mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memupuk Gaya Hidup Berhemat

Memupuk gaya hidup berhemat adalah suatu aspek penting sekarang ini untuk mencapai kemapanan ekonomi isi rumah. Secara ringkasnya, memupuk gaya hidup berhemat ialah membentuk kesedaran pengguna untuk berbelanja secara berhemat, iaitu mengikut keperluan dan kemampuan diri sendiri, keluarga dan bukan semata-mata didasari oleh kemahuan dan keinginan semata-mata. Dengan lain perkataan, memupuk gaya hidup berhemat  berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir.

Islam melarang dan menegah umat daripada membazir kerana ianya perbuatan yang keji dan tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemat ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat turut ditunaikan sepanjang masa.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27).

Ayat tersebut menggambarkan kepada kita bahawa amalan berbelanja secara berlebih-lebihan atau berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan.  Oleh itu, amat penting kita mempunyai kemahiran mengurus wang secara bijak untuk menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang.

Sehubungan itu, dalam mengagihkan pendapatan dan menguruskan perbelanjaan secara berhemat,  kita sering kali mendengar beberapa individu yang sering mengeluh dan  sering mengadu yang gaji mereka tidak mencukupi. Hal ini kerana pendapatan yang diterima setiap bulan tidak berkadaran terus dengan perbelanjaan yang semakin meningkat membuatkan ramai masyarakat kita sudah mula dan pandai membuat hutang.  Sebagai contoh gaji bulanan sebanyak empat ribu mungkin sudah mewah bagi mereka yang tinggal di pinggir bandar atau desa.

Namun, bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor misalnya dengan kos sara hidup yang tinggi; jumlah gaji empat ribu itu tadi bukanlah  dilihat angka yang ideal memandangkan pelbagai aspek perlu diambil kira seperti sewa rumah, bayaran ansuran kereta,  makan minum dan perbelanjaan yang berkaitan pastinya agak mahal kos sara hidupnya  di bandar-bandar besar berbanding di pinggir bandar.

Beban kewangan yang tinggi inilah menyebabkan ramai antara individu yang hampir menggunakan 75 peratus  daripada gaji mereka untuk bayaran perbelanjaan  tersebut.  Selain itu, ada yang masih bekerja dan telah pun berkeluarga masih perlu memberi komitmen  membayar hutang pengajian dan sebagainya.  Ini menjadikan masyarakat kita hari ini sanggup berhutang disebabkan tidak dapat menampung perbelanjaan harian.

Persoalannya bagaimana kita dapat menguruskan perbelanjaan kita apabila pendapatan bulanan diterima. Kertas kerja ini akan membincangkan beberapa panduan asas berkaitan beberapa langkah untuk menguruskan pendapatan, perbelanjaan dan tabungan. Panduan ini wajar dijadikan persediaan untuk kita  beristiqamah dalam mengendalikan pendapatan sedia ada setiap bulan. Malah kejayaan mengurus pendapatan hingga sampai pada sebulan yang seterusnya menjadikan seseorang itu lebih gembira dan berlapang dada dalam meniti hari-hari mendatang.

7 Langkah Urus Pendapatan

Menurut pakar-pakar  kewangan peribadi antara langkah-langkah yang boleh dibuat dalam menangani hal ini ialah dengan mencadangkan pengguna membahagikan pendapatan mereka kepada 7 tempat apabila mendapat gaji bulanan.

1.      Yang pertama sebanyak 10 peratus daripada gaji disimpan terlebih dahulu sebelum berbelanja. Ini kerana setelah kita melakukan pengasingan pendapatan untuk simpanan terlebih dahulu, maka perbelanjaan seterusnya ialah berdasarkan baki yang ada di tangan. Jika baki itu sedikit ataupun tiada, maka kita akan sentiasa berhati-hati dengan setiap perbelanjaan. Ini bermakna sekiranya kita mempunyai pendapatan bersih katakan sebanyak RM 2000 maka, RM 200 perlu diperuntukkan untuk disimpan. Dalam setahun kita akan berjaya menyimpan sebanyak RM 2400 tidak termasuk keuntungan dari simpanan. Kumpulan Wang simpanan pekerja (KWSP) adalah contoh yang terbaik apabila secara automatik telah menolak jumlah wang simpanan para pekerja. Hal ini juga penting untuk menjamin  keselesaan hidup selepas persaraan. Dengan adanya simpanan ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada kita setelah bersara kelak. Seboleh-bolehnya tempat yang kita simpan itu tidak mempunyai ATM kad supaya kita tidak mudah mengeluarkan wang simpanan itu tadi sesuka hati.

2.       Kedua,  sebanyak  55 peratus pendapatan kita pula perlu dibelanjakan untuk membayar keperluan lain seperti perbelanjaan bagi barangan keperluan harian dapur, utiliti, bayaran penyelenggaraan perumahan, pengangkutan serta hutang-hutang lain dan sebagainya yang biasanya kita lakukan setiap bulan.

3.      Ketiga peruntukkanlah  simpanan sebanyak 10 peratus lagi untuk jangka masa yang panjang seperti untuk melancong, menunaikan umrah, percutian dan sebagainya.

4.      Sebanyak 5 peratus perbelanjaan lagi boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran pendidikan sama ada untuk membeli buku-buku untuk belajar cara urus wang, menghadiri seminar, bengkel dan sebagainya terutama untuk menambah pengetahuan  dalam kemahiran mengurus kewangan dan meningkatkan kemahiran lain.

5.      Begitu juga dengan tabungan kecemasan kita perlu menolak sebanyak 5 peratus daripada pendapatan. Menabung dalam tabung kecemasan penting bagi perkara-perkara yang kita tidak jangka akan berlaku. Wujudnya tabung kecemasan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan sekiranya terjadi perbelanjaan yang tidak diingini. Contohnya apabila mengalami perkara-perkara yang tidak dijangka seperti masalah kesihatan atau mungkin juga masalah pada  kenderaan kita yang tiba-tiba rosak dan kita tiada peruntukan untuk membaiki kenderaan pada waktu tersebut. Dengan adanya tabung kecemasan ini, dapatlah menghindarkan kita daripada kesusahan atau berhutang apabila berlakunya perkara yang diluar jangkaan.   Wang simpanan dalam tabung kecemasan yang kukuh, membantu kita menghadapi saat-saat kecemasan dan mengurangkan kesusahan kita apablia dilanda musibah.

6.      Peruntukkan 5 peratus lagi bolehlah dibelanjakan untuk tabungan, pelaburan  masa depan dan lain-lain.

7.      Manakala tempat yang terakhir sebanyak 10 peratus lagi boleh diperuntukkan sebagai sumbangan lain termasuklah membayar cukai, menambah untuk berzakat, atau didermakan kepada fakir miskin serta golongan yang memerlukannya.

Justeru, dalam memupuk gaya hidup secara berhemat  sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelak diri dibelenggu masalah kewangan yang akan membebankan. Sikap ambil mudah tanpa mengukur kemampuan sendiri adalah musuh utama. Pun begitu, keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar ini juga sebenarnya mengajar kita agar lebih mendisiplinkan diri supaya tidak berboros ketika berbelanja. Dengan memperuntukkan wang perbelanjaan dan simpanan kita kepada tujuh tempat itu tadi mungkin dapat menyelamatkan kita daripada terus berbelanja secara berlebih-lebihan dan secara tidak langsung dapat menghindarkan kita daripada berbelanja melampaui pendapatan sedia ada. Apapun dalam menguruskan kewangan ini segalanya bermula dalam diri kita sendiri!

Berikut adalah beberapa panduan daripada pakar-pakar kewangan peribadi tentang cara-cara untuk mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan kewangan secara berhemat. Semoga perkongsian ini dapat mencorakkan aliran perbelanjaan dan corak  hidup dengan lebih baik demi kesejahteraan anda.

Panduan berbelanja secara berhemat

1.      Sebelum membeli-belah sediakan senarai barang yang ingin dibeli dan dipatuhi senarai tersebut.

2.      Jangan mudah terpengaruh dengan gimik iklan dan janji-janji manis penjual. Anda perlu menyedari kebolehpercayaan sesuatu iklan dan menilai sama ada anda memerlukan barang tersebut dan bukannya dipengaruhi oleh iklannya yang menarik.

3.      Pembelian mengikut gerak hati menyebabkan anda berbelanja lebih.

4.      Anda boleh berjimat antara 15%-40% jika membeli barang generik atau jenama pasar raya besar. Biasanya kualiti barang generik dan barang berjenama tidak banyak perbezaannya.

5.      Membandingkan harga bagi barang yang sama di tempat membeli belah yang berlainan. Semasa membuat perbandinagn, pastikan berat dan kualiti adalah sama.

6.      Kurangkan perbelanjaan yang mewah dan barang yang memang anda tidak perlukan, terutamanya apabila ia memakan perbelanjaan yang besar.

Menguruskan Hutang Anda

1.       Apabila anda ingin meminjam, anda dinasihatkan supaya meminjam mengikut kemampuan/gaji untuk membayarnya semula

2.       Hutang tetap anda (pinjaman rumah, kereta, dan lain-lain) tidak sepatutnya melebihi 30% daripada jumlah gaji bersih anda

3.       Jika anda membuat bayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, anda boleh memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad kredit anda. Skim tersebut membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa, contohnya tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika anda membayar mengikut jadual.

4.       Anda boleh mengurangkan baki pinjaman anda jika anda mempunyai wang lebihan, contohnya daripada bayaran bonus.  Ini bagi mengurangkan caj kewangan yang dikenakan ke atas baki hutang anda.

5.        Sediakan satu pelan belanjawan dan berbelanjalah mengikut pelan itu. Dengan cara ini anda boleh mengetahui perbelanjaan anda dan mengelakkan daripada terlebih belanja.

6.       Mulakan simpanan anda dengan mempunyai satu pelan simpanan kerana ini akan mengurangkan keperluan untuk meminjam bagi pembelian kecil. Anda juga perlu mengumpulkan dana kecemasan yang cukup untuk membiayai perbelanjaan tetap anda bagi tempoh 3-6 bulan.

7.        Beringatlah sebelum terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan kemahuan.

Kad kredit

Kad kredit bukanlah satu kemudahan pinjaman untuk membeli sesuatu yang di luar kemampuan, tetapi kemudahan yang boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan.

1.      Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu membayar-elakkan berbelanja melebihi pendapatan anda

2.      Carilah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran perkhidmatan yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali)

3.      Semak penyata bulanan anda untuk mengelakkan sebarang salah guna kad kredit anda.

4.      Waspada terhadap sebarang perubahan pada dasar dan kadar faedah

5.      Jangan berikan butir-butir kad kredit anda (contohnya nombor kad dan tarikh luput) kepada orang yang tidak dikenali kerana ada kemungkinan maklumat tersebut digunakan untuk membuat pembelian melalui telefon, pos atau internet.

6.      Jangan guna kad kredit anda untuk mengeluarkan wang pendahuluan kerana kadar faedah ke atasnya adalah amat tinggi, biasanya 3%-5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil

7.      Selesaikan bayaran anda sebelum tarikh akhir penyata anda untuk mengelakkan sebarang caj faedah yang disebabkan oleh kelewatan.

8.      Mengehadkan bilangan kad kredit anda dengan membayar semua bayaran untuk mengelakkan caj faedah. Berhati-hatilah jika anda sentiasa bayaran minimum sahaja.

9.      Membayar secara terus dengan wang tunai dapat mengurangkan perbelanjaan anda.

10.  Semak semua butir yang terdapat pada slip urus niaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga.

11.  Maklumkan kepada pengeluar kad kredit anda dengan serta merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran

12.  Fahamilah caj-caj yang akan dikenakan, seperti caj bayaran lewat, caj kewangan, cukai perkhidmatan atau yuran pendahuluan wang tunai. Anda juga hendaklah memahami cra pengiraan dan bagaimana caj-caj tersebut dikenakan atas bil anda.

13.  Untuk memudahkan pengguna dalam membuat perbandingan dan keputusan, pengeluar kad dikehendaki menyediakan Lembaran Penzahiran Produk yang mengandungi maklumat utama kepada cirri-ciri, yuran kad dan obligasi pemegang kad.


Tabungan

1.      Menabung membantu mencapai matlamat kewangan anda.

2.      Menabung di bank adalah lebih selamat dan boleh mendapat bayaran faedah daripada bank.

3.      Semasa mendapat pendapatan bulanan anda, anda dinasihatkan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan anda.

4.      Selain daripada simpanan tetap yang dibuat setiap bulan, anda juga perlu untuk mengasingkan sebahagian duit anda sebagai tabung kecemasan. Tabung tersebut hendaklah dapat menampung kehidupan anda sekurang-kurangnya 6 bulan sekiranya anda tidak mempunyai pendapatan.

5.      Untuk meningkatkan simpanan anda anda boleh mencari jalan untuk mendapat pendapatan yang lebih atau kurang berbelanja.

6.      Merancang untuk persaraan anda, KWSP atau pencen mungkin tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran hidup masa depan atau menikmati hidup yang lebih selesa.

7.      Mendidik anak anda untuk menabung dari kecil supaya amalan tersebut menjadi tabiat mereka.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa beringat-ingat bahawa membazir itu adalah salah satu amalan syaitan dan kita hendaklah menjauhkan diri daripada sikap tersebut. Di sinilah peri pentingnya membuat keputusan pembelian yang didasari pendapatan dan kemampuan.  Begitu juga, sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelak diri dibelenggu masalah kewangan di kemudian hari.  Hakikatnya bijak berbelanja dan berbelanja secara berhemat dapat membentuk kita untuk menjadi pengguna yang bijak, berekonomi, beretika dan berkeperibadian.

Mohamad Azhar bin Hashim. Sinar Harian Rencana 21 Jan 2015
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments