mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hutang dan peranan masyarakat

PENINGKATAN hutang isi rumah kini telah menjadi satu fenomena yang membarah bukan sahaja di negara kita, malah sehingga peringkat antarabangsa. Lazimnya hutang isi rumah negara merupakan sesuatu hutang yang dibuat oleh isi rumah melalui pinjaman daripada institusi kewangan bagi tujuan tertentu seperti untuk pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) komposisi hutang isi rumah untuk empat tahun berturut-turut (2010-2013) mengikut pengelasan peratusan menunjukkan bahawa pinjaman perumahan (47%) merupakan kategori pinjaman yang paling tinggi diikuti dengan pinjaman kenderaan (20%), peribadi (8.3%) dan kad kredit (5%). Hutang isi rumah Malaysia antara yang tertinggi di rantau Asia iaitu 83% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Manakala purata pendapatan isi rumah terus lembab pada peningkatan sekitar lapan peratus saban tahun.

Peningkatan pendapatan isi rumah yang lembab dan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan masyarakat terus dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi. Apa yang menakutkan lagi apabila wujud kes kebankrapan dalam kalangan golongan muda. 

Ditambah pula dengan harga rumah yang semakin melambung tinggi dan pertumbuhan kredit yang pesat. Apabila berlaku peningkatan krisis kredit ini, sebenarnya ia berupaya merendahkan kuasa beli masyarakat, sekali gus mengurangkan aliran tunai dan melembapkan ekonomi domestik. Ini juga satu petanda tidak baik yang akan mendatangkan implikasi buruk kepada kepada psikologi masyarakat.

Di mana ahli psikologi ada menyuarakan kebimbangan dengan kewujudan krisis kredit yang boleh menyebabkan tekanan, depresi, masalah mental, bunuh diri dan pergaduhan serta perpisahan antara hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, peningkatan hutang isi rumah ini juga akan terdedah kepada risiko peningkatan faedah. Peningkatan kadar faedah ini turut akan meningkatkan lagi kos hutang dan akan mengurangkan pendapatan boleh guna, selanjutnya akan mengurangkan penggunaan. Trend sebegini lambat laun akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga ekonomi negara secara keseluruhannya.

Justeru, apakah peranan masyarakat dalam menangani isu yang tidak berkesudahan ini? Di sinilah kesedaran dalam masyarakat terhadap aspek perancangan kewangan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pinjaman tidak berbayar dan diisytiharkan muflis.

Hutang bagi sesebuah isi rumah seharusnya tidak melebihi 40 peratus daripada jumlah pendapatan. Begitu juga pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan dilihat mampu membantu masyarakat untuk mengatasi masalah bebanan hutang dan melahirkan masyarakat celik kewangan.

Pendidikan kewangan seharusnya bermula daripada rumah dan masyarakat Malaysia harus dipupuk dengan tabiat ini. Ibu bapa adalah ejen sosialisasi kewangan yang terbaik dan memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menabung dalam diri anak-anak sejak kecil.

Masyarakat perlu mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menabung antara lima hingga 10 peratus daripada pendapatan. Untuk memudahkan tujuan ini, potongan gaji bulanan boleh dilakukan seperti terus ke dalam akaun Tabung Haji. Perlu diingat, menabung bukan hak keistimewaan orang yang bergaji besar sahaja.

Begitu juga agensi yang dipertanggungjawabkan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) perlu mempergiatkan lagi usaha membantu masyarakat meningkatkan kesedaran akan kepentingan menabung di samping memberi bimbingan tentang cara mengurus kewangan isi rumah secara berhemat.

Kesimpulannya, untuk menangani fenomena ini, semua pihak tidak kira individu, masyarakat, kerajaan dan institusi kewangan dan swasta harus memainkan peranan mereka masing-masing. Nor Hartini Saari ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, IKIM. Sinar Harian Rencana 4 Februari 2015
Tags: hutang
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments