mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sabar, solat dan taubat hadapi bencana

API apabila kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Begitu juga dengan air. Apabila banjir melanda enam negeri di Semenanjung Malaysia, terutama di Kelantan baru-baru ini, kemusnahannya amat dahsyat. Banyak rumah yang ranap dibawa arus selain kerosakan harta benda yang nilainya mencecah jutaan ringgit.

Kepada mangsa yang terlibat, kesukaran dan natijah banjir tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada mereka dan menggantikan segala kemusnahan itu dengan yang lebih baik.

Kisah banjir telah dirakam dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu dia (Nuh) berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) daripada keping-keping papan dan paku (ad-dusur). (al-Qamar: 10-13)

Bezanya, banjir atau azab Allah ke atas kaum Nabi Nuh yang mengingkari ajarannya itu menyaksikan kemusnahan semua umat tersebut. Yang selamat hanya orang beriman. Namun, atas rahmat dan kasih sayang Allah, azab atau bala yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW tidak membawa kepada kehancuran umatnya.

Alhamdulillah, selepas keadaan pulih di beberapa kawasan, bantuan datang mencurah-curah. Baik daripada kalangan umat Islam mahupun yang bukan Islam. Ini adalah satu daripada hikmah banjir yang melanda apabila masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik semuanya berganding bahu menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Bagi orang beriman, walaupun banjir itu disebut bencana alam namun di sebalik yang tersurat, ia adalah peringatan daripada Allah agar kita kembali kepada-Nya. Dengan kata lain, bala yang diturunkan itu antara lain sebagai kaffarah untuk menghapus dosa-dosa yang kita lakukan.

Untuk itu, marilah sama-sama kita memohon keampunan daripada Allah SWT di atas segala kesalahan dan dosa sama ada yang kita lakukan secara sedar atau tidak. Orang beriman itu sifatnya akan semakin mendekatkan diri kepada Allah apabila berhadapan dengan ujian.

Inilah yang diperintah oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi mereka yang khusyuk.” (al-Baqarah: 45)

Malangnya, ada di antara mangsa banjir yang lalai dan mengambil mudah bab solat fardu ini. Lebih dikesalkan mereka ini ditempatkan di masjid sebagai penempatan sementara pun tidak solat berjemaah apabila azan dikumandangkan.

Ada juga yang mengambil kesempatan daripada tragedi ini memecah masuk pasar raya seperti yang dilaporkan di Kota Bharu, Kelantan. Yang pelik, barang yang dilarikan bukan makanan tetapi peralatan elektrik termasuk alat memancing. Perkara-perkara begini tidak sepatutnya berlaku. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga berdosa.

Demikian juga dengan pelbagai maklumat palsu dan ada juga bersifat fitnah yang disebarkan menerusi laman sosial sama ada Facebook atau WhatsApp tentang banjir dan provokasi. Berita sebegini tentunya membuatkan keluarga mangsa banjir gelisah dan gundah gulana terutama bagi mereka yang terputus hubungan.

AL-BAYAN MOHD. RADZI MOHD. ZIN Utusan Malaysia Rencana Agama 02 Januari 2015 12:31 AM
Tags: bencana, sabar, solat, taubat
Subscribe

  • Kafir tanpa sedar

    DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam”…

  • Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

    LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak…

  • Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

    Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments