mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

JAKIM dan Ekstrimisme

NAMA Eric Paulsen mula disebut sejak beberapa hari lalu susulan kenyataannya yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme atau fahaman pelampau pada setiap Jumaat.



LFL antara pertubuhan di Malaysia yang menerima dana daripada AS.
Siapa beliau? Beliau adalah seorang peguam, yang juga pengarah eksekutif dan pengasas bersama pertubuhan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty (LFL).

Paulsen dilihat kerap bercakap mengenai pelbagai perkara mengenai Islam di akaun Twitternya, terutama mengenai hukum hudud.

Antara status terkini di Twitter beliau mengenai Islam ialah:

1) "Golongan ulama adalah seperti raja/Tuhan, tidak boleh dikritik."- 6 Januari 2015

2) "Hmm apabila agamawan palsu samakan doa dengan cara dapat kontrak besar kroni. Syirik besar ini." - 31 Disember 2014

3) "Lagi agamawan menjaja agama" (merujuk kepada Malam Cinta Rasul 2015 di Dataran Merdeka) - 29 Disember 2014

4) "Ada majlis di tempat terbuka (dan) nampak nak hujan. Jadi penganjur doa agar tak hujan. Tak lama pun hujan. Jadi penganjur kata rahmat Tuhan. Kisah benar." - 27 Disember 2014

5) "Cara Pas Kelantan cakap macam tak ada benda lain dalam dunia/akhirat kecuali hudud. Isu-isu kebajikan, ekonomi, sosial dan keselamatan masyarakat?" - 24 Disember 2014

6) "Taliban menggila. Inilah akibatnya bila terlalu taksub dengan hukum (dan) haram tanpa tahu nilai agama, keadilan, belas kasihan (dan) penyayang." - 17 Disember 2014

7) "Tak faham obsesi Pas dengan hudud. Ia tak berperlembagaan, zalim (dan) tak sesuai dengan zaman moden." - 14 Disember 2014

LFL yang diasaskan beliau pula adalah pertubuhan hak asasi manusia dan undang-undang yang bermatlamat mencabar keputusan dan tindakan tidak berperlembagaan yang dilakukan kerajaan dan pihak berkuasa lain.

Berdasarkan laman web National Endowment for Democracy (NED), LFL mendapat dana sebanyak AS$45,000 (RM160,000) setiap tahun dari 2011 hingga 2013.

NED adalah sebuah yayasan bukan berasaskan keuntungan bermatlamat mengembangkan dan mengukuhkan institusi demokrasi di seluruh dunia.

Mendapat dana daripada Kongres AS, NED menyokong lebih 1,000 projek kumpulan bukan kerajaan di lebih 90 negara.

Menurut laman web NED, sejak penubuhannya pada 1983, NED mengetuai perjuangan demokrasi di dunia dan kedudukannya sebagai badan bukan kerajaan memberikan yayasan itu fleksibiliti untuk bertindak segera apabila ada peluang perubahan politik di mana-mana negara.



AMK sangkal dakwaan Eric

SHAH ALAM 12 Jan. - Kenyataan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremisme pada setiap Jumaat ternyata tidak disenangi Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menyangkal dakwaan tersebut.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan Eric seolah-olah semua khutbah yang disediakan oleh Jakim menyebarkan fahaman melampau adalah tidak benar.

Selain itu, jelasnya, tidak semua skrip khutbah Jumaat yang mempunyai unsur-unsur melampau ditulis oleh Jakim.

"Ada dua perkara utama yang mana saya tidak bersetuju dengan Eric. Pertama, sememangnya ada kandungan khutbah Jumaat yang mana tidak disenangi ramai rakyat Malaysia, sama ada yang beragama Islam mahupun tidak. Pun begitu, untuk mengatakan semua khutbah Jakim menyebarkan fahaman pelampau juga adalah salah.

"Juga bukan semua khutbah yang menyebarkan fahaman yang melampau datang daripada skrip yang diluluskan Jakim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eric menerusi laman sosial Twitter baru-baru ini mengeluarkan kenyataan menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremisme pada setiap Jumaat yang dipercayai merujuk khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric menerusi catatannya berkata: “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

Kenyataan itu kemudian mendapat maklum balas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengarahkan satu siasatan segera dilakukan di bawah Akta Hasutan. - Zabry Mohamad Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Januari 2015 7:31 PM



Henti provokasi 
tidak berasas – Nooh

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Hentikan segera provokasi tidak berasas dan tidak bertanggungjawab tentang khutbah Jumaat yang dikatakan untuk mempromosikan fahaman ekstremisme pada setiap Jumaat.

NOOH GADOT

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, kenyataan Pengarah Eksekutif Lawyers of Liberty, Eric Paulsen tidak berasas dan tidak bertanggungjawab sehingga boleh mencetuskan keresahan dan ketidakpuasan hati orang Islam.

“Eric merupakan seorang peguam tetapi jahil tentang undang-undang. Malaysia merupakan negara majmuk berbilang agama, sepatutnya beliau lebih berhati-hati apabila mengutarakan pendapat, di samping mendalami tentang hikmah dan mesej khutbah Jumaat sendiri apabila mahu berbicara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, Eric menerusi laman sosial Twitter mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremisme pada setiap hari Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Menurut Nooh, aspek keselamatan dan ketenteraman awam negara tidak boleh diperjudikan, tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap Eric kerana dikhuatiri beliau mempunyai strategi dan agenda tersendiri untuk menentang umat Islam di negara ini.

“Islam merupakan agama yang selamat, sejahtera, makmur dan seimbang. Kita menolak sepenuhnya aktiviti ekstremisme dan khutbah Jumaat bukan jalan untuk merancang provokasi. Tak sah jika tidak ada khutbah dalam solat Jumaat.

“Kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang lebih berat dengan kadar segera. Jika dibiarkan lebih lama, dikhuatiri perkara ini akan lebih menjadi-jadi. Sudah banyak kerajaan bertolak ansur. Bab agama tidak boleh diperjudikan seperti apa yang diperkatakan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ellias Zakaria berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja berunsur menghasut, malah mencetuskan pandangan yang negatif terhadap orang Islam.

“Kenyataan yang seolah-olah mengikut perasaan menjadi kemarahan seluruh umat Islam di negara ini. Seorang peguam perlu ada bukti apabila mengutarakan sesuatu.

“Beliau tidak boleh mengemukakan pandangan sebegitu tanpa unsur periksa, ikatan sosial dan norma agama penting kerana Malaysia mempunyai penduduk berbilang kaum,” katanya.

Jelasnya, provokasi sebegini agak berbahaya jika tidak ditangani dan diambil mudah. Undang-undang negara harus dipatuhi bukannya mencetuskan pandangan yang boleh membuatkan sesetengah pihak merasa marah kerana tidak memahami agama orang lain.



Eric Paulsen terus dikecam

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Tuduhan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen yang mengaitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan penyebaran fahaman ekstremisme boleh dianggap sebagai memperlekehkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) dan Concerned Lawyers for Justice (CLJ) menegaskan, kontroversi yang dicetuskan Eric itu memberi kesan negatif terhadap umat Islam yang merupakan kelompok majoriti di negara ini.


Perlekeh Islam sebagai agama Persekutuan

Eric Paulsen

Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan memberitahu, tindakan tidak bertanggungjawab Eric itu juga dikhuatiri akan mendatangkan natijah yang buruk ke atas hubungan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Kami tidak dapat menerima alasan hipokrit yang diberikan Eric iaitu beliau cuma mengkritik Jakim dari segi peranannya sebagai sebuah agensi kerajaan.

“Eric sebelum ini pernah mengeluarkan beberapa kenyataan melalui akaun Twitternya yang menyinggung sensitiviti umat Islam,” jelas Centhra dan CLJ dalam kenyataan bersama oleh Pengarah Eksekutif Centhra, Azril Mohd. Amin; Felo Kanan Centhra, Aidil Khalid dan Pengasas CLJ, Faidhur Rahman Abdul Hadi di sini hari ini.

Eric dalam kenyataan menerusi akaun Twitter pada 9 Januari lalu menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremisme setiap Jumaat dan dakwaan itu dipercayai merujuk kepada khutbah Jumaat.

Kenyataan penuh Eric berbunyi: “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia.”

Centhra dan CLJ menambah, antara kontroversi yang pernah ditimbulkan Eric sebelum ini adalah memperlekehkan Jakim dengan mendakwa agensi tersebut dianggotai oleh sekumpulan individu berfahaman konservatif dan tidak mempunyai kuasa terhadap hal ehwal Islam serta menuduh para mufti dan ulama sebagai tidak siuman.

“Provokasi terbaharu yang dicetuskan oleh Eric itu membuktikan Akta Hasutan 1948 sememangnya amat relevan bagi menangani gejala yang boleh merosakkan negara,” katanya.

Dua NGO terbabit turut mencabar Eric untuk mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya itu serta mendesak Majlis Peguam mengambil tindakan sewajarnya terhadap peguam berkenaan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 dan Peraturan-peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan Etika) 1978.


Eric tidak rujuk isi khutbah – Jakim

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen tidak pernah tampil atau merujuk kepada jabatan itu untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang mana-mana isi kandungan khutbah yang disampaikan.



Othman Mustapha.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, seharusnya Eric merujuk kepada jabatan berkenaan terlebih dahulu sebelum memuat naik tuduhan yang mendakwa jabatan tersebut menyebarkan fahaman ekstremis melalui penyampaian khutbah pada setiap solat Jumaat di laman sosial, Twitter miliknya.

“Dia (Eric) tidak ada menghubungi dan merujuk Jakim dalam soal itu (kandungan khutbah),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jumaat lalu, Eric menerusi laman sosial Twitter mengeluarkan kenyataan menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremisme pada setiap Jumaat yang dipercayai me­rujuk kepada khutbah solat Jumaat.

Eric menerusi catatannya berkata: “Jakim sedang mempromosikan ekstremis setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremis di Malaysia”.

Tindakan itu turut mendapat maklum balas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar apabila mengarahkan satu siasatan segera dilakukan di bawah Akta Hasutan terhadap lelaki tersebut.

Dalam pada itu, Othman berkata, kandungan teks khutbah yang disampaikan setiap Jumaat boleh diakses secara percuma di laman web jabatan itu melalui http://www.islam.gov.my/en/khutbah-online.

Katanya, orang ramai yang berhasrat mengetahui tentang teks khutbah yang akan disampaikan pada setiap kali Jumaat juga boleh mengakses ruangan berkenaan.

“Orang ramai boleh rujuk teks khutbah yang dimuat naik di laman web jabatan ini lazimnya sebelum solat Jumaat,”katanya.

Tags: ekstrimisme, jakim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments