mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Aurat : Antara Kebebasan Dan Maruah Diri”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 06 Februari 2015: JAIS

“Aurat : Antara Kebebasan Dan Maruah Diri”

Sesungguhnya makanan, tempat tinggal dan pakaian adalah keperluan asasi manusia di dunia ini.

Makan dan minum sebagai sumber tenaga bagi melaksanakan aktiviti ibadah dan riadah.

Tempat tinggal adalah untuk keselesaan fizikal dan mental.

Manakala pakaian pula untuk menyempurnakan kesemua aspek itu bagi mencermin umat yang beriman, bertamadun dan bermaruah.

Dalam erti kata lain, manusia yang tidak berpakaian atau yang mendedahkan aurat. Maka ia menuju ke jalan dosa dan kemurkaan Allah SWT. Umat Islam wajib mengetahui batasan aurat antara lelaki dan wanita.

Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Penjelasan yang panjang telah diberikan oleh Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Mengapakah Islam begitu menitikberatkan permasalahan aurat baik lelaki ataupun perempuan?

1. Untuk melindungi wanita daripada disakiti secara zahir dan batin;

 Firman Allah SWT dalam surah Al Ahzab ayat 59: "Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isteri mu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa keluar rumah), yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

2. Hikmah yang kedua adalah untuk meninggikan darjat insan melebihi makhluk lain ciptaan Allah SWT;

Allah SWT berfirman dalam surah At Tin ayat 4-5: “Sesungguhnya Kami jadikan manusia sebaik-baik ciptaan, kemudian kami kembalikan mereka ke tempat yang paling bawah di dalam neraka, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus”.

Allah SWT mengharamkan lelaki dan wanita mendedahkan aurat bukan bertujuan menyekat kebebasan tetapi kerana Allah memuliakan dan menghargai mereka.

Pada kesempatan ini juga khatib ingin mengingatkan supaya kita sama-sama dapat mengambil iktibar terhadapa perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul dengan meyakini bahawa menutup aurat itu adalah merupakan tuntutan syariat Islam yang wajib dipatuhi.

2. Allah SWT mewajibkan lelaki dan perempuan menutup aurat dengan tujuan untuk meninggi dan memuliakan darjat manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain

3. Wanita hendaklah menutup aurat supaya terhindar daripada gangguan seksual dan penganiayaan oleh lelaki yang tidak bermaruah dan bermoral.

4. Ketua keluarga, ketua masyarakat dan pemimpin-pemimpin hendaklah memastikan diri dan orang di bawah jagaannya benar-benar mematuhi syariat Allah khususnya dalam menutup aurat.

5. Penaja-penaja dan penganjur-penganjur fesyen pakaian hendaklah peka dengan setiap rekaan yang mereka tonjolkan dengan mematuhi syariat Allah SWT.

6. Penutupan aurat tidak hanya sekadar menutup tubuh badan, tetapi hendaklah takut kepada Allah dan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”. (al-a’raaf- 27).

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Wallahualam.
Tags: aurat, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments