mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kebebasan bersuara ada had elak gugat perpaduan rakyat

Terpanggil saya untuk mengulas mengenai isu penghinaan yang dilakukan masyarakat tidak kira bangsa dan agama terhadap pemimpin negara yang begitu ketara baru-baru ini. Melihat pada sejarah, sejak Malaysia merdeka dari tahun 1957, semua bangsa di negara ini duduk bersama dan kenal akan budaya dan agama setiap kaum yang mengamalkannya dan cuba bertoleransi berteraskan kata kunci perpaduan.

Namun dewasa ini, generasi baharu seolah-olah ingin melupakan apa yang diperjuangkan datuk nenek kita hanya kerana terpengaruh dengan ideologi kebebasan bersuara.

Istana negara lambang negara beraja. - Gambar hiasan

Bertitik tolak dari sinilah ramai yang tidak memahami 'gist' perlembagaan telah mencetuskan kontroversi di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram mahupun YouTube. Hakikatnya apa yang mereka mahu lakukan sekadar meraih populariti dan mendapatkan perhatian dan dengan itu menjana kewangan.

Sebagai contoh peraih populariti menggunakan akaun YouTube, Twitter dan Facebook pasti mengharapkan dengan mencetuskan kontroversi mereka akan dapat beratus ribu 'subscriber' ataupun 'like'. Dari situ mereka boleh jana ribuan ringgit di samping pengikut setia.

Kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pandangan mahupun fikrah tanpa batas atau penapisan mengenai apa yang ingin diperkatakan. Semua masyarakat mempunyai hak kebebasan bersuara tanpa mengira kaum atau pangkat dan sebagainya. Kebebasan bersuara adalah hak untuk seseorang menyampaikan apa yang difikirkan, apa jua pandangannya mengenai sesuatu dan idea mengenai sesuatu sama ada melalui lisan, tulisan, slogan, lakonan ataupun ekspresi.


Kemakmuran dan perpaduan perlu dikekalkan dengan menanamkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. - Gambar hiasan

Hak kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak

Ironinya, hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara sekalipun hatta di Amerika Syarikat dan lazimnya hak ini dihadkan. Namun, hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR). ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai 'hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan dan semua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat'. Di Malaysia, perkara 10(1)(a) dari Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa 'tiap-tiap warga negara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara'.

Malangnya ramai pendukung kebebasan bersuara ini gagal memahami impak yang berlaku dalam meraikan kelonggaran diberikan. Lihat sahaja akhir-akhir ini, apabila kebebasan bersuara disalahgunakan. Maka berlakulah keretakan perkauman apabila ada beberapa individu peraih populariti yang khilaf. Mereka ini amat mementingkan diri tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat menyebabkan keretakan perpaduan.

Lembaran sejarah membuktikan, kebebasan bersuara tidak rasional serta bersifat melulu juga menimbulkan pergaduhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 iaitu peristiwa ketidakpuasan kaum terhadap kaum lain di Malaysia. Kebebasan penggunaan perkataan berunsur tidak sopan dan lucah jelas boleh menimbulkan pergaduhan dan huru-hara di negara kita.

Tidakkah kita belajar apa-apa daripada sejarah? Dalam sistem pemerintahan kita hari ini, yang mengamalkan kaedah demokrasi raja berperlembagaan, institusi raja adalah lambang kenegaraan yang sangat penting. Penghinaan kepada institusi raja mahupun pemimpin negara boleh dianggap penghinaan juga kepada negara.

Akhir-akhir ini penghinaan terhadap agama Islam, Raja-Raja Melayu, pemimpin negara dan kaum terus berleluasa. Penghinaan itu termasuk memaki serta menggunakan kata-kata lucah terhadap Raja-Raja Melayu, menyunting gambar pemimpin dengan gambar lucah serta menghina menteri. Bukit Aman sudah menerima lebih 500 laporan polis sejak tahun 2011 membabitkan isu penghinaan terbabit.


Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu demonstrasi selepas membuat laporan polis mengenai laman Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong. - Gambar hiasan

Kronologi penghinaan institusi Diraja lima tahun kebelakangan ini bermula dengan isu penghinaan Aduka Taruna terhadap Almarhum Sultan Johor, penyamaran seorang remaja mengaku anak angkat Tengku Mahkota Pahang, paparan wajah Sultan Johor di kain rentang sebuah parti politik, penggunaan nama seorang Ketua Menteri dalam khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, penyamaran seorang lelaki sebagai Tengku Mahkota Johor dalam laman FaceBook, dan penghinaan seorang wanita terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika Baginda berucap di laman sosial ternama.

Sebelum ini seorang didapati bersalah menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Lelaki ini menunjukkan isyarat lucah dan kononnya, secara kebetulan kereta Permaisuri Agong lalu di kawasan itu.

Dalam insiden terbaharu, negara digemparkan dengan tindakan Vincent Leong, pelukis tempatan yang mempamerkan sisi belakang Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri pada pameran seni yang diadakan di Dart Stage, Singapura yang dilakukan bertunjangkan seni.

Hina pemimpin negara melalui laman sosial

Benih-benih penghinaan kepada negara dan pemimpin negara melalui media sosial boleh menghakis keyakinan dan kecintaan rakyat kepada negara dan menghancurkan landasan yang dibina dalam 57 tahun kemerdekaan. Hanya mereka yang dungu sahaja tidak tahu apakah kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan negara. Seharusnya mereka yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong ditarik balik kerakyatan sebagai pengajaran kepada orang lain.

Bekas Pengerusi SUHAKAM iaitu Tun Musa Hitam (2001) berpendapat bahawa tidak wujud apa yang dikenali sebagai kebebasan media yang mutlak. Beliau menyetujui kebebasan media harus diikat dengan tanggungjawab dalam menyampaikan laporan dan penghasilannya. Jika media serta pengamalnya saling melagakan masyarakat yang berbilang kaum, maka penduduk berada dalam keadaan tidak aman serta rakyat menjadi keliru dan hidup dalam penuh kebencian. Adakah maruah negara, bangsa dan agama satu benda yang remeh yang boleh dipermainkan oleh siapa sahaja untuk mencakna kebebasan bersuara? Adakah ini yang kita mahukan, kebebasan tanpa batasan?

Hasut rakyat

Keterbukaan melampau yang cuba ditonjolkan sesetengah masyarakat seolah-olah bertujuan 'menghasut' rakyat agar membenci segala-galanya berkenaan Malaysia, orang Melayu, agama Islam dan Perlembagaan negara. Dengan itu, mereka akan dapat laluan mudah untuk mencorak negara mengikut acuan mereka sendiri dengan memadamkan sejarah yang menjadi bukti "Ketuanan Melayu".

Mereka ini cuba dan terus cuba menggunakan bermacam-macam cara untuk memastikan matlamat keji mereka akan tercapai. Negara maju yang mengamalkan sistem beraja dan kebebasan bersuara seperti Belanda juga mempunyai kanun keseksaan dikenali sebagai Crimen laesae-Majestatis yang boleh mendakwa mana-mana individu yang menghina ratu atau pasangannya.

Sebagai contoh, pada tahun 2007, seorang lelaki bernama Regilio Amelo dikenakan denda STG400 kerana menghina Ratu Beatrix dengan berkata 'I hate your Queen, she is a whore'. Pada tahun sama, seorang wanita muda yang juga seorang wartawan ditangkap hanya kerana memakai sehelai t-shirt yang tertulis 'Beatrix is a whore'.

Begitu juga dengan negara jiran kita Thailand, pada tahun 2011 seorang pemandu teksi bernama Ampon dihukum 20 tahun penjara atas kesalahan menghantar teks SMS yang berunsur penghinaan kepada Raja Thai. Sebelum ini, beberapa warga asing turut dihukum atas kesalahan sama, tetapi mereka kemudian segera diberi pengampunan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Perlakuan tak bertamadun

Saya sama sekali tidak bersetuju dengan perlakuan yang tidak melambangkan ketamadunan manusia seperti penghinaan dengan menggunakan bahasa menjijikkan kepada Raja-Raja Melayu dan pemimpin. Tanpa mengira ideologi politik, ini adalah sifat yang memalukan dan tiada langsung melambangkan sikap rakyat Malaysia apatah lagi bangsa Melayu yang bersopan santun.

Pada masa sama, penghinaan berkenaan juga menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia memahami apatah lagi untuk menghormati Raja-Raja Melayu dan institusinya. Penghinaan sedemikian jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan berlakunya keresahan dalam masyarakat. Kita harus menjunjung tinggi institusi raja sebagaimana kita seharusnya menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Ingat, sesiapa yang sabit dengan kesalahan melawan Yang di-Pertuan Agong, hukumannya mati! Bagi saya, isu ini adalah isu kebangsaan bukan politik. Mereka yang terbabit perlu dikenakan tindakan yang maksimum agar dapat menjadi iktibar pada yang lain.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM

Tags: hak, islam, pemimpin, perlembagaan, raja, suara
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments