mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kempen dan protes anti-Islam di Eropah

Kempen Anti-Islam di Eropah Merebak

BERLIN 7 Jan. - Protes anti-Islam yang semakin meningkat di Jerman dan benua Eropah dipercayai berpunca daripada pengaruh media serta Internet yang memaparkan keganasan kumpulan militan di Asia Barat.

Aktivis berhaluan kiri, Daniel Cohn-Bendit berkata, protes anti-Islam dianjurkan kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) dan ia bukan di­sebabkan krisis ekonomi yang dialami Jerman.

“Mereka ditakutkan dengan siaran televisyen global dan Internet. Sebab itu anda boleh tinggal di Saxony dan masih mempunyai perasaan takut terhadap serangan ganas kumpulan militan,” katanya.


Anggota kumpulan PEGIDA menggunakan lampu telefon bimbit ketika menyertai perarakan anti-imigran di Dresden, Jerman, kelmarin. – REUTERS

PEGIDA yang ditubuhkan pada Oktober lalu mengadakan bantahan bukan sahaja terhadap Islam, malah terhadap media yang digelar sebagai penipu serta ahli politik yang didakwa menggugat budaya Kristian Jerman.

Demonstrasi itu, bagaimanapun dikecam beberapa parti politik Jerman, termasuk Canselor, Angela Merkel yang mengutuk stigma kebencian dalam kalangan kumpulan itu.

Kebanjira pendatang asing turut menjadi kebimbangan banyak negara Eropah.

Sweden yang mengamalkan sikap liberal dilaporkan menapis 100,000 permohonan pencari suaka untuk memasuki negara yang hanya mempunyai 10 juta penduduk.

Kes kebakaran beberapa buah masjid di negara berkenaan juga dikhuatiri berpunca daripada sentimen fobia terhadap Islam yang meningkat.

Sementara itu, Perancis yang didiami oleh penduduk Islam paling ramai di Eropah berhadapan dengan isu pengislaman negara itu yang dibangkitkan oleh Parti Barisan Kebangsaan dan kumpulan intelek. – AFP


Protes anti-Islam dibantah

BERLIN 6 Jan. - Pihak berkuasa Jerman semalam memadamkan lampu bangunan di beberapa bandar raya besar termasuk Cologne, Berlin, dan Dresden sebagai tanda membantah demonstrasi anti-Islam yang semakin berkembang di negara ini.

Pihak berkuasa Jerman tutup lampu ketika demonstrasi berlangsung

PESERTA demonstrasi mengibarkan bendera kebangsaan dalam perarakan yang memprotes pertumbuhan pengaruh agama Islam di negara ini di Dresden, timur Jerman kelmarin. – AFP -

Menurut portal, Mail Online, dataran di Gereja Cologne yang merupakan satu daripada bangunan terkenal di Jerman berada dalam keadaan gelap, manakala lampu Brandenburg Gate dan Menara TV di Berlin turut ditutup bagi membantah demonstrasi yang dianjurkan oleh Pertubuhan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) itu.

Wakil Gereja Cologne, Norbert Feldhoff berkata, tindakan mematikan lampu adalah satu cubaan untuk membuatkan peserta demonstrasi memikirkan semula tentang protes yang dilancarkan.

“Anda mengambil bahagian dalam demonstrasi yang bersifat perkauman dan melampau,” katanya.

Bangunan kaca milik syarikat kereta, Volkswagen di timur bandar Dresden turut menutup lampu bagi menunjukkan pendirian yang menyokong demokrasi dan kebebasan dalam masyarakat.

Demonstrasi itu dilancarkan beberapa hari selepas Canselor Jerman, Angela Merkel dalam ucapan tahun baharunya mengkritik tunjuk perasaan berbaur perkauman, yang mencetuskan bantahan kira-kira 18,000 penduduk Dresden, Isnin lalu.

Mereka membawa bendera Jerman dan poster yang tertera slogan seperti ‘Ketaksuban terhadap agama dan segala bentuk perubahan radikal ditentang’.

Bulan lalu, sentimen antiimigran mula menular di bandar-bandar utama negara ini, khususnya Duesseldorf berikutan polisi Jerman yang menggalakkan kemasukan pendatang asing serta pelarian dari Iraq dan Syria.

Seramai 17,000 orang terlibat dalam tunjuk perasaan yang diadakan setiap minggu bagi memprotes lambakan pendatang dan menggesa kerajaan supaya merujuk semula polisi tersebut dan mengenakan kawalan ketat kepada pendatang.

Tags: anti, islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments