mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

'Sayang anak, tangan-tangankan' masih relevan

'Sayang anak tangan-tangankan....' mungkin hanya tinggal pepatah usang jika cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dengan undang-undang baharu yang menjadikan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah, menjadi kenyataan.

Malah, ibu bapa Islam yang mematuhi sabda Rasulullah SAW supaya merotan anak yang tidak menunaikan solat apabila menjangkau usia 10 tahun, mungkin berdepan hukuman berat seperti di Sweden, walaupun Islam menjadi agama rasmi di negara ini.

Penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana Malaysia telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Perlu akur perjanjian

"Walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut," katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1Malaysia (PERWANI) Shah Alam kelmarin.

Seperti beberapa pertubuhan termasuk Pergerakan Puteri UMNO, yang memberikan reaksi negatif terhadap cadangan itu dan meminta ia dikaji secara mendalam, kita juga terkejut dengan langkah terbaharu kementerian berkenaan.

Apakah dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang dipakai sekarang, iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33, memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak, belum mencukupi?

Setahu kita, kes penderaan ke atas kanak-kanak di negara ini lebih kepada perbuatan yang memang dianggap kejam seperti mengurung, tidak memberi makanan atau memukul kanak-kanak secara fizikal.

Jika merotan dengan niat mendidik pun turut dianggap sebagai penderaan, bagaimana dengan hukuman rotan yang dilaksanakan oleh guru disiplin sekolah bagi mendidik murid dan pelajar melanggar peraturan? Justeru, perlu ada tafsiran jelas mengenai hukuman rotan yang dianggap kesalahan jenayah. Jika semua hukuman rotan oleh ibu bapa ke atas anak mereka dianggap jenayah, kita percaya ramailah, terutama di kawasan luar bandar, terpaksa dihadapkan ke mahkamah.

Siapakah yang menjaga anak-anak pasangan yang disabit kesalahan itu apabila mereka menjalani hukuman penjara? Apakah kita akan menjadi seperti Sweden yang menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada keluarga angkat ketika ibu bapa mereka menjalani hukuman?

Jika ia hanya membabitkan denda, di manakah ibu bapa berpendapatan rendah terutama di luar bandar, kebanyakannya petani dan nelayan, boleh mendapatkan wang beribu-ribu ringgit bagi menjelaskan hukuman?

Mungkin disalahguna anak 'bijak'

Lebih membimbangkan lagi, undang-undang baharu ini mungkin disalahgunakan oleh kanak-kanak yang 'bijak' dan nakal untuk tidak mengendahkan nasihat ibu bapa mereka. Mereka tidak lagi takutkan hukuman rotan kerana tahu ada undang-undang yang melindungi mereka.

Kesan jangka panjangnya, seperti berlaku di negara Barat, institusi keluarga bukan lagi satu kebanggaan, sebaliknya kebebasan individu yang menjadi keutamaan. Anak-anak tidak lagi menghormati orang tua dan apabila usia mencecah 18 tahun, ibu bapa tiada lagi hak ke atas mereka.

Walaupun kebanyakan ibu bapa di negara ini tidak lagi merotan atau menyentuh anak mereka kerana lebih suka menggunakan pendekatan psikologi dalam mendidik/membesarkan anak, tidak kurang juga yang menyesal kerana tidak berbuat demikian apabila anak mereka, selepas meningkat remaja terjerumus ke gejala sosial, malah tidak menghormati ibu bapa.

Bagi sebahagian ibu bapa pula, ter-utama generasi yang sudah dewasa, dirotan oleh ibu bapa ketika kecil dahulu, sama ada kerana tidak sembahyang, ponteng mengaji atau pulang lewat malam, adalah kenangan seumur hidup.

Begitupun mereka amat berterima kasih serta terus menyayangi ibu bapa sehingga ke akhir hayat kerana hukuman dengan rotan atau lidi seberkas tujuh itulah yang menjadikan mereka manusia berguna serta mampu berbakti kepada bangsa dan agama. Manja Ismail Berita Harian Rencana 27 Jan 2015

Tags: disiplin
Subscribe

  • Makrifat kepada Rasulullah

    ALHAMDULILLAH pada kali ini saya sengaja membincangkan isu berkaitan Rasulullah SAW sementelahan pula dengan kedatangan bulan Rabiulawal. Lebih…

  • Makrifatullah perisa ibadah

    SUATU hari seorang ulama terkenal bernama Abdullah bin Al-Mubarak berkata: "Kasihan ahli dunia. Mereka keluar dari dunia sebelum merasai…

  • Khutbah Jumaat: Persamaan Dalam Perbezaan

    Petikan Khutbah Jumaat 17 September 2021M / 10 Safar 1443H JAKIM Persamaan Dalam Perbezaan Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments