mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tingkat profesionalisme peguam syarie

Peguam syarie adalah satu bidang profesional dan setiap negeri di Malaysia mensyaratkan pengamal undang-undang syariah mempunyai kelayakan asas iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah dan sijil tambahan lain seperti Diploma Syariah dan Amalan Guaman (DSLP) atau Diploma Lepasan Ijazah dan Amalan (DLSA) dari universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf kerajaan.

Peguam syarie secara langsung membantu mahkamah dan hakim menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak. Peguam syarie yang bertanggungjawab harus memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan lunas-lunas dan peruntukan undang-undang serta prosedur mahkamah.

Ini perlu bagi memastikan keputusan dicapai memberikan hak sewajarnya kepada pihak berkenaan. Namun, di sebalik kerjaya mulia itu tidak dinafikan wujud beberapa kelompongan sama ada dari sudut kaedah undang-undang, tatacara mahupun akta.

Contohnya, sehingga hari ini masih tidak ada peruntukan kaedah ataupun tatacara dalam pelaksanaan pelatih dalam kamar syariah. Sebagai perbandingan, seorang pelatih dalam kamar sivil akan terikat dengan kaedah dan garis panduan ditetapkan oleh Majlis Peguam.

Tempoh masa ditetapkan iaitu sembilan bulan, mata ganjaran dan pentauliahan ditetapkan dengan sebegitu teliti bagi memastikan pelatih dalam kamar mendapat pengetahuan sewajarnya dalam dunia amalan guaman.


Mahkamah Syariah memberi keadilan dalam kes kekeluargaan dan menyelesaikan isu jenayah babitkan masyarakat Islam. - Gambar hiasan

Perkara itu tidak berlaku bagi pelatih dalam kamar syariah. Tidak ada garis panduan ditetapkan oleh mana-mana badan berkanun menyebabkan sesetengah pelatih masih tidak boleh beramal walaupun sudah setahun dalam kamar.

Ini sangat merugikan komuniti Mahkamah Syariah kerana pelanggannya kian bertambah. Justeru, jumlah peguam syarie harus sejajar dengan pertambahan itu.

Peguam syarie yang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil, mereka juga tidak ditadbir oleh mana-mana peraturan dalam beramal sebagai peguam syarie. Tiada syarat mengenai papan tanda iklan firma peguam syarie sahaja sudah melambangkan tahap tidak profesional pengamal undang-undang.

Rasulullah sebagai model profesionalisme

Sebagai pengamal undang-undang yang berasaskan wahyu dan syariah, sewajarnya profesion ini menjadikan Rasulullah SAW sebagai model profesionalisme yang wajib ditaati dan dicontohi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah, hari akhirat dan sentiasa menyebut Allah (berzikir)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Rasulullah SAW seorang pekerja paling profesional dalam pelbagai lapangan baik bidang perniagaan, kepemimpinan dan panglima perang. Baginda sering memberi komitmen seratus peratus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketika perang Khandak, Rasulullah menerima cadangan daripada Salman Al-Farisi melaksanakan strategi peperangan iaitu menggali parit bagi membuat pertahanan daripada diserang musuh. Cadangan daripada orang luar berbangsa Parsi itu tidak menjadi penghalang bagi Rasulullah SAW menerimanya.

Tentera Islam menang peperangan itu dan ia memberi kesan positif dari sudut moral serta jati diri umat Islam yang baru mula berkembang. Sebagai seorang Rasul yang dididik secara langsung oleh Allah SWT, Baginda tidak memerlukan sebarang pendapat daripada manusia lain, tetapi baginda tetap bertindak profesional.

Pelbagai cerita tidak enak didengar mengenai tingkah laku sesetengah peguam syarie. Terdapat peguam syarie yang sangat lemah dalam kemahiran berkomunikasi dengan anak guam menyebabkan berlaku salah faham dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Menjadi kewajipan dan tugas hakiki peguam syarie sebagai pemudah cara serta pembantu mahkamah untuk menyelesaikan kes berdasarkan peruntukan undang-undang. Tanpa komunikasi yang baik, input maksimum tidak dapat diperoleh dan akan menyebabkan pelbagai prosiding tergendala.

Kurang pemantauan oleh badan berbidang kuasa terhadap peguam syarie menyebabkan sesetengah peguam syarie terbabit isu yang akan menimbulkan konflik kepentingan seperti memberi nasihat guaman yang tidak tepat dan lebih malang menyebabkan anak guam terbabit aktiviti menyalahi undang-undang.

Kesungguhan junjung keadilan

Seorang anak guam mungkin boleh menyelesaikan pertikaian dengan pasangannya melalui perceraian secara damai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan dinasihatkan oleh peguam syarie untuk menuntut fasakh.

Tuntutan nafkah yang mungkin sebenarnya wajar diterima seorang suri rumah, tetapi telah dinasihatkan untuk menuntut lebih daripada itu dengan alasan memberi pengajaran kepada bekas suami. Perlakuan seperti itu tidak melambangkan profesionalisme sebenar dan tidak ada kesungguhan menjunjung keadilan.

Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara sudah beberapa kali memaklumkan mengenai penambahbaikan bidang kehakiman dan kepeguaman syarie seperti penambahan hierraki Mahkamah Syariah daripada tiga kepada lima peringkat dan cadangan mewujudkan Akta Guaman Syarie.

Cadangan itu walaupun sudah acap kali disebut, tidak bergerak dengan kadar yang sama pada tahap profesionalisme peguam syarie. Diharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera dan peguam syarie perlu mempersiapkan diri bagi memastikan tahap profesionalisme yang tinggi.

Tags: peguam, syariah
Subscribe

  • Kafir tanpa sedar

    DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam”…

  • Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

    LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak…

  • Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

    Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments