mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan beribadat ikut musim

Isnin lalu, saya menerima mesej WhatsApp seperti berikut: “Malam ini 3.25 pagi waktu Mekah (kira-kira 8.25 pagi waktu Malaysia), bulan akan mengelilingi (tawaf) Kaabah, ini terjadi 1,000 tahun sekali. Langit akan berwarna biru muda. Ini adalah saat yang datang 1,000 tahun sekali, anda mohon minta apa sahaja daripada Allah. Tolong hantar mesej ini kepada orang yang anda sayang dan rakan-rakan. Marilah kita rebut peluang keemasan ini bertahajud malam ini dan solat dhuha esok...Rujuk video http://youtube/hDDODs95xj0powerful emotional doa/mufti Ismail Menk. Ini adalah satu lagi ‘penyakit’ sebahagian umat Islam. Mereka suka sangat menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya. Jika sebelum ini mesej yang disebarkan tidak disertakan pengirimnya tetapi kali ini ia menggunakan nama seorang ulama yang didakwa Mufti Ismail Menk.

Beberapa bulan lalu, pernah disebarkan WhatsApp yang kononnya melarang guna perkataan salam. Kenyataan itu didakwa dikeluarkan seorang ulama, Datuk Dr. Haron Din. Saya pasti, ramai pembaca turut menerima mesej yang sama.


Kenyataan Mufti Ismail Menk menerusi akaun Facebook beliau.

Malangnya, masih ramai yang terpedaya dengan mesej-mesej begini. Antara sebab utamanya, beribadat sekali tetapi ganjarannya berlipat kali ganda. Kalau mengikut mesej tadi, tunaikan solat tahajud dan mintalah apa sahaja, nescaya Allah perkenankan kerana kejadian bulan mengelilingi Kaabah itu berlaku 1,000 tahun sekali.

Bukankah kita sudah diajar supaya memeriksa terlebih dahulu sebelum menyebar dan mempercayai berita atau maklumat yang diterima. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat: 6)

Selang dua hari, ini jawapan Mufti Ismail Menk.....

Ajakan me­laku­kan solat malam atau qia­­mullail itu memang baik tetapi kaitannya dengan asbab iaitu bulan itu adalah tidak benar. Tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat. Pada masa yang sama, penyebaran mesej-mesej yang tidak bersandarkan maklumat sahih ini akan mendorong manusia beribadat secara bermusim. Dengan kata lain, mereka ini hanya menunggu masa-masa tertentu yang kononnya waktu mustajab baharu hendak beribadat dan berdoa.

Walhal, sudah jelas dalil-dalil mengenai kelebihan qiamullail dan mustajabnya doa pada waktu tersebut. Antara dalil itu adalah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Allah SWT turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, sambil bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, “Adakah di antara hamba-Ku yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya”. (riwayat Muslim)

Satu lagi malam yang patut kita beribadat bersungguh-sungguh adalah malam al-qadr. Tidak ada pertikaian tentang kelebihan beramal padanya kerana dijelaskan menerusi nas yang qatie iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada lailatul qadar. Tahukah kamu apakah lailatul qadar itu? Lailatul qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr: 1-3).

Tags: ibadah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments