mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Legasi Raja Abdullah

RAJA Abdullah Abdulaziz Al-Saud yang mangkat pada usia 90 tahun kelmarin, mula menaiki takhta selepas kematian Raja Fahd 1 Ogos 2005, namun baginda sebenarnya sudah memerintah Arab Saudi sejak 1996 selepas abang tiri baginda diserang strok.

Tempoh pemerintahannya selama 20 tahun di negara yang kaya dengan sumber petroleum itu telah meninggalkan banyak legasi sehingga baginda amat dihormati dan disanjungi rakyat Arab Saudi.

Selain menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dan Barat di Timur Tengah, sumbangan besar Raja Abdullah terhadap umat Islam dunia tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Dalam isu Palestin misalnya, walaupun ada segelintir umat Islam mempersoalkan sumbangan Arab Saudi, hakikatnya negara itu merupakan penyalur bantuan kewangan terbesar kepada Palestin dan rakyatnya.

Setiap kali Palestin musnah dibedil Israel, baginda memberikan suntikan dana bagi pembangunan semula wilayah itu. Pada 2009 sahaja, Raja Abdullah mendermakan sebanyak AS$1 bilion bagi pembinaan semula Genting Gaza yang musnah diserang Israel.

Kecintaan Raja Abdullah kepada rakyat Palestin dapat dilihat daripada ungkapan kata-kata baginda bahawa “setitik darah rakyat Palestin lebih bernilai daripada semua kekayaan di dunia ini”.

Baginda juga menaja perjanjian damai Israel-Palestin dan menyokong usaha Palestin mendapatkan keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pengakuan kemerdekaan berdasarkan garis sempadan 1967 yang menyatakan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Selain Palestin, Arab Saudi banyak menghulurkan bantuan kewangan untuk pembangunan kepada negara-negara Islam lain termasuk di rantau Asia Tenggara. Ketika rantau ini dilanda tsunami dan gempa bumi pada 2004, kerajaan Arab Saudi mendermakan AS$30 juta kepada mangsa. Jumlah keseluruhan bantuan daripada kerajaan dan rakyat Arab Saudi kepada mangsa tsunami di rantau ini ialah AS$80 juta.

Selepas Pakistan dilanda banjir besar pada 2010, Arab Saudi merupakan penderma terbesar dengan bantuan kewangan lebih AS$361.99 juta. Negara itu juga mendermakan beratus-ratus juta dolar kepada negara-negara Islam lain termasuk Afghanistan, Bosnia dan negara-negara Afrika.

Satu lagi sumbangan besar Arab Saudi ketika di bawah pemerintahan Raja Abdullah kepada umat Islam ialah membangunkan Mekah dan Madinah (Tanah Haram) bagi memberikan keselesaan kepada lebih 16 juta jemaah haji dan umrah yang mengunjungi dua kota suci itu setiap tahun.

Projek pembangunan secara besar-besaran yang bermula pada 2011 itu dianggarkan telah menelan belanja lebih AS$26 bilion. Selain projek pembesaran Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi bagi menampung lebih sejuta jemaah, projek kereta api laju Haramain antara Mekah-Jeddah-Madinah sepanjang 450 kilometer diusahakan.

Kereta api yang akan digunakan itu lebih laju daripada tren laju di Jepun. Apabila siap kelak, jarak dari Mekah ke Madinah sejauh 410 kilometer yang mengambil masa empat jam sebelum ini, akan memakan masa dua jam sahaja. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah sejauh 80 kilometer pula akan mengambil masa 25 minit. Arab Saudi juga merancang membina sebuah bandar haji yang akan bertindak sebagai pusat sehenti kepada para jemaah.

Kereta elektrik dan sukarelawan turut disediakan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, di samping pembinaan hotel-hotel baharu yang lebih besar dan selesa untuk kemudahan jemaah.

Selain projek berkenaan, banyak lagi yang dirancang termasuk pembinaan loji solar bernilai AS$109 bilion di negara itu termasuk di Mekah dan Madinah. Kesemua projek ini menelan perbelanjaan yang amat besar, namun ia dilakukan untuk keselesaan umat Islam.

Raja Abdullah juga seorang pemimpin yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya. Kerajaan baginda membelanjakan lebih AS$130 bilion untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik dan menaikkan gaji kakitangan awam.

Kisah-kisah ini cuma sebahagian daripada sumbangan besar baginda kepada umat Islam dan rakyat Arab Saudi, namun ia sudah cukup untuk menggambarkan peribadi Raja Abdullah dan kenapa kemangkatan baginda ditangisi umat Islam di seluruh dunia.

Tunizar Ahmad Termizi Utusan Malaysia Rencana 25 Januari 2015 12:45 AM
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments