mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rentetan Eric Paulsen, JAKIM dan ekstrimisme

Penguatkuasaan jangan lembik, elak kes berulang

TAK kisahlah Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen nak buat dakwaan yang Ketua Polis Negara dipengaruhi penyokong UMNO atau MCA atau Pas sekalipun, supaya dia patut disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.



Rais Yatim

Sebab pokok persoalannya, asalkan ayat yang dikeluarkan oleh Eric dalam akaun Twitternya baru-baru ini dibuktikan benar-benar mempunyai kecenderungan menghasut.

Eric menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremisme setiap Jumaat dan dakwaan itu dipercayai merujuk kepada khutbah Jumaat yang disampaikan kepada umat Islam.

Sebenarnya, belum ada kes khusus melibatkan jabatan kerajaan seperti dialami Jakim. Namun, kata pakar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, dalam undang-undang, apa yang dihadapi Jakim dianggap sebagai serangan ke atas personaliti institusi. Jakim boleh bertindak jika kenyataan Eric dibuktikan berbaur kecenderungan menghasut.

“Namun perkara ini perlu disusuli dengan pembuktian seperti pita rakaman dan bukti-bukti kukuh sebab tidak mudah untuk mengecap seseorang berkecen­derungan menghasut.

“Jakim dalam soal ini perlu timbulkan hujah-hujah sebenarnya bagi menyangkal kenyataan Eric untuk menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan lagi ucapan naratif yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya kepada penulis.

Kes Eric antara siri isu sensitif yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia kebelakangan ini. Mengapa kerap berlaku? Adakah pihak-pihak terbabit mendapati pihak berkuasa undang-undang tampak seolah-olah lembik atau tidak ambil berat terhadap kenyataan berunsur hasutan. Ini imej yang mungkin dirasai dari kelemahan aspek penguatkuasaan. Buatlah apa-apa pun, tidak akan jadi apa-apa, kata ‘mereka’.

Dan berbanding beberapa negara, apabila dapat tahu sahaja punca (berbaur hasutan), mereka terus bertindak. Menang atau kalah soal lain. Tindakan mesti nampak. Apatah lagi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, yang sensitivitinya begitu tinggi.

Kita sudah lama benar dalam keadaan selesa dengan cara tuntutan yang lembut. Dengan undang-undang tidak boleh begitu. Bila ada kesalahan, mesti tangkas bertindak.

Dalam kes menghasut dan menabur fitnah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukanlah pihak berkuasa tunggal untuk bertindak. PDRM, Jabatan Peguam Negara serta pihak-pihak agensi yang memberi perkhidmatan internet dan tele­komunikasi memainkan peranan sama, bahkan lebih penting.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah undang-undang yang tebal. Tidak semudah itu untuk merumuskannya dengan penguatkuasaan SKMM pun hanya sekelumit.

Mungkin ada baiknya jika undang-undang diperbuat pada seksyen-seksyen tertentu yang tidak perlu merujuk kepada Peguam Negara untuk menutup punca komunikasi yang masuk ke sesawang tertentu. Dikatakan menteri sendiri tidak boleh mengambil tindakan sedemikian.

Sewajarnya kuasa itu mesti ada pada SKMM, tetapi agensi itu perlu merujuk pula kepada Peguam Negara. Ia memakan masa dan risikonya, pihak yang membuat onar terlepas lari.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pendakwa Raya atau Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mesti bersikap tegas. Bukan sahaja dalam isu hasutan tetapi menjangkau ke kes-kes pencabulan hutan dan pembukaan tanah.

Bukannya bila tegak, terus berlari. Kena mencangkung dulu.

Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Nasional 13 Januari 2015

Eric akui kritik JAKIM menerusi Twitternya

PETALING JAYA 12 Jan. – Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen hari ini mengaku bahawa beliau mengeluarkan kenyataan mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di laman sosial Twitternya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menganggap kritikan terbabit sekadar pandangan terhadap sebuah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya berniat untuk menghina kesucian agama Islam.

Namun begitu, peguam itu enggan meminta maaf secara terbuka, sebaliknya terus melemparkan tuduhan terhadap pelbagai pihak, termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dikatakan terpengaruh dengan penyokong UMNO.

“Saya akui telah membuat kenyataan kepada Jakim itu dan saya hanya mengkritik Jakim yang merupakan sebuah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya tidak pernah merujuk kepada agama Islam di dalam kenyataan Twitter saya.

“Tuduhan mengatakan saya menghina agama Islam adalah palsu dan menganggap ini fitnah daripada penyokong dan tentera siber pro-UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Mengulas laporan polis yang dibuatnya, Eric mendakwa beliau telah menerima komen berunsur ugutan dan ancaman bunuh menerusi akaun laman sosial Twitter dan aplikasi WhatsApp.

“Ugutan berkenaan amat serius dan berharap polis mengambil tindakan segera terhadap pengugut dan mencari identiti mereka sebenar.

“PDRM tidak seharusnya terlibat dalam pengawasan media sosial atau isu-isu yang bermotifkan politik. Saya harap mereka melakukan siasatan secara bebas dan profesional,” ujarnya.

Sementara itu, Latheefa Koya yang mewakili Eric berkata, polis perlu menyiasat segera memandang­kan anak guamnya dikecam oleh tentera siber pro-UMNO.

“Mesej-mesej ini amat serius. Kami mohon tindakan kesalahan ini di bawah kesalahan Seksyen 503 dan Seksyen 505 Kanun Kesek­saan.

“Polis perlu ambil tindakan segera, dan jangan hanya ambil tindakan jika orang pro-Umno sahaja yang buat laporan terhadap anak guam saya,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan memberitahu, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap dakwaan Eric.

Katanya, polis akan menyiasat ugutan bunuh yang diterima peguam terbabit di samping siasatan terhadap Eric mengikut Akta Hasutan 1948 turut berjalan.

“Dua-dua akan kita siasat... tanpa kompromi. Kita juga akan memanggil Eric berhubung kenyataannya terhadap Jakim setelah beberapa perkara diselesaikan nanti,” katanya.

Ilah Hafiz Aziz Utusan Malaysia Politik 12 Jan 2015

Salahkan UMNO satu lagi agenda

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Perbuatan Eric Paulsen menuduh UMNO mempengaruhi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar menyiasatnya di bawah Akta Hasutan merupakan satu lagi agenda buruk Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti terbesar orang Melayu itu tidak pernah lari daripada membela bangsa dan agama tetapi siasatan polis di bawah Akta Hasutan adalah disebabkan perbuatan Eric sendiri.

“Saya tengok usaha untuk menu­ding jari kepada UMNO ini tidak akan terhenti, tetapi UMNO tetap konsis­ten dengan pendirian kita. Kita lakukan apa yang benar,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan tidak bertanggungjawab Eric yang bukan sahaja tidak meminta maaf kepada seluruh umat Islam tetapi menuduh pula Khalid dipengaruhi UMNO dan ‘tentera’ siber pro-UMNO agar mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

Sabtu lalu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu yang sudah kerap kali mencetuskan kontroversi menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi akaun Twi­tternya sebagai menyebar fahaman ekstremisme pada setiap hari Jumaat.

Dakwaan itu dipercayai merujuk kepada khutbah Jumaat dan kenyataan Eric berbunyi: “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanga­ninya jika serius mahu membanteras ektremisme di Malaysia,”.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut kemudiannya telah dipadamkan apabila tiada lagi paparan mengenainya di akaun Twitter milik Eric itu.

Utusan Malaysia Nasional 13 Januari 2015

Eric Paulsen dakwa KPN dipengaruh penyokong UMNO

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Bukannya mahu meminta maaf, sebaliknya Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen cuba menegakkan benang basah.

Beliau mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipengaruhi oleh penyokong dan tentera siber pro-UMNO apabila mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa beliau patut disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Eric memberi alasan bahawa tweet Ketua Polis Negara itu dibuat selepas ‘kempen’ berterusan yang dilakukan oleh tentera siber pro-UMNO yang mahu supaya siasatan dilakukan terhadapnya.

“Adalah sangat mengejutkan apabila Ketua Polis Negara menerima arahan dari­pada penyokong dan tentera siber pro-UMNO sedangkan beliau sepatutnya bersikap neutral apabila berurusan dengan mereka yang bermotifkan politik.

“Nak kata apa lagi, penyokong dan tentera siber pro-UMNO ini bebas mengatakan apa sahaja yang mereka mahu tanpa perlu takut disiasat oleh polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya sinis.

Beliau juga seolah-olah menganggap kontroversi yang ditimbulkannya sebagai perkara remeh apabila meminta Khalid dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutamaan kepada tugas hakiki mereka membanteras jenayah.

“PDRM sepatutnya bersikap profesional, saksama dan cekap dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman serta menyiasat kes jenayah dan menangkap penjenayah yang sebenar.

“Mereka tidak seharusnya terlibat dalam pengawasan media sosial atau isu-isu yang bermotifkan politik,” katanya.

Kelmarin, Eric dalam kenyataan menerusi akaun Twitternya menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremisme setiap Jumaat dan dakwaan itu dipercayai merujuk kepada khutbah Jumaat yang disampaikan kepada umat Islam.

Kenyataan itu berbunyi: “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia.”

Bagaimanapun, kenyataan ber­kenaan didapati tidak lagi dipaparkan di dalam akaun Twitter milik peguam tersebut hari ini.

Sementara itu, Eric ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang khutbah Jumaat yang didakwa beliau mempromosi fahaman ekstremisme.

“Saya tidak ingin memberi komen selain daripada yang dinyatakan dalam kenyataan saya hari ini,” jelasnya.

Hussaini Amran Utusan Malaysia Nasional  12 Januari 2015
Tags: ekstrimisme, jakim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments