mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Risiko konflik perceraian

DIBINA atas dasar cinta, pastinya tidak pernah terlintas dalam fikiran pasangan suami isteri membayangkan akan berlakunya krisis dalam rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian ketika di alam perkahwinan.

Perceraian bukan ruang untuk mengaibkan satu sama lain

Perceraian mendatangkan kesan buruk terhadap anak jika tidak dikendalikan dengan baik. - Gambar hiasan

Atas kerelaan bersama, walaupun perlu menempuhi pelbagai cabaran dan halangan akan dilalui dengan sebaik mungkin dalam usaha merealisasi impian mengakhiri zaman bujang dengan bergelar suami dan isteri.

Namun, ibarat perjudian, tiada siapa yang dapat menjangka masa depan hubungan yang dibina walaupun telah bertahun lama. Pelbagai masalah luar jangka walaupun dianggap remeh berkemungkinan berlaku menjadi antara punca yang mengakibatkan konflik rumah tangga.

Disebabkan terlalu ego dan ingin menegakkan kebenaran diri, hubungan yang asalnya dibina dengan kata cinta dan janji setia akhirnya diakhiri dengan kata-kata kesat dan saling mempersalahkan sama lain. Permasalahan terus meruncing apabila tiada lagi persefahaman dalam komunikasi yang akhirnya membawa kepada perceraian.




Tempoh iddah merupakan peluang kedua kepada pasangan untuk memperbaiki hubungan. – Gambar hiasan

Tidak terhenti di situ, realitinya, akibat tidak berpuas hati dan apabila nafsu amarah menguasai diri, maka pelbagai tindakan sanggup dilakukan kepada pasangan yang dianggap punca permasalahan termasuklah memburuk-burukkan pasangan atau sehingga mencederakan.

Mengakui perkara itu, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Profesor Datin Noor Aziah Mohd. Awal berkata, pasangan perlu berbincang dan memikirkan perkara itu sebaik mungkin bagi mengelakkan kesan buruk berlaku.

Ia tambahnya kerana, bukan sahaja mengakibatkan persengketaan yang berpanjangan sesama pasangan, malah hanya akan menjatuhkan maruah keluarga apabila diketahui umum.

“Jika semasa ingin berkahwin dapat dilakukan dengan prosedur dan etika yang baik, perkara sama juga perlu dilakukan ketika ingin melafazkan perceraian. Jika perceraian yang dibuat atas dasar persetujuan bersama tidak mendatangkan masalah, malah pihak mahkamah dengan mudah memberi pengesahan perceraian.

“Tetapi apa yang banyak berlaku kini, terdapat sebelah pihak yang membantah. Sebagai contoh, jika suami enggan menjatuhkan talak kepada isterinya selepas isteri membuat tuntutan khuluk, maka isteri perlu memberi penjelasan mengapa meminta diceraikan.

“Proses ini memerlukan penerangan terperinci yang hanya akan membuka pekung di dada sendiri kerana perlu menceritakan hal pasangan dan boleh memalukan suaminya walaupun ia adalah benar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pasangan suami isteri juga perlu mempunyai pengetahuan, khususnya berhubung hukum syarak ketika ingin menceraikan isteri.

“Lebih-lebih lagi bagi suami, mereka perlu tahu bahawa ingin menceraikan isteri perlu memastikan sama ada ia bersih daripada haid dan belum ditiduri semula. Jika semuanya teratur, pasangan boleh memilih hari apa yang bersesuaian dengan persetujuan bersama.

“Suami juga perlu mengetahui hukum untuk menceraikan isteri iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jika suami tahu yang dia tidak lagi layak untuk menjadi suami seperti tidak mampu memberikan nafkah, maka ia wajib menceraikan isterinya,” jelasnya.

Psikologi anak

Bukan sahaja kepada pasangan, perceraian yang diakhiri dengan perselisihan turut boleh menjejaskan dan memberi kesan buruk terhadap masa depan anak-anak hasil daripada ikatan perkahwinan yang dibina.

Noor Aziah berkata, selain mengakibatkan hilang rasa kasih sayang, keruntuhan rumah tangga itu juga dapat mengganggu psikologi anak, terutamanya yang masih belum matang untuk berhadapan dengan rakan-rakan.

“Sedangkan kita sendiri yang telah berkahwin dan membina keluarga sendiri akan merasa kehilangan jika kematian ibu bapa, inikan pula bagi kanak-kanak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa.

“Perkara ini dapat memberi kesan buruk yang bukan sementara, tetapi sepanjang hayat bagi anak tersebut. Malah anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa itu akan menjadi malu untuk berhadapan dengan masyarakat, begitu juga untuk berhadapan dengan rakan-rakan ketika ditanya mengenai ibu bapa,” ujarnya.

Tindakan segelintir pasangan katanya, yang menghalang anak daripada berjumpa ibu atau bapa setelah mendapat hak penjagaan anak juga perlu dielakkan.

Ini tambahnya kerana, ibu bapa perlu mengetahui anak tersebut juga mempunyai hak untuk berjumpa dan mendapat kasih sayang ibu atau ayah mereka.

“Kebiasaan kes yang dilaporkan berlaku ialah, apabila bercerai dan mendapat hak penjagaan anak, ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan akan menghalang anak itu daripada berjumpa dengan ibu atau bapa mereka.

“Begitu juga, ibu bapa juga tidak boleh menceritakan keburukan ibu bapa kepada anak tersebut atau menghalang supaya tidak menggunakan barang pemberian. Tindakan ini perlu diubah kerana akan memberi kesan mendalam terhadap anak.

“Sebagai ibu bapa kita tidak boleh menafikan hak anak terhadap ibu bapanya,” tegasnya.

Tags: cerai, kahwin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments