mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sederhana bukan liberal

Rupa-rupanya ramai yang teruja dengan kumpulan 25 Melayu Terbilang (terjemahan penulis bagi istilah eminent Malays), yang digunakan sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Tidak dinafikan kumpulan ini layak digelar terbilang kerana terdiri daripada bekas-bekas diplomat dan pegawai tinggi kerajaan yang telah bersara.

Sebenarnya tidak sukar untuk jadi masyhur hingga diisytiharkan terbilang pada hari ini terutamanya bagi akhbar-akhbar berbahasa Inggeris dan portal-portal media alternatif yang ada. Antara jalan pintas ialah dengan menobatkan diri sendiri sebagai pejuang kesederhanaan (moderation) atau liberalisme.

Cuma penulis mula meragui agenda kumpulan ini tatkala mereka bersungguh-sungguh berkempen agar diperdebatkan secara terbuka kedudukan undang-undang syariah dalam Perlembagaan Persekutuan, pelawaan Jakim untuk mengajak berdialog ditolak tanpa sebarang sebab. Lebih ironi apabila pejuang moderate dan ‘liberal’ ini mula menggelarkan kumpulan-kumpulan yang mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kelompok ekstremis.

Persoalannya benarkah kumpulan ini benar-benar mewakili aliran kesederhanaan yang hakiki? Apakah kesederhanaan dalam Islam mengiktiraf faham liberalisme yang dianuti oleh ramai pejuang-pejuang moderate masa kini?

Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam atau istilah al-Quran yang disebut wasatiyyah. Seolah-olah wasatiyyah yang difahami dengan maksud kesederhanaan adalah lesen besar bagi melakukan perbuatan yang memperlonggarkan prinsip agama yang sejati. Lebih malang lagi apabila kecelaruan akan makna wasatiyyah juga lantas membawa umat kepada sikap mempermudahkan hukum Allah dengan cuba memberi penafsiran baru yang bertentangan dengan suluhan Syariat hakiki.

Tidak hairanlah bagi kelompok yang mempelopori gerakan liberalisme agama mengambil kesempatan di atas kejahilan umat bagi terus mempromosikan gagasan liberalisme yang hanya mampu meruntuhkan kerukunan hidup beragama umat Islam selama ini.

Mungkin ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu makna liberalisme yang dimaksudkan. Gagasan atau ideologi yang mula bertapak dalam agama Kristian sekitar kurun ke-18 ini hakikatnya cuba membawa suatu kefahaman bahawa manusia perlu diberikan kebebasan mutlak untuk menentukan garis panduan bagaimana untuk berinteraksi dengan Tuhan.

Manusia yang dikurniakan akal tidak wajar dikongkong oleh satu-satu aliran pemikiran apatah lagi kefahaman agama yang didominasi idea-idea mahupun prinsip-prinsip kuno yang dirasai tidak cocok dengan peredaran zaman.

Pendokong liberalisme juga berpendapat doktrin agama merupakan faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Sebab itulah bagi mereka untuk meruntuhkan segala tembok penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah dengan membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsiran yang sekian lama menjadi pegangan umat.

Dalam konteks agama Kristian, gerakan liberalisme jugalah yang telah berjaya menggulingkan kerajaan dan merobek institusi gereja Roman Katolik melalui siri-siri revolusi sehingga lahir fahaman-fahaman baru yang lebih ekstrem seperti sekularisme iaitu memisahkan terus urusan agama daripada hal-ehwal pemerintahan dan urusan duniawi.

Tidak relevan

Hari ini gerakan yang sama turut mengakar dalam kalangan umat Islam. Kelemahan dan kemunduran umat Islam seantero dunia dijadikan alasan untuk membangunkan ideologi songsang yang didakwa mampu memecah kejumudan dan kebekuan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam.

Malangnya kejumudan yang dimaknakan adalah bersangkutan dengan aturan dan amalan agama yang sudah jelas dimaktubkan oleh syariat. Sebagai contoh ada yang berkefahaman bahawa solat yang difardukan tidak lagi relavan dengan zaman. Memadai untuk melakukan kerja-kerja kebajikan untuk manfaat ummah yang lebih besar kerana akhirnya Tuhan menilai niat kita yang baik bukan sangat soal pergerakan ritual yang tiada makna.

Di negara jiran Indonesia, seorang pensyarah syariah berstatus professor, malah secara berani mengeluarkan fatwa baru mengatakan perkahwinan sejenis antara golongan gay dan lesbian diharuskan masa kini lantaran bilangan umat yang terlalu ramai dan memudaratkan. Bagi beliau, pengharaman gay dan lesbian asalnya bertitik-tolak daripada rasional bahawa manusia di permulaan zaman seperti Nabi Adam hatta Nabi Luth bilangannya kecil dan perlu diperamaikan. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh kecelaruan pemikiran segelintir pendokong ideologi liberalisme agama yang mula mengakar dalam masyarakat Islam masa kini.

Mereka kini tampil dengan gerakan yang lebih tersusun atas nama Islam liberal bukan sahaja dalam negara malah mempunyai jaringan meluas di peringkat antarabangsa. Namun yang lebih membimbangkan apabila mereka mula menyerap masuk dalam masyarakat Islam di Malaysia atas nama perjuangan memartabatkan pendekatan wasatiyyah yang hari ini menjadi teras pembangunan Islam di Malaysia.

Hakikatnya manhaj atau pendekatan wasatiyyah yang dipopularkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masa kini tidak sesekali merestui mahupun menyetujui faham liberalisme yang meremeh dan memperlonggarkan ajaran Islam yang sebenar.

Malah dalam ucaptama Perdana Menteri dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1436 yang lalu menegaskan, maksud wasatiyyah tidak bererti kita mengambil pendekatan melampau hingga Islam tertampil bagaikan agama militan yang keras dan kasar.

Wasatiyyah juga tidak bermakna kita merelakan agama diperlonggarkan dan dipermudahkan sesuka hati hingga terpesong daripada ajaran syariat yang sahih. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah sebagaimana yang diterangkan Perdana Menteri adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan (pilihan terbaik), dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam.

Wasatiyyah dengan makna ‘adaalah (keadilan) dan khiyar (pilihan terbaik) diisyaratkan di dalam Al-Quran:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)”. (Al-Baqarah: 143).

Justeru daripada pengertian wasatiyyah ini jelas sekali bahawa ideologi liberalisme yang memperlonggarkan dan mempermudahkan agama berteraskan hawa nafsu tentu sekali tidak cocok dengan akar syariat yang sebenar. Bahkan usaha meremehkan dan memudahkan agama secara melampau adalah penyimpangan yang hanya menuntun umat ke arah kehancuran.

Oleh itu setiap warga wajib mempertahankan asas-asas kesederhanaan yang telah mendasari kekuatan negara bangsa semenjak merdeka 57 tahun dulu. Mereka yang cuba merobek asas-asas inilah yang seharusnya dilabelkan sebagai ekstrimis bukannya yang cuba mempertahankannya.

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Utusan Malaysia Rencana Agama 28 Disember 2014 1:12 AM

Tags: liberal, sederhana, wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments