mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Buktikan Cinta Kepada Rasulullah SAW

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 02 Januari 2015: “Maulidur Rasul” Jabatan Agama Islam Selangor

"Buktikan Cinta Kepada Rasulullah SAW"

Sebagai seorang Muslim, perlulah kita sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kita berjaya membuktikan cinta kita kepada Baginda SAW. Tidak cukup dengan hanya mengadakan sambutan, perayaan, perarakan dan berslogan cintai Rasulullah SAW semata-mata akan tetapi hendaklah kita buktikan kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan segala suruhan Baginda dan menjauhi segala larangannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka tinggalkan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)”.

Kalimah cinta bukan hanya mampu diungkap dibibir tanpa dibuktikan dengan amalan dan perbuatan.

Antara bukti-bukti kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW ialah:


1. Kita hendaklah mendahulukan segala hukum dan ketetapan Allah dan Rasul-Nya ke atas setiap urusan kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 36: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

2. Kita hendaklah mempertahankan Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 40 : “Bukanlah Nabi Muhammad SAW itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasulullah dan kesudahan bagi segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

3. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah membenarkan sesuatu yang dituturkan oleh Nabi SAW. Sesungguhnya apa yang dituturkan oleh Rasulullah SAW adalah merupakan suatu tuntutan yang mesti diikut.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Najm ayat 3-4: “Tidaklah dia (Muhammad) itu bercakap mengikut hawa nafsunya. Segala apa yang dikatakannya tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan”.

4. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah bersungguh-sungguh memelihara hadis-hadis Nabi dengan mempelajarinya dan juga menolak sebarang pendustaan terhadap Baginda SAW.

Dalam hal ini satu hadis daripada Anas bin Malik menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka dia telah menempah tempatnya di dalam api neraka”. (Hadith muttafaqun ‘alaih).


5. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah menjaga adab dengan memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda SAW.


Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56: “Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi , maka wahai orang-orang yang beriman berselawat dan salamlah kamu kepadanya”.


6. Tanda cinta kita terhadap Rasulullah SAW maka contohilah cara hidup (sunnah) Nabi SAW. Hadis daripada ‘Irbadh Bin Sariyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Sesiapa yang hidup selepasku nescaya akan melihat perselisihan yang cukup banyak. Maka tetaplah kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin yang telah diberikan petunjuk, dan genggamlah ia serta gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kamu. Maka jauhilah kamu daripada perkara yang diada-adakan kerana ianya merupakan perkara bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu membawa kepada kesesatan”. (Hadith riwayat Abu Daud).


Oleh itu, marilah kita sentiasa mempelajari, beramal dan mempertahankan sunnah Rasulullah SAW agar kehidupan kita terjamin dan mendapat keredhaan Allah SWT dan selanjutnya diperakukan menjadi umat Muhammad SAW.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (ali Imran - 31).

Wallahualam.
Tags: khutbah, maulidurasul, nabi, rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments