

* Amanah. Sifat amanah Rasulullah SAW adalah lengkap dan sempurna. Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang menyebar-luaskan risalah Allah. Bangsa Arab mengenali sifat amanah Nabi SAW sebelum baginda diangkat menjadi rasul. Malah mereka memberinya gelaran al-Amin bermaksud orang yang dipercayai.

* Tabligh (menyampaikan). Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia. Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya.

* Fatanah (bijaksana). Setiap rasul Allah wajib memiliki sifat ini dalam memahami ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka.

Justeru, marilah kita menyambut hari kelahiran Nabi SAW dengan azam mencontohi peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Jangan kita menjadi Abu Lahab yang turut gembira menyambut hari kelahiran baginda tetapi dalam masa sama adalah musuh utama Rasulullah SAW.


MOHD. RADZI MOHD. ZIN Utusan Malaysia Rencana Agama 26 Disember 2014 12:51 AM
Tags: maulidurasul, rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments