mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Dunia Di Mata Ahli Akhirat

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 6 Februari 2015M/ 16 Rabiulakhir 1436H JAWI

Dunia Di Mata Ahli Akhirat

Dunia merupakan tempat persinggahan sementara bagi para pedagang akhirat untuk mengumpul sekian bekalan menuju ke destinasi hakiki. Alam akhirat yang bakal dihuni oleh sekalian manusia adalah destinasi terakhir yang kekal selamanya.

Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk di dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari daripada Ibnu Umar RA : Bermaksud : Rasulullah SAW memegang bahuku lalu baginda SAW bersabda : “Hendaklah engkau berada di dunia seperti pedagang atau pengembara.” Dan Ibnu Umar RA berkata : “Jika engkau berada pada waktu petang, jangan engkau bertangguh ke waktu pagi. Dan jika engkau berada pada waktu pagi, jangan engkau bertangguh ke waktu petang. Gunakan masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati”

Pertama, seorang pedagang atau pengembara perlu menyediakan keperluan secukupnya bagi menjayakan dagangan atau pengembaraannya. Tanpa keperluan yang mencukupi, pasti perjalanan yang ditempuhinya akan sukar dan menyeksakan. Oleh itu, seorang pedagang atau pengembara dunia yang ingin berjaya dan sampai ke destinasinya iaitu kebahagiaan di akhirat perlu berbekalkan taqwa dan amal soleh.

Kedua, seorang pedagang atau pengembara hanya akan membawa bersamanya perkara-perkara yang diperlukan agar tidak menyusahkannya. Misalnya peralatan yang berat dan alatan elektrik yang besar kerana ia akan mengganggu perjalanan tersebut. Maka dalam kehidupan di dunia dia hanya mengambil sekadar keperluan bukan untuk bermewah-mewahan. Dia hidup secara zuhud dan qanaah untuk menjamin keselamatan di akhirat

Ketiga, sebagai pedagang dan pengembara di negeri orang, tentulah rindu untuk kembali ke kampung halaman. Namun, kerinduannya tidak bererti sekiranya dia kembali ke kampung halaman dalam keadaan tangan kosong setelah lama berdagang. Mana mungkin dia pulang tanpa sebarang buah tangan yang boleh dinikmati hasil perdagangan dan pengembaraannya di negeri orang. Begitu juga dengan manusia yang akan menyesal sekembalinya ke kampung akhirat tanpa membawa sebarang buah tangan yang boleh dinikmati walaupun lama tempoh berdagangnya di dunia ini. Justeru, istiqamahlah mengumpul dana untuk dibawa kembali ke kampung akhirat yang kekal abadi.

Ibnu Umar RA menambah pesanan Rasulullah SAW dengan menyatakan beberapa ciriciri ahli akhirat iaitu:

Pertama, mereka tidak melengah-lengahkan waktu dan peluang untuk berbuat amal soleh. Apa jua masa dan keadaan, pagi mahupun petang, hidup bahkan sihat, para pencinta akhirat akan sentiasa dalam keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Surah Yusuf ayat 57 yang dibacakan di awal khutbah tadi sentiasa menjadi azimat keimanan mereka kerana ia membawa maksud : “Dan sesungguhnya pahala di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa.” Sementara ahli dunia pula hidup di dunia seolah-olah ingin kekal di dalamnya lalu melengah-lengahkan serta tidak mempedulikan urusan akhirat.

Kedua, sentiasa menjadikan dunia ini sebagai peluang untuk mengumpul dana akhirat. Apabila tiba saat ajal, tiada lagi peluang untuk melakukan amal kebajikan. Akibat kelekaan, ramai tidak menyedari bahawa keindahan dunia yang mereka kejar sedikitpun tiada bandingan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun suatu keanehan terhadap ahli dunia ialah mereka tidak mahu hidup dalam ketaqwaan bahkan derhaka kepada Allah SWT tidak ingin segera bertaubat kepada Allah SWT sebagaimana anjuran Al-Quran di dalam Surah Ali Imran, ayat 133?

Bermaksud : “Dan bersegeralah kamu kepada (memohon) keampunan Tuhanmu dan (janji kurniaanNya di atas taubatmu ialah) Syurga yang luasnya menyamai seluruh langit serta bumi yang disediakan kepada mereka yang bertaqwa.”

Islam bukanlah jalan hidup yang mengekang dunia daripada dinikmati oleh manusia. Islam merupakan agama yang memberi panduan dan sempadan kepada kita dalam menikmati dunia supaya kita tidak terus hanyut dalam arus kelalaian dan tipu daya nafsu dan syaitan.

Dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah daripada Abi Al-Abbas Sahl Ibn Sa’d As-Sa’idi RA, baginda Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Zuhudlah terhadap dunia, nescaya engkau akan dikasihi Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di sisi manusia, nescaya engkau akan dikasihi manusia.”

Imam Al-Ghazali menaqalkan di dalam karyanya Mizan Al-‘Amal bahawa “Bukanlah orang yang zuhud itu orang yang tidak berharta. Akan tetapi orang yang zuhud itu ialah orang yang tidak dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya.”


Zuhud terhadap dunia bukanlah pada keindahan dan kebaikannya, akan tetapi pada perkara yang menjauhkan seorang hamba daripada Allah SWT serta melalaikan manusia daripada mematuhiNya.

Dengan kata lain, zuhud itu bermaksud meninggalkan perkara dunia yang boleh menjerumuskan manusia kepada dosa, kelalaian, syubhah,

Carilah jalan-jalan yang mampu mengosongkan hati kita daripada kelalaian dunia biarpun kita memiliki segalanya di tangan ini. Pertama, pelajari dan amalkan ilmu tasawuf. Ilmu tasawuf menekankan aspek penjagaan hati agar ia sentiasa dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah serta menghindari sifat-sifat mazmumah.

Kedua, imbangi amal dunia dan amal akhirat, bahkan lebihkan amal akhirat daripada amal dunia. Inilah bekalan ‘perdagangan’ dan ‘pengembaraan’ seorang hamba di atas dunia

Ketiga, mulakan hidup secara sederhana dan berusaha untuk mengambil sekadar keperluan, bukan keinginan. Namun begitu, tidak salah mendapatkan keinginan selagimana ia tidak melalaikan kita daripada melaksanakan perintah Allah SWT serta menjauhi laranganNya.

Para tetamu Allah yang dirahmati, Mengakhiri khutbah pada petang ini, marilah kita mengambil beberapa intipati untuk dihayati :

Pertama : Hiduplah di atas dunia seperti seorang pedagang atau pengembara yang akan kembali ke kampung halamannya iaitu akhirat.

Kedua : Zuhudlah terhadap dunia dengan tidak menanamkan kecintaan dunia di dalam hati biarpun segala nikmat dunia dalam genggaman kita.

Ketiga : Berhati-hatilah dengan tipu daya dunia terutama pada zaman kini yang amat mencabar keimanan dan kesucian hati seseorang.

Ingatlah peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 : Bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Wallahualam.
Tags: akhirat, dunia, khutbah, zuhud
Subscribe

  • Makrifat kepada Rasulullah

    ALHAMDULILLAH pada kali ini saya sengaja membincangkan isu berkaitan Rasulullah SAW sementelahan pula dengan kedatangan bulan Rabiulawal. Lebih…

  • Makrifatullah perisa ibadah

    SUATU hari seorang ulama terkenal bernama Abdullah bin Al-Mubarak berkata: "Kasihan ahli dunia. Mereka keluar dari dunia sebelum merasai…

  • Khutbah Jumaat: Persamaan Dalam Perbezaan

    Petikan Khutbah Jumaat 17 September 2021M / 10 Safar 1443H JAKIM Persamaan Dalam Perbezaan Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments