mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Redakan amukan alam

TIADA siapa yang boleh menafikan betapa Rasullullah SAW ialah manusia yang terulung dan terhebat di dunia. Akhlak baginda wajib dicontohi oleh kita. Baginda menunjukkan contoh kepada kita agar menjadi pemimpin yang sentiasa mementingkan orang lain. Baginda juga mengutamakan keadilan tanpa mengamalkan sikap pilih kasih dalam membuat sebarang keputusan. Baginda tidak meninggalkan sebarang harta benda dan kekayaan kepada umatnya.

Hanya dua perkara yang ditinggalkan oleh Baginda kepada umatnya, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penyuluh hidup umat manusia di dunia dan akhirat.

Namun, manusia meskipun dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini, selalu sahaja alpa dengan suruhan Baginda dengan melakukan pelbagai kesilapan. Kesilapan itu pula sering diulang-ulang. Apabila berlaku malapetaka baharulah mahu beringat. Sudah terhantuk baharu terngadah. Itu pun hanya sekejap cuma. Apabila berada di puncak kekayaan dan kekuasaan, manusia selalunya akan mudah lupa mensyukuri segala nikmat Allah SWT.

Tatkala inilah, manusia selalunya hanya mementingkan wang, harta benda dan pangkat serta kuasa bagi mengejar kebanggaan dan pujian daripada manusia. Mereka lupa bahawa semua ini boleh ditarik oleh Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Kealpaan manusia menyebabkan mereka rakus merosakkan muka bumi ini. Tidak mengapalah, janji dapat hidup dengan kemewahan meskipun orang lain sengsara.

Inilah realiti yang terjadi terhadap mangsa-mangsa ban­jir yang terpaksa menghadapi liku-liku hidup yang lebih mencabar pada masa akan datang. Disebabkan ketamakan segelintir manusia yang rakus menggondolkan hutan belantara sehingga habis botak dikerjakan mereka. Mereka ini tidak pula ke hadapan mengakui kesilapan mereka. Jauh sekali meminta maaf kepada mangsa-mangsa banjir.

Tidakkah mangsa-mangsa banjir berhak mengetahui siapakah mereka ini? Namun, seperti yang pernah berlaku sebelum ini, kisah banjir ini akan dilupai begitu sahaja apabila keadaan pulih seperti sedia kala.

Lihatlah apa yang telah berlaku di Cameron Highlands, hanya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikenakan tindakan manakala pihak yang bertanggungjawab menyebabkan Cameron Highlands mengalami kerosakan yang begitu besar sekali terlepas begitu sahaja. Dua kejadian tanah runtuh yang baharu sahaja melanda Cameron Highlands selepas tragedi banjir lumpur tempoh hari menggambarkan sememangnya ada yang tidak kena dengan penerokaan tanah yang berleluasa di situ. Kejadian ini berkemungkinan akan berulang kembali sekiranya kesilapan yang sudah lama dikenalpasti tidak ditangani dengan baik.

Tahun 2014 yang baharu sahaja berakhir minggu lalu membuktikan betapa alam sekeliling kita telah dikotori oleh tangan-tangan manusia yang tidak pernah kenal rasa kasih sayang terhadapnya. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan tangan-tangan ajaib yang dinaungi oleh nafsu ekonomi kapitalis yang meletakkan kekayaan sebagai keutamaan tertinggi, nampaknya kerosakan itu akan bertambah teruk. Tempangnya alam umpama cacatnya kapitalisme yang dahulunya diagung-agungkan.

Pada suatu ketika, sosialisme ditendang manusia sejauh yang mungkin dan kalah dengan kapitalisme tetapi kini ada negara mula memikirkan betapa kapitalisme tidak kurang teruknya. Malah, ada negara yang mula berusaha untuk mengubah dasar kapitalisme kerana terdapat ramai warga asing mula menguasai ekonomi mereka. Mereka mula ingin mengambil pusingan U untuk menjadi sebuah negara yang lebih mengutamakan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan individu.

Apalah gunanya hanya segelintir sahaja yang mengecapi kekayaan yang terlalu ekstrem sedangkan kebanyakan rakyat jauh miskin. Tidakkah kita lupa bahawa masyarakat itu lebih penting berbanding individu? Pertembungan sosialis dan kapitalis tidak mustahil berulang kembali.

Namun, sebagai umat Rasullullah SAW, ajaran agama Islam teras kehidupan bermasyarakat dalam mentadbir urus alam dan muka bumi ini. Tidak mengotori alam seperti membuang sampah merata-rata sehingga tersumbat parit dan longkang. Ingatlah alam ini hanya dipinjam oleh Allah SWT kepada kita. Usahlah apabila alam sudah tidak boleh lagi dipulih semula, barulah ingin menyesal. Sesal kemudian tiada gunanya. Tatkala itu, nasi sudah menjadi bubur. Adakah khazanah yang tidak ternilai harganya tetapi telah rosak teruk mahu diwariskan kepada generasi akan datang?

Segeralah memulih dan memelihara alam sekitar. Kepada penguat kuasa bertindaklah dengan tegas kepada penceroboh-penceroboh alam sekitar pada setiap masa. Usah sesekali memberi muka kepada mereka atau bertindak hangat-hangat tahi ayam.

Kepada para pemimpin, berhentilah memberi alasan dan mengelak untuk bertanggungjawab. Ambil tindakan untuk mencegah bencana banjir berulang kembali. Laburlah wang untuk membina tebatan, halangan dan sistem perparitan yang terbaik. Gunakanlah wang seoptimum mungkin melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk mencantikkan alam sekeliling kita yang selama ini menjadi pasak bumi. Senantiasalah mengambil tindakan berasaskan pandangan pakar dan kajian-kajian yang dijalankan.

Kepada ahli-ahli perniagaan, cukup-cukuplah berniaga hanya semata-mata bernafsukan wang ringgit yang sungguh materialistik sifatnya sampaikan sanggup melakukan pelbagai kerosakan terhadap alam ini. Hentikan kerja-kerja pembalakan haram dan penerokaan tanah demi keuntungan jangka masa pendek yang merugikan rakyat dalam jangka masa panjang. Hentikan juga pembangunan hartanah yang meminggirkan dan mencemarkan alam dan bumi ini.

Kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam, berusahalah tanpa kenal erti putus asa dengan mendidik masyarakat agar menyayangi alam ini dan seterusnya mengubah tingkah laku masyarakat untuk sentiasa melindunginya.

Kepada masyarakat umum, marilah bersama-sama berganding bahu menjaga alam ini. Dengarlah rintihan alam sekeliling kita. Usah sampai terpaksa membayar kos yang sangat mahal pada masa akan datang dek kerana kegagalan kita bertindak pada masa sekarang. Ingatlah, kita semua bertanggungjawab memelihara, memulihara dan melindungi alam ini sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita.

Oleh itu, berazamlah dan laksanakanlah amanah ini agar mulai saat ini, setiap tahun merupakan tahun-tahun untuk kita sentiasa melestarikan alam ini pada setiap masa. Semoga, dengan ini dapat meredakan kemarahan dan amukan alam. Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia. Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 06 Januari 2015 12:50 AM

Tags: bencana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments