mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pertahan martabat Islam

PENULIS mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kemelut penggunaan kalimah Allah SWT oleh Pihak Gereja Katolik yang berterusan sejak 2009 di mahkamah, sudah berakhir. Namun tidak ramai yang tahu sebenarnya kemelut ini bermula jauh terlebih dahulu daripada itu kerana pihak Kementerian Dalam Negeri telah acapkali memberi amaran sejak 1986 kepada mereka melarang penggunaan kalimah tersebut dan beberapa kalimah lagi di dalam penerbitan mereka yang merujuk kepada agama mereka.

Selagi penghakiman mahkamah disanggah, maka kedudukan Islam terus dicabar

Cabaran terhadap perundangan Islam dapat diadili sewajarnya berdasarkan kedudukan Islam, sejarah dan budaya serta norma masyarakat di Malaysia. &ndash-GAMBAR HIASAN

Kes di mahkamah bermula dengan semakan dipohon oleh pihak Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumppur mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri melarang mereka menggunakan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa Melayu berkala mereka. Kalimah-kalimah seperti Allah, Baitullah, Solat, Kaabah, Iman dan lain-lain digunakan bukan bagi merujuk kepada istilah yang difahami oleh orang Islam tetapi bagi merujuk istilah agama mereka.

Penulis terlibat di dalam kes ini sebagai salah seorang peguam yang mengendalikan kes ini dari peringkat mahkamah tinggi lagi. Adalah diharapkan dengan keputusan terbaharu yang tidak membenarkan pihak gereja menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri dapat menyelesaikan kemelut penerbitan pihak gereja berkenaan.

Begitu pun di hadapan mahkamah sebenarnya terdapat beberapa kes lain yang telah difailkan mirip kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur tersebut mempertikaikan larangan penggunaan kalimah yang berakar umbi kepada Islam bagi digunakan oleh agama lain merujuk agama mereka.

Islam dicabar

Nampaknya kemelut kalimah Allah ini masih belum dapat diselesaikan dengan tuntas sekiranya pihak bukan Islam masih tidak mahu akur dengan penghakiman mahkamah sebelum ini. Namun apa yang melegakan ialah penghakiman di dalam kes terdahulu ini boleh dijadikan asas kepada penghujahan di dalam kes-kes mendatang yang serupa.

Begitu juga terdapat pelbagai kes lain yang sedang diadili di mahkamah yang mempunyai kaitan dengan kedudukan agama Islam di Malaysia umpamanya kes transgender yang melibatkan perisytiharan ketidak berperlembagaan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) yang juga didengar di Mahkamah Persekutuan. Ketika artikel ini ditulis, kes tersebut masih belum didengar lagi. Ia dijadualkan didengar pada 27 Januari iaitu semalam.

Selain daripada kes transgender yang menarik perhatian beberapa Majlis-Majlis Agama Islam Negeri seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang dan Johor terdapat juga kes yang mencabar keputusan fatwa mufti yang difailkan di mahkamah sivil.

Malah bukan sahaja di mahkamah kedudukan dan ajaran agama Islam dicabar. Di media sosial serangan terhadap agama Islam lebih hebat lagi sama ada di dalam mahupun di luar negara. Apa sahaja yang berkaitan dengan keganasan diasosiasikan kepada Islam.

Islamophobia dalam kalangan orang awam amat menjadi-jadi kerana orang awam, khususnya bukan Islam sering diasak dengan tipu daya dan kekeliruan mengenai Islam. Sebahagian daripada kalangan awam meletak parameter yang salah di dalam menilai Islam. Tidak kurang juga yang mempercayai bulat-bulat propaganda pihak tertentu untuk mencemar nama Islam.

Terkini cabaran terhadap Islam bukan sahaja dipimpin oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam atas nama liberal, moderat dan sebagainya. Golongan ini boleh mempersoalkan apa sahaja atas nama hak asasi termasuklah isu-isu moral atau akhlak.

Sering hujah yang dikeluarkan ialah kerajaan tidak boleh mengintip perlakuan salah masyarakat. Kisah Saidina Umar sering didamba sebagai autoriti ini. Namun sebenarnya golongan ini tidak pernah membaca pun Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah yang digubal bagi menjamin hak peribadi rakyat.

Malah orang yang menegur pula dikatakan sebagai ketinggalan zaman, ekstrem dan fanatik agama. Sebarang tindakan yang diambil dianggap sebagai melanggar hak asasi dan privasi seseorang. Walaupun salah satu Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara ini juga.

Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini. Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang sedia adapun, akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan dan apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan.

Seharusnya selagi seseorang itu beragama Islam beliau berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan, termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Jika diteliti dengan mendalam gejala pembuangan bayi umpamanya, ia merupakan isyarat jelas daripada Allah SWT kepada orang yang menentang agama-Nya. Musibah yang melanda negara ini perlu difikirkan dengan fikiran yang terbuka dan penuh keinsafan. Petanda ini seharusnya kita akur dan bertindak segera sebelum negara menjadi hancur musnah dengan muda-mudi yang tidak keruan dan menyimpang daripada ajaran agama.

Sudah terbukti akibat daripada melonggarkan kawalan moral ini telah mengakibatkan gejala-gejala yang begitu menyedihkan saban hari berlaku. Yang peliknya pula, di mana perginya pejuang-pejuang hak asasi apabila bayi yang tidak berdosa itu dibunuh, dibakar, mayatnya dijinjing anjing dan sebagainya?

Sepatutnya mereka perlu menggarap formula yang berkesan bagi menangani gejala yang berleluasa ini dengan segera. Namun apa yang berlaku ialah sehingga hari ini jalan penyelesaian gagal dicari bagi menangani gejala sosial ini.

Jalan penyelesaiannya memang telah lama wujud cuma ia sengaja dipinggirkan. Berbaliklah kepada agama Islam bagi menemui jalan penyelesaian. Kawalan moral perlu diperketatkan bagi membanteras gejala sosial ini dan dengan sendirinya akan melahirkan generasi yang mantap berteraskan kepada al-Quran dan sunnah dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara dengan kualiti tersebut.

Penulis hairan kenapa masih ramai yang tidak melihat Islam sebagai jalan penyelesaiannya walaupun telah dibuktikan dalam banyak keadaan pendekatan Islam merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang semakin meruncing akhir-akhir ini. Namun sebahagian kita memilih menentang Islam.

Semoga segala cabaran terhadap perundangan Islam dapat diadili sewajarnya berdasarkan kedudukan Islam, sejarah dan budaya serta norma masyarakat di Malaysia.

Tags: islam
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments