mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kenapa Jawi kalah?

SEORANG wanita warga Ka­nada, bernama Irshad Manji, menggemparkan dunia kali kedua apabila dia menulis bukunya “Allah, Liberty and Love”. Buku ini yang diterbitkan dalam edisi asalnya (bahasa Inggeris) pada 2011 telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh ZI Publications Sdn. Bhd. dan mula dipasarkan di kedai-kedai buku pada 2012 di bawah judul “Allah, Kebebasan dan Cinta.”

Kali pertama wanita 47 tahun ini menggemparkan dunia adalah pada 2004, apabila menghasilkan buku berjudul “The Trouble with Islam”. Buku ini diterjemahkan ke dalam 30 bahasa di seluruh dunia (termasuk bahasa Arab, Parsi, Urdu, Indonesia dan Melayu), sekali gus melonjakkan nama penulisnya.

Pada 2005, wanita ini menubuhkan “Project Ijtihad” yang disifatkan olehnya sebagai usaha mempromosikan fikiran secara kritikal dengan maksud mempertikai pemikiran Islam cara tradisional. Dia menggalakkan pembaca dan pengikutnya untuk sentiasa mencabar conformity dalam semua keadaan - termasuklah dalam bidang agama, budaya, ideologi atau profesional.

Dia mengaku, secara terbuka bahawa dia seorang lesbian (http://en.wikipedia.org/wiki/Irshad_Manji). Dia mengaku ada menjalin hubungan intim dengan aktivis Michelle Douglas, tetapi mereka kini sudah berpisah. Dalam temubual di televisyen NBC, wanita ini mengaku dirinya seorang “misfit in every category”.

Dilihat oleh pengamal media sebagai seorang pengkritik aliran tradisional perdana Islam, Irshad Manji pernah digelar oleh akhbar New York Times sebagai “mimpi Osama bin Laden yang paling ngeri” (Osama bin Laden’s worst nightmare”).Disebabkan penulisannya serta kegiatannya, wanita ini pernah beberapa kali menerima ugutan bunuh.

Pada 23 Mei, 2012, pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah kedai buku (milik Berjaya Books Sdn. Bhd.) di Gardens Mall, Kuala Lumpur di mana buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” dipamerkan untuk jualan. Beberapa naskhah buku itu dirampas oleh mereka untuk siasatan lanjut.

Seorang pekerja di kedai buku itu, Nik Raina Nik Abdul Aziz, dibawa ke mahkamah syariah untuk menghadapi pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana mengedar buku yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Sewaktu pegawai Jawi menjalankan operasinya itu, buku berkenaan belum lagi diwartakan sebagai satu penerbitan haram atau dilarang. Pewartaan itu hanya dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri 6 hari selepas itu, iaitu pada 29 Mei 2012, manakala pengharaman itu dikuatkuasakan pada 14 Jun, iaitu tiga minggu selepas serbuan.

Kesal dengan tindakan Jawi itu, Berjaya Books (selaku pemilik harta yang dirampas) memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Semasa prosiding berjalan, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) menyatakan dalam afidavitnya bahawa Jawi ada kuasa membuat rampasan buku berkenaan kerana ia bertentangan dengan hukum syarak, walaupun buku itu belum lagi (tidak) diharamkan oleh kementerian.

Pada 22 Mac 2013, Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa tindakan Jawi menyerbu kedai dan merampas harta milik Berjaya Books itu adalah tidak sah dan batal. Hakim menyatakan berkata bahawa buku terjemahan itu tidak boleh diharamkan pengedarannya kerana edaran asalnya dalam bahasa Inggeris sebelum ini tidak diharamkan.

Hakim mempersoalkan kenapa buku itu diharamkan selepas ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbit oleh ZI Publication Sdn. Bhd.? Terkilan dengan keputusan mengecewakannya itu, Jawi merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 30 Disember 2014 lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tindakan Jawi merampas buku itu bertentangan dengan undang-undang dan tidak sah. Mahkamah juga memutuskan pendakwaan yang dibuat terhadap Nik Raina itu tidak munasabah dan mala fide.

Panel tiga hakim (diketuai Datuk Mah Weng Kwai) memutuskan bahawa tindakan Jawi terhadap kedai buku dan dua pekerjanya (Stephen Fung dan Nik Raina) adalah tidak munasabah dan tidak rasional.

Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa tindakan tidak boleh diambil ke atas Berjaya Books kerana ia adalah satu entiti korporat dan tidak ada keupayaan untuk mengamalkan apa-apa agama. Menolak rayuan perayu, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, Jawi perlu sensitif tentang kesan tindakannya agar tidak menimbulkan persepsi bahawa apabila satu organisasi di negara ini mengambil pekerja beragama Islam, organisasi itu akan tertakluk kepada bidang kuasa Jawi.

Menyentuh isu pendakwaan ke atas Nik Raina, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa memandangkan belum ada fatwa atau perintah larangan pada tarikh 23 Mei itu untuk memaklumkan orang awam tentang status buku terjemahan karya Irshad Manji itu, adalah sama sekali bertentangan dengan semangat keadilan untuk mengheret tertuduh ke Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Jenayah Syariah itu.

Apa yang boleh kita pelajari dari kes ini? Pertama, sewaktu Jawi datang menyerbu kedai milik Bejaya Books itu dan merampas buku terjemahan hasil karya Irshad Manji ini, fatwa atau perintah larangan mengenainya belum wujud lagi.

Ketiadaan fatwa ini ditekankan oleh kedua-dua mahkamah, manakala perintah larangan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya selepas peristiwa itu berlaku.

Kesimpulannya, Jawi bertindak gopoh dan ini mendedahkan agensi awam itu diserang oleh pihak lain.

Kedua, umum ketahui Akta Kesalahan Jenayah Syariah hanya terpakai kepada orang beragama Islam. Nik Raina memang beragama Islam, tetapi dia hanya seorang pekerja yang dibayar gaji oleh syarikat berkenaan.

Mengikut mahkamah adalah tidak adil untuk seorang pekerja beragama Islam yang bertugas dengan sebuah syarikat milik bukan Islam dikenakan prosiding jenayah, manakala majikannya kebal daripada tindakan.

Mahkamah mengesahkan majikan Nik Raina tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan di bawah Akta berkenaan kerana sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan ia adalah satu entiti korporat yang tidak berupaya mengamalkan apa-apa agama. Kesimpulannya, tindakan penguatkuasaan perlu adil, tidak bersifat diskriminasi.

Ketiga, Mahkamah Tinggi mempersoalkan kenapa buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu diharamkan pada hal naskhah asalnya dalam bahasa Inggeris yang dipasarkan secara meluas di negara ini tidak dikenakan apa-apa tindakan?

Keempat (dan barangkali paling penting) adalah soalan berikut - Bila seluruh dunia mempersoalkan buku pertama “The Trouble with Islam”, disusuli oleh buku kedua “Allah, Liberty and Love”, kenapakah pihak berkenaan tidak segera mengkaji kandungan kedua-dua buku ini dan membuat fatwa mengenainya?

Kesimpulannya, badan fatwa kebangsaan atau negeri lambat bertindak, dan ini menyukarkan Jawi menjalankan tugasnya dengan berkesan dan secara sah.

Akhir sekali, Jawi perlu sedar bahawa apa juga tindak-tanduk mereka, sekalipun nampak menepati kehendak undang-undang, masih boleh dipersoal menerusi semakan kehakiman di mahkamah sivil negara ini.

Tindakan yang pada zahirnya nampak teratur dan sah masih boleh diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi sivil sebagai tidak sah jika didapati ia elemen ultra vires (melampaui kuasa), unconstitutional (menyalahi Perlembagaan Persekutuan), mala fide, tidak munasabah (unreasonable) atau tidak rasional.

Tindakan Jawi boleh juga dipersoal dan dibatalkan oleh mahkamah jika berlaku kesilapan prosedur - misalnya ada pelanggaran keadilan asasi (breach of natural justice), berat sebelah, gagal memberi hak untuk didengar, atau gagal menyatakan sebab keputusannya.
Salleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang. Salleh Buang Utusan Malaysia Rencana Agama 06 Januari 2015 12:50

Tags: islam, jawi, lgbt
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments