mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jagalah adab 
ketika bencana

SETAKAT berita ini ditulis, dilaporkan sudah lebih 50,000 mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Perlis dipindahkan di pusat-pusat pemindahan. Dikhabarkan juga keadaan di sana bertambah buruk dan dijangka lebih ramai mangsa akan dipindahkan.

Seperti laporan akhbar Utusan Malaysia, bencana banjir di Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat kepada 32,731 orang daripada 9,335 keluarga pada semalam (25 Disember). Banjir kali ini juga dikatakan antara yang terburuk pernah melanda negara selepas 30 tahun.

Keadaan ini sungguh menyayat hati. Berat mata memandang, berita lagi bahu yang memikul. Tidak pernah dapat digambarkan banjir boleh mencecah sehingga ke tingkat tiga sebuah bangunan sekolah empat tingkat. Keadaan ini amat jarang berlaku tetapi ia benar-benar berlaku.

Seperti biasa, jika ada isu-isu semasa dalam negara seperti bencana banjir ini, pelbagai reaksi masyarakat dapat dilihat sama ada melalui media massa mahupun media sosial seperti Twitter dan Facebook. Pelbagai berita positif dan negatif berlegar-legar di Internet hampir setiap saat.

Yang positifnya adalah maklumat mengenai keadaan terkini situasi banjir dan mangsa-mangsa yang terperangkap dengan situasi banjir ini. Yang negatifnya pula ialah berita-berita palsu seperti kononnya pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat di Kelantan.

Apa motif berita seperti ini disebarkan tanpa pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa? Pernahkah kita ambil kisah mengenai adab-adab yang perlu ada bagi seorang Muslim ketika dilanda musibah? Pernahkah juga kita bertanya apakah yang harus ada pada diri seorang Muslim jika saudara kita ditimpa musibah?





"Suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan Negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif."
(Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana - Semakan 2012)



Penulis berpendapat, adab ketika musibah perlu difahami dan diamalkan oleh mangsa musibah dan orang awam yang tidak ditimpa musibah. Apakah adab-adab tersebut?

Secara umumnya, ketika hujan banyak persoalan dan pertanyaan berlegar-legar dalam kalangan masyarakat. Sembang-sembang di kedai kopi lebih menjurus kepada topik-topik kosong seperti “lebat sungguh hujan hari ini,” “bila hujan ini akan berhenti, susah hendak keluar pergi kerja jika keadaan berterusan seperti ini”.

Persoalan dan perbualan di atas biasanya dituturkan tatkala hujan mula mencurah-curah. Namun kita mungkin terlupa bahawa Rasulullah SAW telah mengajar dan mengingatkan kita bahawa jika tempat kita ditimpa hujan, kita disarankan untuk membacakan doa.

Sepatutnya kita berhenti bersembang kosong. Sebaliknya menadah tangan mohon doa agar hujan yang turun itu membawa kebaikan.

Namun, malang sekali pada hari ini kita jarang melihat masyarakat menadah tangan berdoa agar hujan yang turun membawa kebaikan kepada semua. Yang ada hanyalah sembang-sembang seperti tadi.

Seterusnya, dalam keadaan kita ditimpa musibah, kita digalakkan untuk mengharunginya dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Jangan sekali-kali kita menyalahkan orang lain apatah lagi kita menyalahkan Allah SWT.

Haruslah sentiasa ingat bahawa ujian yang sedang diharungi ini datang daripada Allah SWT yang ingin menguji kita. Andai kita dapat laluinya dengan penuh kesabaran nescaya Allah SWT akan kurniakan ganjaran yang banyak kepada kita. Yang penting kita perlu reda dan yakin akan perkara ini.

Selain itu, setelah kita ditimpa sesuatu musibah seperti banjir ini, kita disaran untuk terus berdoa agar musibah yang baru ditempuhi akan diganti dengan perkara yang lebih baik. Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Mungkin hari ini kita kehilangan rumah, kereta dan harta benda lain. Tapi kita harus ingat bahawa Allah SWT akan gantikan rumah, kereta dan harta benda tersebut dengan yang lebih baik daripada apa yang kita miliki sekarang.

Bagi orang awam yang tidak ditimpa musibah, kita juga mempunyai adab-adab yang perlu dijaga. Pertama, hentikanlah sebaran berita-berita palsu dan diragui kesahihannya. Seelok-eloknya jangan terus menghebahkan berita yang diterima.

Pastikan dulu setiap berita yang diterima adalah sahih. Misalnya, dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan sebagainya.

Jika pun sesuatu berita itu sahih, sebelum menghantarnya di WhatsApp atau kongsi maklumat di Facebook, betulkan niat terlebih dahulu. Tanya dalam hati apa motif kita untuk hebahkan maklumat tersebut? Apa faedah kepada rakan-rakan yang akan terima maklumat yang kita hantar itu?

Jika faedah melebih mudarat, maka tindakan yang wajar adalah menghebahkannya. Sebagai contoh, dengan maklumat yang dihebahkan tersebut, pasukan keselamatan akan gunakannya untuk tindakan menyelamat, maka ia wajar dihebahkan. Ataupun jika niat kita ingin mengajak rakan-rakan untuk berdoa kepada mangsa, maka silakanlah sebarkan maklumat tersebut.

Namun jika tujuan hanyalah untuk mendapatkan popular atau menunjuk-nunjuk, maka hentikanlah niat tersebut. Atau jika kita fikir maklumat tersebut akan menambahkan masalah kepada ketenteraman awam, maka kita harus batalkan sahaja niat tersebut.

Akhir sekali, setiap masyarakat perlu menunjukkan keprihatinan kepada saudara kita yang sedang ditimpa musibah. Sekurang-kurangnya tadahkanlah doa agar saudara kita mendapat perlindungan dan keselamatan daripada Allah SWT.

Tunjukkanlah juga prihatin melalui sikap dan perbuatan kita bahawa kita prihatin dengan nasib mereka. Sebagai contoh, jika kita adalah penganjur sambutan tahun baharu, tindakan yang wajar adalah membatalkan sahaja program yang dirancang itu. Jika kita bercita-cita untuk menghadiri sambutan berkenaan, batalkan sahaja niat tersebut.

Semoga dengan pengorbanan kita yang kecil ini dapat menambah semangat rakan-rakan dan saudara-saudara yang ditimpa bencana. Semoga mereka di sana terus tabah dan bersabar.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

RAM AL JAFFRI Utusan Malaysia Rencana Agama 26 Disember 2014 12:52 AM
Tags: bencana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments