mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Medium buka ruang perbincangan penting

Ulama perlu mewujudkan landasan bagi membolehkan orang Islam yang cenderung membahaskan dan memberi pandangan mengenai Islam khususnya berkaitan bidang perundangan untuk berbincang serta melakukan pembaharuan undang-undang.

Tujuannya supaya dapat menghubungkan sesama mereka terutama yang sering memberi pandangan di internet supaya wujud penyatuan serta persefahaman selain dapat mengelak percangahan terhadap sesuatu isu dibahaskan.

Pembantu Profesor Undang-undang Islam dari Universiti British Columbia di Kanada, Dr Rumee Ahmad, berkata ramai dalam kalangan orang Islam daripada pelbagai bangsa seperti Arab, Inggeris, malah rakyat Malaysia sendiri kini hanya mampu berbincang mengenai isu berkaitan undang-undang Islam sesama mereka.

Perbincangan dalam pelbagai bahasa

Katanya, berdasarkan pemerhatian, ada kalangan orang Islam berusia 60 hingga 70 tahun berbincang mengenai Islam dalam pelbagai bahasa dan mereka boleh mengakses capaian teks perbincangan serta mengeluarkan hujah yang sangat sofistikated.

"Harapan saya supaya diwujudkan satu medium bagi memberi peluang kepada mereka berkomunikasi dengan ulama dan membincangkan isu perundangan termasuk berkaitan hak jantina yang hangat diperkatakan ketika ini.

"Apabila berlaku pembaharuan dalam undang-undang Islam, orang Islam sendiri tidak berkesempatan untuk membincangkan dan menyampaikan hujah mereka dan perkara itu mengecewakan mereka," katanya pada ceramah umum di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), baru-baru ini.

Seminar On Gender and Islamic Legal Reform itu dipengerusikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Dr Mohamed Azam Mohamed Adil. Yang hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Dr Rumee berkata, kebanyakan masyarakat di negara Islam kecewa dengan sistem perundangan di negara mereka kerana ulama tidak menyediakan ruang untuk berbincang sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan.



Peserta Seminar On Gender and Islamic Legal Reform di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), baru-baru ini.

Beliau berkata, kegagalan ulama berkomunikasi menyebabkan masyarakat tidak mengikut arahan dan berikutan itu ia dilihat satu keperluan untuk mempunyai landasan bagi perbincangan termasuk membahaskan pembaharuan dalam undang-undang Islam.

Ketika ditanya mengenai Malaysia yang mempunyai Majlis Fatwa Kebangsaan yang akan membincangkan dan membuat keputusan berkaitan isu berbangkit mengenai Islam dalam negara, beliau tidak dapat mengulas lanjut berikutan belum mempelajari lebih mengenai undang-undang Islam di Malaysia.

Sementara itu, Pembantu Profesor jurusan Pengajian Islam dan Pengajian Gender Universiti British Columbia di Kanada, Dr Ayesha S Chaudhry, membangkitkan isu mengenai perkataan pukul dalam ayat 34, surah an-Nisa' yang pada pandangan beliau boleh memberi salah faham.

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Wanita yang kamu khuatiri nusyuz (derhaka), maka nasihatilah mereka dan (jika mereka berdegil) pisahkanlah mereka dari tempat tidur (kamu) dan (jika mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan). Kemudian jika mereka telah mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah an-Nisa', ayat 34)

Beliau berkata, kebenaran memukul disebabkan tidak mematuhi perintah suami dalam ayat itu awalnya mengejutkan beliau sendiri yang berasakan perkataan pukul seakan-akan hukuman yang berat dikenakan terhadap isteri yang tidak mentaati suami.

Katanya, perkara itu diketengahkan berikutan kebimbangan beliau perkataan pukul disalah tafsir dan sehubungan itu mencadangkan supaya diadakan perbincangan lanjut yang membuka peluang masyarakat Islam untuk membicarakan isu itu lebih lanjut seterusnya memahami maksud sebenar ayat berkenaan.

Maklum balas tafsiran pukul

Namun, perkara yang dibangkitkan itu mendapat maklum balas daripada hadirin.

Justeru, perbahasan mengenai isu pukul dalam ayat berkenaan tidak mencapai kata putus, namun kebanyakan peserta bertegas memaklumkan ayat itu sendiri sudah menjelaskan bentuk pukulan yang tidak menyakitkan dan boleh mencederakan.

Idea membuka ruang perbincangan dalam kalangan umat Islam berkaitan isu perundangan perlu diberi penelitian wajar kerana jika dilakukan mengikut kaedah yang betul dan merujuk pandangan ulama muktabar, hasilnya tidak lari daripada syariat Islam.

Cuma dikhuatiri, jika perbincangan itu bertujuan mengubah perintah yang ditetapkan agama atas nama pembaharuan undang-undang, ia bakal menimbulkan lebih banyak kekeliruan serta perbahasan yang tidak berkesudahan.

Tags: komunikasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments