mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tsunami, betapa lemahnya manusia

DALAM sekelip mata, kira-kira 286,000 orang dari 14 buah negara termasuk Malaysia terkorban, beberapa buah bandar dan penempatan berhampiran Lautan Hindi turut musnah - seperti padang jarak padang tekukur.

Semuanya kerana malapetaka Tsunami Lautan Hindi 2004, iaitu antara bencana alam terburuk dalam sejarah dunia. Impaknya terlalu besar yang dikatakan menyamai tenaga 23,000 butir bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Dengan sebab itulah, tarikh 26 Disember setiap tahun sentiasa diingati dan diratapi oleh setiap umat manusia. Hari ini, genaplah 10 tahun malapetaka Tsunami Lautan Hindi 2004, bencana alam yang sering berlaku di Lautan Pasifik, namun amat jarang terjadi di Lautan Hindi.

Dengan kelajuan yang dianggarkan melebihi 800 kilometer sejam dan ketinggian menyamai lima tingkat bangunan, ombak besar tsunami itu menghempas pantai dan daratan di Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Maldives dan Malaysia serta sebahagian Afrika.

Daripada catatan mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, terma­suk pasukan penyelamat dan suka­re­lawan yang terlibat secara langsung, mereka menggambarkan situasi yang dikenang sehingga bila-bila itu seperti kiamat kecil dengan mayat-mayat yang membusuk bergelimpangan di merata-rata tempat, harta benda yang musnah juga tidak terbilang hinggakan terlalu sukar untuk difikirkan oleh akal waras manusia.


GAMBAR bertarikh 16 Januari 2005 menunjukkan keseluruhan kawasan berhampiran masjid di Daerah Lampuuk, Banda Aceh musnah teruk akibat malapetaka tsunami pada 26 Disember 2004. – AGENSI

Tsunami berasal daripada perkataan Jepun ‘Tsu’ bermaksud pe­la­buhan, manakala ‘Nami’ memba­wa maksud gelombang. Jika di­­­ga­bungkan, kedua-dua perkataan itu ia membawa maksud ‘Gelombang Pelabuhan’.

Kematian dan kerosakan telah berlaku, sesuatu yang tidak boleh diundurkan lagi, namun malapetaka itu tidak mustahil bakal kembali berulang. Apa yang tinggal kini ialah keupayaan dan persediaan manusia yang masih hidup ini untuk meminimumkan kerosakan berdasarkan kepada pengajaran berguna yang diperoleh daripada pengalaman pahit itu.

Malapetaka itu yang semestinya membawa keburukan, namun pada masa sama turut membawa kebaikan kepada umat manusia termasuk negara ini yang mengambil langkah proaktif memasang sistem amaran awal tsunami sejak 2005 dengan modal pelaburan kira-kira RM40 juta. Teknologi canggih itu setan­ding dengan sistem yang diguna pakai oleh negara-negara maju.

Empat lokasi iaitu perairan Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu dan perairan Semporna dipasang dengan boya yang merupakan komponen utama di bawah Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM), sekali gus mampu mengeluarkan amaran awal kepada penduduk di kawasan pantai sekiranya berlaku tsunami .

Sistem ini juga digabungkan dengan sistem amaran awal bencana lain seperti cuaca buruk dan laut bergelora yang diperoleh daripada 14 buah stesen seismik di seluruh negara se­perti di Kulim, Kedah; Kluang, Kota Tinggi, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kuching, Sibu, Bintulu di Sarawak; Kota Kinabalu, Kudat, Lahad Datu, Tawau di Sabah.

Pada masa sama terdapat enam buah stesen tolok pasang surut dan empat buah kamera pantai di kawasan strategik yang mampu memberikan amaran dalam beberapa minit selepas berlakunya gempa bumi. Keupayaan itu terbukti apabila penduduk berdekatan menerima amaran awal semasa kejadian gempa-gempa bumi kuat yang berlaku di Pulau Nias, Sumatera pada 28 Mac 2005; Pengandaran, Pulau Jawa pada 17 Julai 2006; Taiwan pada 26 Disember 2006; dan Bengkulu, Sumatera pada 12 September 2007.

Selain itu, mangsa-mangsa tsunami berhampiran pantai di negara ini yang kehilangan rumah akibat musnah dibadai arus terutamanya di Kuala Muda, Kedah turut diberikan penempatan semula iaitu rumah teres yang lebih baik daripada asal oleh kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Bagi Aceh, Sumatera Indonesia yang paling teruk terjejas apabila hampir suku juta penduduknya terbunuh, situasi pasca tsunami wilayah autonomi itu pada masa ini lebih baik dibandingkan dengan keadaan sebelum tercetusnya malapetaka menyayat hati itu.

Tsunami di wilayah itu telah mewujudkan hubungan baik antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan kerajaan Indonesia, sekali gus menamatkan peperangan selama tiga dekad yang menjejaskan kehidupan 15,000 orang penduduk di wilayah itu sebelum berlakunya malapetaka dahsyat itu.

Selepas beberapa bulan tsunami berlaku, tanggal 17 Julai 2005, perjanjian damai dimeterai antara ke­dua-dua pihak, Aceh diberikan kuasa autonomi untuk memerintah sendiri. Antara terma perdamaian itu, sebanyak 70 peratus hasil petroleum daripada perut bumi wilayah itu di­serahkan kepada pemerintahnya dan beberapa lagi syarat yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Rentetan daripada itu juga, Agensi Pembangunan Aceh-Nias (BRR) Indonesia memperuntukkan sebanyak AS$6.7 bilion (RM23.4 bilion) bagi tujuan pembangunan dan pemulihan akibat tsunami di wilayah itu. Peruntukan tambahan sebanyak AS$7.2 bilion (RM25 bilion) pula diperoleh daripada tabung bantuan pinjaman untuk membina semula 125,000 buah rumah dan kemudahan asas lain, termasuk sekolah, jalan dan jambatan.

Melalui BRR, pelbagai pembangunan dan kemudahan asas dirancang hasil sumbangan badan bantuan tempatan dan antarabangsa untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Di Thailand, kerajaan negara itu menganggarkan sebanyak 8,212 ora­ng terbunuh dengan 2,817 orang hilang apabila enam wilayah di negara itu dilanda malapetaka berkenaan dengan sebahagian besar daripada­nya merupakan pelancong asing yang sedang bercuti pada penghujung tahun.

Kawasan pelancongan yang terjejas teruk ialah Khao Lak, kira-kira 80 kilometer dari utara Phuket dan pulau pelancongan terkenal, Phi Phi. Selain itu, Krabi, Koh Phi Phi, Songkhla, Surat Thani, Phuket, Phang Nga, Ranong, Satun dan Trang turut terkena tempias ombak besar tsunami itu.

Bagi penulis, semestinya malapetaka Tsunami 2004 tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan dianggap sebagai sekadar fenomena biasa alam semula jadi. Sesuatu yang berlaku itu ada sebabnya dan seharus­nya menjadi pengajaran berguna kepada umat manusia.

Sehebat dan sekuat mana teknologi yang dimiliki manusia, sekali kemurkaan-Nya melanda langsung segala keangkuhan hamba-Nya itu tidak berguna lagi. Manusia ini yang terlalu hina dan kerdil wajib mensyukuri setiap nikmat anugerah yang dikurniakan. Percayalah, kekuatan Pencipta langsung tiada tolok ban­ding.

Tags: bencana, tsunami
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments