mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sunnatullah, hikmah sebalik banjir

SEJARAH banjir yang terjadi di dunia ini bermula dari zaman Nabi Nuh AS dan juga pada zaman Firaun. ALLAH SWT telah menunjukkan musibah banjir itu sudah lama terjadi sejak zaman dahulu lagi. Kemudian peristiwa banjir itu berulang menimpa umat manusia dari semasa ke semasa. Contohnya banjir besar di Kelantan terjadi pada 1926, 1947, 1967, 2004 dan kini 2014.

Mengapa banjir sering terjadi melanda umat manusia? Kita tidak melihat kejadian-kejadian yang dijadikan ALLAH SWT sebagai pengajaran dan hikmah di sebaliknya. Itu musibah banjir belum lagi musibah tsunami seperti yang terjadi di Aceh dan di Jepun. Semuanya dikatakan sebagai sunnatullah dan hukum alam kepada umat manusia agar mereka menyedari dan ingat kepada ALLAH SWT.

Di antara sunnaatullah dan hikmah yang ada hubung kait di sebaliknya ialah:

Manusia membangunkan pembangunan melampau tanpa mengambil berat ekosistem alam semula jadi. Menyebabkan tanah runtuh, banjir dan  sebagainya sedangkan alam sekitar mesti dikawal dan diurus dengan saksama dan baik. Kita selalu dengar bangunan tinggi yang runtuh, tanah gelongsor dan lain-lainnya menimpa manusia. Alam ini sangat rapuh bagi manusia sebab bukan manusia sahaja yang tinggal di alam ini tetapi juga berbagai makhluk ALLAH seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya, mereka juga mahu hidup bersama manusia untuk menumpang tinggal sementara di alam maya ini.

Pemimpin dan pentadbir umat. Bagaimana mereka memimpin dan mentadbir umat di jalan yang betul atau menyeleweng? Bagaimana mereka mengurus rakyat terutama ketika dalam kesusahan.

Kejatuhan pemimpin-pemimpin masa lalu memberi pelajaran dan teladan kepada umat. Disebabkan salah tadbir dan pengurusan di mana ALLAH TAALA menguji dengan sunnatullah dan hukum-hakamnya yang menimpa manusia. Bila mana musibah turun menimpa umat, maka semuanya akan merasainya sebagai suatu pengajaran dan iktibar bagi manusia.

Perancangan kecemasan negara. Ramai yang sedar kita tidak mempunyai perancangan pelan kecemasan negara yang baik. Contoh hilangnya pesawat MH370 tidak ada perlengkapan yang canggih sehingga lenyap begitu sahaja tanpa ada reaksi khabarnya hingga kini.     Kita tidak mempunyai sebarang perancangan yang baik untuk menangani musibah termasuk banjir. Kalau kita lihat di negara-negara maju seperti Jepun yang sentiasa berwaspada, kerap mengalami situasi kecemasan seperti gempa bumi, tsunami dan lain-lain. Rakyatnya dilatih di tadika lagi, bagaimana untuk bertindak. Apabila musibah terjadi mereka tidak terlalu kelam-kabut dan setiap jabatan berkaitan menjalankan tanggungjawab mereka dengan pantas dan cepat.

Di negara-negara maju, rekrut program khidmat negara mereka serapkan ke dalam badan keselamatan awam kerajaan. Mereka dilatih dengan cara betul dan hasilnya dapat digunakan apabila negara menghadapi situasi kecemasan dan berbahaya.

Di Singapura, Thailand dan Indonesia pelatih khidmat negara juga terlatih untuk menggunakan kelengkapan ketenteraan dan awam seperti memandu trak, helikopter, kereta perisai, bot dan lain-lain. Bagaimana dengan kita?

Mudah-mudahan antara sunnatullah dan hikmah di sebalik banjir banyak memberi pelajaran dan iktibar bagi kita sebagai umat yang mendiami bumi ini. Ibrahim Abdullah Sinar Harian Rencana 9 Januari 2015
Tags: bencana, hikmah, sunat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments