mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perkahwinan tak berdaftar

MUSIBAH banjir yang melanda negara menyebabkan kita semua tertumpu kepada mangsanya dan berusaha sedaya upaya membantu mengikut kemampuan masing-masing. Ada yang mengumpul dana, menghantar barangan atau datang sendiri membantu mangsa dengan cara masing-masing. Apa pun semua mempunyai niat yang baik dan tidak menangguk di air keroh.

Sebagai rakyat Malaysia saya bersyukur kerana keprihatinan rakyat Malaysia dan semangat sukarelawan yang tinggi. Kepada mangsa, bersabarlah menerima dugaan-Nya. Pasti, yang hilang akan diganti dengan yang lebih baik.

Dalam masa yang sama ada beberapa kes menarik dalam media massa dan dibincang hebat di media sosial. Antaranya isu anak gadis Melayu membiarkan diri mereka dipeluk cium oleh artis K-pop, kes pelajar bukan Melayu yang dikatakan dilarang menghadiri sekolah jika dia terus berbaju kurung atas alasan baju kurang “adalah hak orang Melayu sahaja”, kes perebutan hadanah sepasangan suami isteri yang melibatkan isu kesahihan perkahwinan dan kes penderaan isteri.

Saya sering ditanya bolehkah suatu perkahwinan itu menjadi tidak sah kerana ia tidak berdaftar di Malaysia? Bagi orang Islam, syarat sah nikah adalah jelas iaitu; (i)Lelaki (ii)Perempuan (iii)Wali (iv)Saksi (v)Ijab dan kabul. Jika semua elemen ini dipenuhi maka pernikahan itu adalah sah.

Jika pernikahan dilangsungkan dengan tidak memenuhi keperluan tersebut walau di mana pernikahan itu dilangsungkan, maka tidak sah. Pernikahan dalam negara yang dilangsungkan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa agama walaupun memenuhi semua syarat sah nikah perlu didaftarkan. Tujuan utama pendaftaran untuk memastikan perkahwinan tersebut benar-benar sah.




Polemik yang sering ditimbulkan adalah pernikahan itu memenuhi syarat. Pendaftaran hanya keperluan pentadbiran. Sebenarnya keperluan pendaftaran perkahwinan adalah untuk memastikan kesahan pernikahan.

Jika pasangan bernikah sendiri-sendiri tanpa terlebih dahulu memohon kepada pihak berkuasa agama, berkemungkinan ada sesuatu yang hendak disembunyikan pasangan.

Misalnya jika pasangan ingin berpoligami dan prosedur hari ini ialah perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah. Alasan yang diberikan, tidak mahu isteri pertama tahu dan mahu menjaga keharmonian yang sedia ada.

Jika itu sahaja alasannya, perkahwinan kedua, ketiga atau keempat yang dilangsungkan di luar negara masih boleh didaftarkan selepas pernikahan. Namun pihak yang menikahkan boleh diambil tindakan di bawah enakmen yang sama kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan berkahwin di luar bidang kuasa tanpa kebenaran.

Ramai yang beranggapan peruntukan ini adalah kehendak pentadbiran yang secara sengaja menyusahkan. Sebenarnya ia adalah proses untuk memastikan jika pasangan berkahwin lebih daripada satu, perkahwinan tersebut berdaftar dan tidak melanggar sebarang hukum syarak malah memastikan perkahwinan itu sah.

Isu bidang kuasa

Seperkara yang menarik yang timbul dalam kes perceraian baru-baru ini ialah isu bidang kuasa mahkamah. Apakah yang dimaksudkan dengan bidang kuasa ini?

Mahkamah syariah ialah mahkamah yang boleh membicarakan kes-kes antara orang Islam dan melibatkan perundangan Islam yang diluluskan di Dewan Undang Negeri. Kes-kes yang bukan di bawah kategori ini adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.

Biasanya mahkamah syariah dalam menentukan sama ada ia mempunyai bidang kuasa terhadap kes yang di hadapannya akan melihat kepada persoalan seperti:

(i) Dimanakah pasangan berkahwin?

(ii) Dimanakah pasangan atau pemohon bermastautin sejak berkahwin?

(iii) Dimanakah letak harta yang dipertikai (dalam isu harta)?

Jika pasangan bernikah di Kedah dan menetap di Kuala Lumpur, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbidang kuasa mendengar dan memutuskan kes.

Dalam satu kes pasangan telah berkahwin di Pulau Pinang dan menetap di Negeri Sembilan. Isteri telah pergi ke pejabat agama di situ untuk dapatkan khidmat kaunseling. Setelah selesai kaunseling, dia telah memohon cerai. Suami pula melalui peguamnya telah membuat bantahan dan kes terpaksa ditarik balik dan difailkan di Negeri Sembilan.

Dalam satu kes lain, pasangan telah bernikah di Johor dan menetap di Selangor. Isteri telah memohon cerai di Putrajaya. Suami boleh membangkitkan isu bidang kuasa mahkamah tetapi tidak berbuat demikian kerana ia akan melewatkan kes.

Mahkamah syariah perlu membuat siasatan mengenai alamat yang diberikan oleh pemohon dalam kes perceraian. Jika hari ini semua orang telah diminta menukar alamat dalam kad pengenalan sama dengan tempat tinggal, maka isu bidang kuasa mahkamah tidak timbul kerana pasangan suami isteri yang hendak bercerai mesti memohon di tempat mereka bermastautin walaupun itu rumah sewa. Ia akan memudahkan urusan turun naik mahkamah.

Dalam isu ini, mahkamah syariah masih mempunyai budi bicara luas untuk menerima atau menolak permohonan, asalkan kedua-dua pasangan yang memohon tidak membantah. Namun ia tidak sepatutnya digunakan untuk memilih tempat atau dalam bahasa Inggerisnya, forum shopping yang tidak digalakkan kerana ada unsur ketidakadilan dan berat sebelah.

Jika permohonan dibuat di mahkamah yang tiada bidang kuasa, sudah tentu ia menimbulkan syak wasangka kerana dikhuatiri ada elemen ketidakadilan dan rasuah. Mahkamah Syariah perlu lebih berhati-hati dalam menilai dokumen permohonan dan boleh mengenepikan permohonan yang tidak jelas bidang kuasanya. Insya-Allah dengan cara ini, mahkamah syariah akan terus menjadi institusi yang dibanggakan di Malaysia.

-
Tags: kahwin, musibah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments